10/11/05

Hak Muslim: 12 alasan isteri boleh bubar perkahwinan

E-buku Sungai Wang RM 19.00

SAYA berkahwin dengan sepupu atas perancangan keluarga. Saya tidak mampu menolak kerana menjadi kebiasaan dalam keluarga untuk menentukan jodoh bagi anak perempuan. Masalah yang saya hadapi ialah suami seorang penagih dadah tegar yang selalu keluar masuk pusat serenti.

Saya pernah meminta agar diceraikan kerana berasa sudah tiada kebahagiaan dalam perkahwinan. Tetapi, suami enggan berbuat demikian. Setiap kali suami dimasukkan ke pusat serenti selama dua tahun, segala keperluan saya akan ditanggung oleh ayah kerana saya tidak bekerja. Apakah yang boleh saya lakukan bagi menamatkan penderitaan ini kerana sudah tidak sanggup lagi hidup bersama seorang penagih tegar.

Hidayah
Tanjung Karang, Selangor.

Perkahwinan adalah perkongsian bagi mengecapi kebahagiaan dan ketenangan dalam hidup. Jika perkahwinan tidak dapat menjanjikan kebahagiaan, malah mengundang penderitaan, maka jalan penyelesaian ialah perceraian walaupun ia tidak digalakkan oleh agama.

Dalam kes ini, puan sudah meminta agar diceraikan, tetapi suami enggan berbuat demikian.

Apa yang boleh puan lakukan ialah memohon cerai fasakh. Fasakh bermaksud pembubaran perkahwinan melalui perintah mahkamah. Puan juga boleh memohon perceraian secara tebus talak atau khulu’.

Sebelum mengambil keputusan untuk berpisah lebih baik puan memikirkan semasak-masaknya dan mengambil kira kebaikan dan keburukan yang akan timbul di sebalik perceraian itu.

Undang-Undang Islam sentiasa memastikan keadilan tanpa mengira jantina walaupun lelaki diberi hak untuk melafazkan talak. Dalam kes ini, sekiranya keputusan untuk bercerai sudah dibuat, ada peruntukan bagi memenuhi hasrat itu walaupun suami enggan melepaskan puan.

Puan boleh memohon cerai secara khulu' atau tebus talak berdasarkan Seksyen 49 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 (EUKIS) atau perceraian secara fasakh berdasarkan Seksyen 53 EUKIS.

Perceraian mengikut Seksyen 49 hanya boleh berlaku apabila puan menawarkan sejumlah bayaran kepada suami sebagai penebusan. Dan apabila suami puan bersetuju, maka mahkamah akan mengarahkan agar suami puan melafazkan perceraian dengan cara penebusan. Perceraian itu adalah bain sughra atau perceraian yang tidak boleh dirujuk. Sekiranya suami puan tidak bersetuju dengan bayaran yang ditawarkan, maka mahkamah boleh menaksirkan satu jumlah yang munasabah dengan mengambil kira taraf dan sumber kewangan kedua-dua pihak.

Perlu diingat bahawa perceraian melalui Seksyen 49 hanya akan berlaku apabila wujud persetujuan suami dan kehadiran suami di mahkamah. Sekiranya suami puan enggan melepaskan puan secara tebus talak atau enggan hadir ke mahkamah, puan mempunyai satu lagi pilihan iaitu perceraian mengikut Seksyen 53 EUKIS iaitu secara fasakh.

Mengikut peruntukan Seksyen 53 EUKIS, ada alasan yang dibenarkan oleh undang-undang bagi lelaki atau perempuan untuk mendapat suatu perintah bagi membubarkan perkahwinan atau fasakh. Antaranya:

1. Tempat beradanya suami atau isteri tidak diketahui selama tempoh lebih daripada satu tahun.

2. Suami cuai atau tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan.

3. Suami atau isteri dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih.

4. Suami atau isteri tanpa sebab yang munasabah tidak menunaikan kewajipan nafkah batin selama tempoh satu tahun.

5. Suami mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami mati pucuk.

6. Suami atau isteri gila selama tempoh dua tahun atau sedang mengidap penyakit kusta atau penyakit kelamin yang boleh berjangkit.

7. Si isteri dikahwinkan oleh wali mujbirnya sebelum dia mencapai umur baligh dan dia menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur 18 tahun dan dia belum disetubuhi oleh suaminya.

8. Suami atau isteri menganiaya pasangannya seperti berikut :

l Lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya.

l Berkawan dengan perempuan jahat atau lelaki jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan hukum syarak.

l Cuba memaksa isteri hidup secara lucah.

l Melupuskan harta isteri atau suami atau melarang isteri atau suami itu daripada menggunakan haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu.

l Menghalang isteri atau suami daripada menunaikan kewajipan agamanya.

l Jika suami berpoligami, dia tidak melayan isteri yang berkenaan secara adil mengikut hukum syarak.

9. Suami sengaja tidak menyetubuhi isterinya selama empat bulan dan lebih.

10. Isteri tidak izin akan perkahwinan itu atau keizinan yang diberikan tidak sah kerana paksaan, kesilapan, tidak sempurna akal atau sebab lain yang diakui oleh syarak..

11. Keizinan daripada isteri yang sakit otak seperti yang dimaksudkan oleh Ordinan Sakit Otak 1952 (Ord.31/52).

12. Dan alasan lain yang diiktiraf oleh syarak bagi membubarkan perkahwinan.

Ketidakupayaan untuk melakukan persetubuhan juga boleh menjadi alasan bagi pasangannya mendapat hak membubarkan perkahwinan.

Bagi tujuan pembubaran perkahwinan atas alasan dipenjara selama tiga tahun, permohonan hanya boleh dibuat selepas pasangannya itu menjalani hukuman selama setahun.

Berdasarkan kepada kes puan, saya dapati puan mempunyai asas untuk memohon perceraian secara fasakh atas alasan suami puan tidak mengadakan peruntukan nafkah selama tempoh tiga bulan dan lebih.

Untuk pengetahuan puan, perbezaan antara perceraian mengikut Seksyen 49 iaitu tebus talak dan Seksyen 53 fasakh ialah beban pembuktian.

Sekiranya puan memohon perceraian secara tebus talak, puan tidak perlu membuktikan apa-apa. Apa yang diperlukan ialah persetujuan daripada pihak suami.

Jika puan memilih bercerai fasakh, adalah menjadi tanggungjawab puan untuk membuktikan segala dakwaan terhadap alasan yang kemukakan sebagai asas tuntutan. Perkara ini disebut mengikut Seksyen 72 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003.

Dengan penjelasan ini akan dapat memberi puan untuk membuat pertimbangan bagi menyelesaikan kes dan masalah puan. [BH]