26/11/05

Agensi tawar calon isteri `dicuba' selama tujuh hari

Oleh: JAMDI NASIR
TERBARU..!!! PROGRAM AFFILIATE

BATU GAJAH 25 Nov. - Anda mungkin tidak percaya tetapi ia sudah pun berlaku di negara ini.

Wanita yang mahu dikahwini boleh dibawa pulang ke rumah sekitar tujuh hari yang dinamakan `tempoh percubaan'.

Selepas itu, terpulanglah kepada anda untuk membuat keputusan sama ada menerima wanita itu atau tidak, untuk dijadikan isteri.

Pendekatan berani dan luar biasa sebilangan agensi mencari jodoh ini didedahkan oleh Setiausaha Parlimen, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chew Mei Fun.

Selain itu, katanya, terdapat agensi mencari jodoh yang meletakkan tanda harga wanita asing antara RM15,000 hingga RM25,000 untuk dikahwini.

Kebanyakan wanita asing berkenaan datang dari China, Vietnam, Indonesia dan Thailand untuk ditawarkan kepada lelaki negara ini.

Mei Fun menyatakan demikian kepada pemberita semasa melawat rumah perlindungan remaja Taman Seri Putri Batu Gajah di sini hari ini.

Beliau melihat senario baru ini membimbang dan menakutkan yang boleh meruntuhkan kekuatan institusi kekeluargaan.

Apa yang berlaku itu, katanya, merendahkan martabat wanita yang seolah-olah menjadi `barang jualan'.

Sebagai contoh, katanya:

``Ada agensi yang menawarkan `tempoh percubaan' dengan membawa pulang wanita dipilih sekitar tujuh hari sebelum memutuskan persetujuan untuk berkahwin.''

Dengan meletakkan tanda harga pula, tambahnya, ia seperti produk jualan dan trend ini menunjukkan mereka tidak menghormati maruah kaum wanita.

``Walaupun kita menggalakkan perkahwinan dan tidak sekat perniagaan mencari jodoh ini tetapi tanda harga membawa mesej yang salah terhadap imej kaum wanita sendiri,'' katanya.

Sumber: Agensi tawar calon isteri `dicuba' selama tujuh hari