18/07/05

Bimbang suami tak puas

Wanita dan Seks: Bimbang suami tak puas
Bersama Dr Mohd Ismail Tambi

DOKTOR, selepas melahirkan anak keempat, saya tidak bersama suami selama setahun. Perhubungan kami bermula kembali selepas anak berusia setahun tetapi ada kelainan. Suami mengalami ereksi tetapi tidak boleh melakukan ejakulasi.

Keadaan ini berterusan hingga berbulan-bulan lamanya dan sehinggalah hari ini. Saya keliru adakah ini menandakan suami tidak puas, ketika bersama ataupun dia ada masalah berkaitan seksual. Keadaan ini menjadikan saya dapat mencapai klimaks tetapi saya runsing dengan kesannya kepada suami. Dia selalunya tertidur selepas bersama walaupun tidak mengecapi klimaks.

MAH BINGUNG,
Melalui e-mel

BIASANYA apabila lelaki melakukan hubungan seksual penetratif dengan isteri dengan menggerakkan ereksinya untuk menikmati sentuhan dan geselan mukosa faraj pasangan, dia akan mencapai tahap kemuncak rangsangan dan dia secara langsung mencapai kepuasan dan memancutkan air mani.

Jika lelaki gagal untuk sampai ke kemuncak, kemungkinan dia tidak mencapai tahap rangsangan seksual yang membolehkannya klimaks atau dia gagal untuk mencapai ejakulasi kerana tidak balas rangsangan dari mindanya tidak sampai ke ereksi untuk percetusan ejakulasi.

Kemungkinan perkara yang pertama itu berlaku kerana suami itu tidak terangsang dengan rangsangan yang dialaminya dari hubungan seksual yang dilakukannya dengan pasangan dan ini biasa berlaku kepada lelaki yang sudah terikat atau ketagih dengan amalan onani dan dia hanya dapat mencapai kepuasan syahwat dengan perbuatannya itu.

Jadi jika dia tidak dapat mencapai ejakulasi, dia akan melancap secara sendiri dan tanpa pengetahuan isterinya! Untuk kes kedua, individu itu memang mencapai rangsangan dan dia rasa dia memuncak tetapi tiada tindak balas ejakulasi.

Ini biasa berlaku kepada lelaki yang menghidap penyakit saraf akibat dari kencing manis atau penyakit saraf yang lain. Jika ejekulasi tidak berlaku sudah tentu pasangan tidak akan mencapai kehamilan kerana tiada pengeluaran air mani.

Rawatan yang biasa diberi doktor ialah ubat yang dapat meningkatkan kemungkinan ejakulasi berlaku dan ubat ini perlu preskripsi doktor.

Sama juga dengan lelaki yang telah terikat dengan perbuatan dan amalan onani. Dia mungkin perlu meluangkan masa dengan pasangan untuk menikmati rangsangan seksual dari pasangan supaya dia dapat cara yang mana dia boleh mencapai ejakulasi bersama pasangan.

Kadangkala pasangan perlu membantu memastikan yang dia selesa dan tidak tertekan yang mana jika dia rasa dirinya tertekan dia tidak akan dapat mencapai klimaks melalui hubungan seksual dengan pasangan. Kadangkala dia perlu diberi ubat yang dapat memastikannya pancut.

Jangan biarkan perkara itu berlanjutan kerana lambat laun dia akan rasa bosan dengan keadaannya itu dan pasangan tanpa reaksi positif darinya akan juga rasa kurang seronok dan kemungkinan kedua-dua pasangan akan mengalami hubungan seksual yang hambar.

Jumpalah doktor untuk bimbingan dan rawatan sewajarnya.

Tiada ulasan: