Anda Tanya Doktor Jawab: Penggunaan kondom bukan jaminan segalanya selamat
SAYA terbabit dengan perlakuan seks bebas sudah insaf dan ingin bertaubat. Setakat ini saya belum disahkan dijangkiti apa-apa penyakit kelamin dan mahu bertaubat sebelum terlambat.
Doktor, apa yang saya ingin tahu, bagaimana untuk mencegah dan mengawal penyakit kelamin?
YANG INSAF
melalui e-mel
PERLAKUAN seks bebas hendaklah dihentikan kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam.
Penyakit kelamin seharusnya dapat dicegah jika mengikut langkah-langkah berikut:
a) Pertukaran kelakuan seksual daripada berisiko tinggi kepada yang halal dan berisiko rendah. Contohnya tidak berzina - seks luar nikah. Bagi mereka yang sudah berkahwin, pastikan kedua-duanya setia.
Langkah yang sudah diaturkan oleh ajaran Islam perlu dipatuhi seperti mengelak pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim, memastikan pakaian lelaki dan wanita tidak melampaui batas dan mencolok mata, memastikan masyarakat tidak berterusan dengan perkara yang boleh merangsang naluri seks. Jika dianalisis pada masa kini, banyak perkara merangsang naluri seks seperti apa yang dilihat, didengar, dihidu dan dirasa.
b) Kondom - walaupun penggunaan kondom ini dikatakan boleh menghalang jangkitan penyakit kelamin daripada merebak, ia tidak menjamin keselamatannya 100 peratus. Penggunaan kondom adalah perlindungan sementara waktu apabila suami atau isteri yang halal sedang dirawat untuk penyakit kelamin itu.
Apa yang terbaik adalah ‘abstinence’ iaitu tidak melakukan hubungan kelamin langsung semasa menjalani rawatan dan tidak melakukan seks dengan mereka yang berisiko tinggi seperti pelacur. Melakukan hubungan seks luar nikah adalah haram menurut Islam yang memang menekan dan menjaga kesucian maruah dan keturunan.
c) Perlu mengenal pasti pesakit yang membawa kuman atau virus penyakit kelamin ini supaya ia dapat dirawat dan dihalang daripada menjangkiti orang lain. Ada juga pesakit kelamin yang enggan berjumpa doktor untuk mendapat rawatan. Kumpulan ini perlu dikenal pasti dan dirawat supaya masyarakat dapat diselamatkan daripada wabak penyakit kelamin.
d) Memberi imunisasi kepada masyarakat jika terdapat vaksin untuk penyakit kelamin seperti penyakit hepatitis B. Setiap ibu yang hamil disaring untuk mengenal pasti jika ia seorang pembawa atau berpenyakit hepatitis B ataupun masih belum mempunyai antibodi untuk mengelak daripadanya.
Daripada keputusan darah yang diambil, nasihat yang tepat dapat diberikan iaitu pelalian kepada ibu (dan suami) jika masih belum mempunyai antibodi. Bagi ibu, pelalian akan diberikan selepas bersalin. Bagi ibu-ibu yang menjadi pembawa penyakit ini, selain daripada imunisasi lazim yang akan diberikan kepada bayi yang baru lahir, immunoglobulin juga turut diberikan untuk menghalang jangkitan merebak kepada bayi tersebut.
Suami pula akan disaring untuk diketahui statusnya. Jika belum terkena penyakit ini, dia akan dinasihatkan supaya mendapatkan imunisasi secepat mungkin.
e) Masyarakat perlu diberi maklumat dan penerangan (pendidikan) mengenai bahaya penyakit kelamin dan kesan jangka pendek dan panjang terhadap dirinya, generasinya dan masyarakat amnya.
Mereka patut berganding bahu menjalankan langkah-langkah ini supaya kelakuan yang boleh mendorong kepada merebaknya penyakit ini dibanteras dari akar umbinya. Kelakuan sumbang ini sepatutnya tidak diterima masyarakat supaya ia dapat dikurangkan dan insya-Allah dihapuskan.
1 ulasan:
Cam to Cam Sex
junge titten
PrivateCams
Catat Ulasan