15/07/05

Hasmawi pilih Noraini tamatkan zaman bujang

SUNGAI PETANI 14 Julai - Penyerang bola sepak Kedah, Hasmawi Hassan, 25, yang pernah mencetuskan kontroversi apabila membatalkan pada saat akhir perkahwinannya tahun lepas, malam ini melangsungkan majlis pernikahan dengan gadis pilihannya, Noraini Abd. Razak, 24.

Majlis akad nikah disempurnakan Imam Masjid Asakirin di Kampung Haji Kudong, Kota Kuala Muda, Ahmad Talib, 64.

Hasmawi yang berasal dari Machang Bubok, Bukit Mertajam, Pulau Pinang menamatkan zaman bujangnya dengan memilih Noraini yang bekerja sebagai Penolong Pegawai Kawalan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan sebagai pasangan hidup.

Noraini adalah anak seorang anggota polis di Balai Polis Bukit Mertajam.

Hasmawi pernah memutuskan pertunangannya dengan Norlida Abdul Rahman, 23, dari Felda Ulu Dengar, Kahang Timur, Kluang, Johor, menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) pada saat-saat akhir menjelang majlis pernikahan pada 17 Disember tahun lalu.

Hasmawi yang juga bekas pemain bola sepak kebangsaan dan Pulau Pinang sebelum ini mendakwa menghidap `penyakit buatan orang' sebagai punca beliau memutuskan pertunangan itu.

Pada majlis pernikahan malam ini, Hasmawi membawa bersama wang hantaran sebanyak RM7,277 dan dua bentuk cincin perkahwinan serta mas kahwin sebanyak RM500.

Saya ingin bina hidup baru bersama isteri - Hasmawi

SUNGAI PETANI 15 Julai - ``Saya ingin membina hidup baru yang bahagia bersama isteri,'' itulah azam penyerang bola sepak Kedah, Hasmawi Hassan, 25, selepas melangsungkan perkahwinan dengan gadis pilihan keluarganya itu malam tadi.

Hasmawi yang pernah mencetuskan kontroversi apabila membatalkan pada saat akhir perkahwinannya tahun lalu berkata, beliau selepas ini ingin menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga dan kerjaya demi kejayaannya pada masa depan.

Sehubungan itu menurutnya, beliau ingin melupakan peristiwa lama melibatkan hubungan dengan bekas tunangnya dan mengharapkan keluarga bekas tunangnya juga tidak mengganggunya lagi termasuk menyelesaikan kes lama itu secara baik di luar mahkamah.

``Saya harap cerita lama berkubur dan selepas ini tidak perlu diungkit demi menjaga hati isteri saya,'' sambil memandang wajah isterinya, Noraini Abd. Razak, 24, ketika ditemui di rumah mertuanya di Kampung Haji Kudong, Kota Kuala Muda di sini hari ini.

Hasmawi dan Noraini melangsungkan pernikahan secara sederhana di Masjid Asakirin Kampung Haji Kudong, Kota Kuala Muda di sini malam tadi.

Pada majlis pernikahan tersebut, Hasmawi membawa bersama wang hantaran sebanyak RM7,277 dan mas kahwin pula RM500.

Hasmawi yang berasal dari Machang Bubok, Bukit Mertajam, Pulau Pinang memberitahu, walaupun isterinya itu merupakan pilihan keluarga tetapi beliau percaya pilihan keluarganya itu merupakan yang terbaik untuk menjamin kebahagiaannya.

Jelasnya, beliau mendapati isterinya mempunyai keistimewaan tersendiri seperti mempunyai sifat keibuan, penyayang dan kelembutan.

``Saya berkenalan secara dekat dengan Noraini kira-kira sebulan sahaja, selepas keluarga saya merisik untuk menjodohkan saya dengan gadis pilihan mereka,'' ujarnya.

Menurutnya, beliau mengambil masa kira-kira seminggu untuk membuat pilihan sebelum bersetuju menerima Noraini sebagai pasangan hidupnya.

Beliau yang pernah bekas pemain bola sepak kebangsaan dan Pulau Pinang berkata, beliau bersyukur kerana majlis pernikahan yang diadakan di sini malam tadi berjalan lancar.

``Saya hanya hamba Allah, jodoh ditentukan oleh Tuhan dan saya pasrah dengan perkahwinan ini,'' katanya tersenyum.

Dalam pada itu, Hasmawi turut memohon maaf kepada semua pihak termasuk pengurusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dan rakan-rakan seperjuangan dalam pasukan Kedah kerana tidak memaklumkan terlebih awal majlis pernikahannya yang diadakan malam tadi.

Bagaimanapun menurutnya, keluarganya merancang mengadakan majlis kenduri perkahwinan di rumahnya Bukit Mertajam pada hujung tahun ini.

Sementara itu, Noraini yang bekerja sebagai Penolong Pegawai Kawalan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan berkata, beliau melakukan sembahyang Istikharah apabila keluarganya menyatakan hasrat menjodohkannya dengan Hasmawi.

Katanya, hasil daripada sembahyang sunat itu beliau mendapat petunjuk untuk menerima Hasmawi sebagai suaminya.

``Saya sebelum ini hanya merupakan peminat setia Hasmawi yang lincah bermain bola sepak tetapi tidak sangka akhirnya beliau menjadi teman hidup saya,'' ujarnya.

Tiada ulasan: