19/11/05

Achik Spin, Tasha diijab kabul

ABDILLAH Murad Md. Saari atau Achik Spin bersama isteri Rose Zaitul Suriani Wati Maarof selepas diijab kabul di Masjid Kariah Sungai Landak, Seremban, semalam.

SEREMBAN 18 Nov. - Penyanyi, Achik Spin hari ini menamatkan zaman bujangnya apabila melangsungkan perkahwinan dengan bekas Pegawai Khidmat Pelanggan Astro, H.M. Rose Zaitul Suriani Wati Maarof di Masjid Kariah Sungai Landak di sini.

Achik atau nama sebenarnya Abdillah Murad Md. Shari, 23, dinikahkan imam masjid itu, Muhamad Yassin dengan disaksikan ibu bapa dan keluarga serta rakan-rakan pasangan pengantin.

Achik yang segak berbaju Melayu putih sama warna dengan pasangannya membawa wang hantaran RM15,000 bersama gelang tangan emas bertatah berlian bernilai RM2,000 dan sembilan dulang.

Pihak perempuan membalas dengan 11 hantaran.

Majlis persandingan akan diadakan di rumah keluarga pengantin perempuan di Taman Desa Ros, Ampangan di sini manakala majlis persandingan pihak lelaki pada Ahad ini di rumah Achik di Green Street Homes, Seremban 2.

Penyanyi yang popular dengan lagu Janji Kita itu mengenali isterinya yang selesa dengan panggilan Tasha sejak tiga tahun lalu.

Menceritakan kembali detik-detik pertemuan antara mereka berdua, Achik yang ditemui sebelum majlis akad nikahnya dilangsungkan berkata, ia bermula pada awal tahun 2002.

Selain menyanyi, Achik kini mengusahakan perniagaan bersama abangnya di bawah syarikat Spire Spin Sdn. Bhd.

Syarikat yang menjalankan pelbagai urusniaga penerbitan buku itu kini mempunyai cawangan di Seremban dan Johor Bahru.

Pasangan itu gembira kerana kini mereka sah sebagai suami isteri. [UM]

GCISurf - Get Stability, Great Support, Excellent Benefits