8/06/07

Anak Jeanne gembira ibu kahwin PM

GEMBIRA... Jeanne Abdullah bersama dua orang anak perempuannya, Nadiah (kiri) dan Nadene. – Gambar Bernama.
#1 The Profit Lance Course

PUTRAJAYA 7 Jun – Nadiah dan Nadene, dua anak perempuan Jeanne Abdullah, wanita yang akan diijab kabul dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Sabtu ini, gembira ibu mereka dan bapa saudara mereka akan berkahwin.

“Kami berdua amat gembira demi kebahagiaan ibu dan bapa saudara kami,” kata Nadiah kepada Bernama.

Nadiah, 29, berkata, dua insan yang mereka sayangi telah bertemu untuk dijodohkan dan yang penting ialah kedua-duanya bahagia dan mampu mengambil berat antara satu sama lain.

Bagi pihak ibu mereka, kedua-dua beradik itu mengucapkan terima kasih kepada keluarga, kawan dan orang ramai yang melahirkan rasa gembira dan merestui perkahwinan itu.

“Kami terhutang budi kepada semua bentuk sokongan,” kata Nadiah yang baru membuka sebuah syarikat komunikasi visual di Kuala Lumpur.

Nadene, 27, pula terlibat dalam industri fesyen dan projek gaya hidup.

Majlis akad nikah Abdullah, 67, dengan Jeanne, 54, akan dilangsungkan di Seri Perdana pada Sabtu ini dan akan dihadiri oleh saudara terdekat sahaja.

* JABATAN Perdana Menteri semalam memaklumkan bahawa setelah diijabkabulkan, gelaran rasmi kepada isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ialah Datin Seri Jeanne Abdullah.

Beliau akan dipanggil ‘Yang Amat Berbahagia’.