4/07/05

Perkahwinan tanpa hubungan seks

Wanita & Seks: Sekadar bercumbu tetapi mahu anak
Bersama Dr Mohd Ismail Tambi
dr_tambi@yahoo.com.my

SAYA berumahtangga selama enam tahun tanpa cahaya mata. Saya tidak mengamalkan ubat pencegah kehamilan. Masalah utama, sudah hampir dua tahun kami tidak melakukan hubungan seks. Kami saling sayang menyayangi, sering bercumbuan dan berpelukan, namun tidak sampai ke hubungan seks. Kami tidak tahu puncanya.

Sebelum ini semuanya seperti biasa, namun masalah ini semakin memberikan tekanan. Kami telah cuba pergi bercuti bagi mengubah mood namun tidak berjaya. Kami berdua mahukan anak dan mahukan kehidupan normal sebagai suami isteri.

MELINDA,
Melalui e-mel

HAIWAN mempunyai masa yang tetap untuk bersetubuh dan pusingan syahwat ini dikenali sebagai 'estrus cycle' dan ketika itu haiwan jantan akan menggoda haiwan betina yang ketika itu cukup bersemangat.

Putaran 'estrus' ini penting untuk kesinambungan spesies binatang itu dan jika ada halangan kepada putaran itu, mungkin spesies binatang ini akan pupus!

Manusia pula tidak mempunyai putaran estrus dan berkemampuan untuk bersetubuh pada bila-bila masa, tidak kira siang atau malam. Jika kedua-dua pasangan manusia itu berhajatkan sentuhan intim, tindak balas syahwat akan berlaku dan hubungan penetratif seksual boleh dilakukan dengan syarat ereksi dapat mencapai tahap yang padat dan berkemampuan untuk disalurkan ke dalam faraj dan faraj dalam keadaan bersedia dan lega untuk menerima kemasukan zakar.

Sudah tentu lelaki yang mengalami masalah ereksi iaitu tidak dapat mencapai ketegangan atau ketegangan tidak kekal dan layu ketika hendak disalurkan ke dalam faraj gagal untuk melakukan seks penetratif.

Sama juga jika wanita itu tidak bersedia, faraj sempit dan kering dan anggota kemaluan kuncup dan tidak mengebu (kegebuan anggota sulit perempuan akan berlaku apabila banyak darah masuk ke dalamnya ketika wanita itu terangsang! Jika tidak terangsang atau dalam keadaan seriau, perkara yang sebaliknya akan berlaku, kehilangan kegebuan dan kekeringan faraj!) kemasukan zakar sukar dan menyakitkan kedua-dua pasangan.

Jadi masalah mati pucuk dan mati putik wanita perlu diselesaikan secepat mungkin supaya hubungan seksual dapat dilakukan kembali.

Ada juga pasangan tidak dapat mencapai rangsangan syahwat kerana tidak lagi ghairah dengan apa yang dilakukannya. Dalam hal ini mereka berdua perlu berusaha untuk menangani masalah tersebut dan bincang secara terbuka, cara bagaimana mereka dapat memberi kerjasama kepada pasangan supaya perasaan syahwat kembali bergelora.

Perkara seperti memakai pakaian yang seksi, wangian yang merangsangkan dan sentuhan erotik yang boleh dilakukan seperti urutan erotik kepada tubuh badan yang merangsangkan syahwat boleh dilakukan, termasuk juga seks oral yang merangsangkan sesetengah individu. Jika pasangan memerlukan bantuan untuk mencapai ereksi yang lebih mantap kerana mengalami masalah dalam bidang itu, itu pun boleh diselesaikan dengan berjumpa doktor untuk mendapat ubat PDE-5 inhibitor saperti Viagra,Levitra atau Cialis.

Sama juga untuk lelaki yang mengalami cepat klimaks, kini terdapat pelbagai kemudahan saperti cincin zakar(cincin KANDA www.drismailtambi.com) atau ubat untuk tingkatkan kawalan ejakulasi.

Jika masalah yang dialami pasangan sebenarnya ada kaitan dengan perilaku seksual yang luar tabii seperti terangsang dengan kaum sejenis atau tubuh kaum sejenis atau mempunyai fetishes tertentu (misalnya suka pakai pakaian dalam perempuan) atau suka dengan seks ganas (BDSM atau Bondage,Dominance,Sadism dan Masochism) seperti menambat atau mengikat pasangan sebelum bersetubuh atau memukul pasangan untuk naik semangat, sudah tentu amalan biasa tidak mencukupi, maka hubungan seksual menjadi hambar!

Terdapat juga keadaan yang mana salah satu pasangan mempunyai naluri kepada kaum sejenis dan mengawal perasaan itu sehingga suatu ketika dia tidak dapat lagi berolok-olok dengan pasangan dan tidak lagi dapat melakukan hubungan seksual dengan pasangan.

Manusia mempunyai seruan naluri dan nafsu syahwat berkekalan, Jika ada gangguan, individu yang mengalami masalah, perlu berjumpa pakar dan menjalani pemeriksaan dan rawatan yang sewajar. Mendiamkan diri bertahun-tahun dengan harapan ia akan pulih bukan suatu perbuatan yang bijak. Hubungan seksual bukan sekadar untuk mendapat zuriat.

Ia juga untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara pasangan. Keadaan ini mungkin sesuai untuk pasangan yang mengelakkan hubungan itu, tetapi ia memberi tekanan kepada pasangan yang berkehendakkannya. Jangan biarkan perkara ini berlarutan, elok jumpa pakar dan dapatkan rawatan sewajarnya. Tidak guna mendapat anak jika tiada kemesraan pasangan itu. Selesaikan masalah hubungan seks hambar itu secepat mungkin.

Tiada ulasan: