18/07/05

Risiko hadapi jangkitan jika proses kelahiran terlalu lama

Anda tanya Doktor Jawab: Risiko hadapi jangkitan jika proses kelahiran terlalu lama
Bersama Dr Fauziah Mohd Hassan

SAYA telah melahirkan anak pertama melalui pembedahan caesarian kerana tulang punggung saya kecil. Malangnya jahitan saya terbuka dan bernanah hingga terpaksa dijahit semula. Sekarang saya hamil untuk kali kedua dan doktor memberitahu bahawa kelahiran ini juga akan dilakukan secara pembedahan. Saya berasa amat takut jika jahitan pada kali ini juga akan bernanah. Bagaimana boleh saya lakukan untuk mengelak daripada berulang.

IBU RUNSING,
Kuala Terengganu

KAJIAN menunjukkan bahawa kadar jangkitan selepas pembedahan adalah sebanyak satu hingga lima peratus. Keadaan ini bermakna dalam 100 orang yang dibedah, mungkin lima saja mendapat luka bernanah.

Kajian menunjukkan bahawa vitamin C memainkan peranan penting dalam proses pembentukan kollagen dan parut. Didapati pesakit yang mempunyai kekurangan vitamin C dalam badan mengalami permasalahan kekuatan parut seperti pecah atau hampir pecah (dehiscence) lapan kali ganda daripada mereka yang cukup zat vitamin ini. Oleh itu amat penting bagi ibu-ibu yang baru melahirkan anak atau pun mereka yang dibedah, diberikan zat vitamin C ini dengan secukupnya.

Kumpulan makanan yang mengandungi banyak zat ini adalah daripada kumpulan sayur-sayuran dan buah-buahan. Adalah tidak adil dan tidak tepat jika ibu-ibu dan pesakit-pesakit ini dihalang daripada mengambil makanan daripada kumpulan ini hanya kerana kononnya dipercayai makanan-makanan ini “sejuk “ dan “berangin”. Ibu-ibu atau pesakit yang dibedah boleh juga diberikan pil vitamin C untuk memastikan zat ini cukup dan memastikan parut yang terbentuk adalah kuat. Jangan lupa selain zat vitamin C, kumpulan makanan ini juga mempunyai kadar serat yang tinggi yang boleh menghindar seseorang daripada sembelit.

ZatR11;zat lain juga diperlukan dalam melancarkan proses penyembuhan selepas dibedah. Karbohidrat diperlukan untuk pembentukan (proliferation) sel. Lemak diperlukan untuk membrane sel. Protin (asid amino) sangat diperlukan untuk pembentukan (synthesis) dan juga penyembuhan (repair) tisu. Parut menjadi lemah dan mudah pecah bagi mereka yang tidak cukup zat dalam pemakanannya jika dibandingkan parut pesakit yang mengambil zat pemakanan yang cukup. Oleh itu, amat penting bagi ibu-ibu yang baru bersalin, apatah lagi jika melalui pembedahan untuk melahirkan anak, untuk tidak dinafikan daripada pengambilan makanan yang mengandungi banyak zat protein. Protein didapati dalam daging, ayam, telur, ikan, susu dan kekacang.

Adalah tidak tepat sangkaan pengambilan makanan seperti telur ayam akan menyebabkan luka bernanah. Banyak faktor lain yang menjadikan parut bernanah dan bukan hanya faktor makanan saja seperti yang tertulis di atas.

Pesakit kencing manis perlu mengawal kadar gula dalam darah untuk memastikan luka tidak bernanah. Salah satu faktor jangkitan pada luka bernanah adalah kencing manis yang tidak terkawal.

Dalam kes pembedahan caesarian kedua ini, kemungkinan besar puan akan diberikan tarikh untuk pembedahan iaitu pembedahan dibuat secara elektif. Kadar jangkitan dalam kes pembedahan elektif adalah kurang daripada dalam kes pembedahan secara kecemasan. Pastikan pemakanan dan kesihatan puan berada pada tahap optimum sebelum pembedahan.

Kadar haemoglobin puan pula hendaklah pada tahap normal dan puan tidak mengalami masalah kekurangan darah. Insya-Allah kita doakan agar pembedahan kali ini akan berlaku dengan lancar dan begitu juga luka pembedahan akan sembuh dengan baik.

FAKTA

Langkah mengurangkan kadar jangkitan selepas pembedahan

Penggunaan antibiotik sebelum pembedahan (antibiotic prophylaxis). Kajian menunjukkan bahawa penggunaan antibiotik menurunkan kadar jangkitan selepas pembedahan.


Teknik pembedahan yang baik dan juga membasuh kulit pada tempat pembedahan dengan cairan antiseptik.


Keadaan kesihatan ibu pada tahap yang terbaik sebelum pembedahan.


Pemakanan yang seimbang dan berkhasiat semasa dalam pantang selepas pembedahan dilakukan. Perlu diingatkan bahawa seseorang pesakit yang baru saja menjalani pembedahan, memerlukan zat pemakanan untuk proses penyembuhan berlaku dengan lancarnya.

Kadar jangkitan bergantung kepada beberapa faktor antaranya:

Ada masalah kelahiran ataupun kesakitan pramatang.

Ada kebocoran air ketuban.

Terlalu banyak pemeriksaan dalaman (vaginal examination).

Ibu berpenyakit kencing manis.

Ibu berpenyakit anaemia (kurang darah).

Ibu terlalu gemuk.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

I will not approve on it. I think warm-hearted post. Especially the designation attracted me to study the unscathed story.