21/11/05

Seri Paduka rai pasangan pengantin skim bantuan

SEBAHAGIAN 106 pasangan pengantin gembira selepas Majlis Meraikan Pasangan Pengantin Secara Berkelompok oleh Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail dan Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur semalam.- Gambar MOHD. NOOR MOHD. AMIN.

KUALA LUMPUR 20 Nov. - Sebanyak 106 pasangan pengantin yang menerima bantuan Skim Bantuan Perkahwinan amat bertuah diraikan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong hari ini.

Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail dan Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid hadir pada Majlis Meraikan Pasangan Pengantin Secara Berkelompok di Masjid Wilayah Persekutuan di sini.

Semua pasangan pengantin itu diraikan dengan beberapa acara menarik termasuk paluan kompang, bacaan marhaban dan jamuan makan tengah hari sambil diserikan persembahan nasyid oleh penyanyi, Imad.

Program anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu turut memberi peluang kepada pasangan pengantin beramah-mesra dan menerima cenderamata daripada Yang di-Pertuan Agong.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Che Mat Che Ali.

Abdullah dalam ucapannya berkata, skim tersebut yang diperkenalkan sejak 2001 akan dipromosikan secara besar-besaran bagi membantu pasangan yang memerlukan bantuan.

``Di bawah skim itu Baitulmal memperuntukkan setiap seorang yang akan berkahwin sebanyak RM3,000 atau RM6,000 bagi setiap pasangan serta satu persalinan.

``Bagaimanapun jumlah ini akan ditambah kepada RM5,000 seorang mulai tahun depan,'' katanya.

Menurut Abdullah, jika pasangan berkenaan masih memerlukan bantuan selepas berkahwin untuk memajukan ekonomi, mereka boleh mendapatkannya daripada majlis jabatan tersebut.

Katanya, antara tujuan MAIWP melaksanakan program itu ialah untuk menunaikan tanggungjawab sosial bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan memberi sokongan dan motivasi kepada golongan belia supaya memilih gaya hidup sihat dengan memiliki pasangan hidup yang sah di sisi syarak.

Beliau berkata, ia juga bertujuan menggalakkan masyarakat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan mendirikan rumah tangga dan tidak memilih untuk hidup membujang. [UM]

GCISurf - Get Stability, Great Support, Excellent Benefits