9/11/05

Bersanding mengarutlah: Mala


Oleh Rudy Fazrunisyam Samarudin dan Paiman Selamat

SEGAMAT: “Saya tidak akan melangsungkan majlis persandingan kerana itu semua mengarut dan merepek,” kata bekas pengacara TV3, Datin Seri Normala Samsudin ketika ditanya bilakah dia akan mengadakan majlis itu.

Normala berkata, dia dan suaminya, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Azmi Khalid, lebih senang mengadakan kenduri kesyukuran dan doa selamat sempena pernikahan mereka pada 25 Ogos lalu.

“Tidak ada majlis persandingan hari ini (semalam) dan sampai bila-bila pun, kami hanya membuat kenduri kesyukuran dan doa selamat serta rumah terbuka sempena Aidilfitri,” katanya ketika ditemui, semalam.

Azmi juga bersependapat dengan Normala dan menafi laporan yang disiarkan akhbar sebelum ini, bahawa mereka kelak akan melangsungkan majlis persandingan.

“Hari ini saya ke rumah keluarga isteri saya, Normala untuk kenduri kesyukuran dan rumah terbuka sempena Aidilfitri, itu saja dan tidak ada persandingan.

“Malah pada 13 November ini kami mengadakan majlis yang sama di Padang Besar, Perlis. Semua dijemput hadir,” katanya.

Majlis rumah terbuka yang diadakan di rumah ibu Normala di Kampung Kuing Patah, Buluh Kasap, dekat sini, dikunjungi lebih 4,000 tetamu terdiri daripada penduduk tempatan.

Sebaik majlis dimulakan jam 10 pagi, orang ramai mula datang bertali arus ke majlis berkenaan untuk memeriahkan suasana.

Majlis dimulakan dengan bacaan Tahlil dan Yassin, sebelum Marhaban dan hidangan membabitkan keluarga dan rakan terdekat.

Majlis rumah terbuka pula diadakan antara jam 12 tengah hari hingga 6 petang.

Normala berkata, pihaknya gembira kerana tetamu yang datang melebihi daripada jangkaan awal, iaitu sekitar 3,000 orang sebaliknya dihadiri lebih 4,000 tetamu dan kami sekeluarga berterima kasih kepada semua yang hadir.

“Mereka mungkin mengambil kesempatan untuk mengenali suami saya dengan lebih dekat, lagi pun ini adalah majlis rumah terbuka yang pertama dibuat di kampung ini,” katanya.

Sepanjang majlis berlangsung, pasangan suami isteri berkenaan dilihat tidak jemu melayan tetamu termasuk bergambar bersama mereka.

Malah, bagi memeriahkan lagi majlis, mereka juga bergandingan mendendangkan beberapa lagu diiringi kumpulan ghazal Yayasan Johor dan Kombo Rela.

Turut diraikan pada majlis itu ialah 28 anak yatim dari Rumah Anak Yatim Gemerih, Segamat yang turut menerima sumbangan duit raya daripada Azmi dan Normala.

Selain itu, seramai 60 anggota Rela ditugaskan untuk mengawal selia kelancaran lalulintas dan 10 kenderaan disediakan untuk mengangkut tetamu. [Metro]