Bersama Dr Mohd Ismail Tambi
Emel Doktor: tanyadoktor@bharian.com.my
SOALAN: SAYA keliru dengan sikap suami saya. Kami sedang dalam krisis rumah tangga. Kami telah berkahwin selama 13 tahun dan dalam tempoh itu suami saya jarang berkeinginan kepada saya. Selalunya sayalah yang akan memulakan dulu.
Saya agak suami saya senang terangsang dengan perempuan lain tapi tidak dengan saya. Dia sangat dingin (tubuhnya sejuk dan tidak terangsang apabila kami bersama). Alasannya dia tak berminat dengan seks. Tetapi saya tahu sebenarnya dia ada menyimpan perempuan lain. Masalahnya kenapa dia tidak ada kemahuan untuk hubungan seks dengan saya.
Saya telah membuat pelbagai cara untuk menarik perhatiannya, makan jamu dan cuba melakukan teknik yang berlainan agar dia rasa amat terangsang. Tapi selalunya dia akan melakukan dengan malas dan sambil lewa.
Ingin berusaha,
Melalui e-mel
JAWAPAN: SEBAHAGIAN daripada keperluan berumahtangga ialah keintiman seksual. Ini keperluan asas dan semula jadi untuk kedua-dua pasangan. Apabila keperluan ini diabaikan oleh mana-mana pasangan perbalahan rumah tangga akan berlaku. Sepatutnya perkara ini tidak seharusnya berlaku jika kedua-dua pihak faham tentang nafkah batin dan memainkan peranan masing-masing.
Pasangan yang prihatin akan cuba melayani kehendak seksual pasangannya dan dengan dorongan yang membina, pasangan yang lembap atau mundur dalam hal seks ini akan dapat mengubah sikap negatifnya dan berkerjasama menikmati keseronokan keintiman seksual. Jika keadaan buntu kemungkinan pasangan yang lemah atau lembap itu sebenarnya mengalami masalah seksual yang tersimpan.
Selepas 13 tahun berkahwin dan masih lagi tidak berminat kepada hubungan seksual sedangkan isteri memainkan peranan dan melakukan pelbagai usaha untuk melayani suami, menandakan yang si suami itu memang mempunyai sikap atau perilaku yang menggambarkan kedinginan kepada hubungan keintiman seksual.
Lelaki juga boleh memendam perasaan dingin kepada seks bukan kepada pasangan. Dia mungkin sayangkan pasangan tetapi tidak berminat kepada seks. Jika lelaki itu dapat memahami kehendak isteri dan berusaha bersungguh-sungguh memahami tentang seks atau sekurang kurangnya memainkan peranannya sebagai suami, memikul tanggungjawabnya membelai dan memberi nafkah batin, sudah tentu perkara ini akan dapat penyelesaian dan tidak menjadi buntu.
Jadi tidak hairan jika terdengar kes yang mana isteri naik marah kepada sikap suami yang sebegitu dan langsung memintanya dilepaskan.
Perkara ini bukan luar biasa kerana saya pernah mengendalikan kes sebegini yang mana akhirnya si isteri minta dirinya dilepaskan dan diizinkan mahkamah kerana suami gagal memberi nafkah batin kepada isteri.
Hubungan keintiman seksual suatu keperluan jiwa, penambat mesra dan memberi perasaan ceria kepada kedua-dua pasangan. Jika ini tiada maka hubungan menjadi hambar, seperti menunggu retak menjadi belah.
Lelaki perlu ubah sikap mementingkan diri sendiri. Memberi nafkah zahir sahaja tidak mencukupi. Dia harus mencuba mencari jalan memulihkan perbalahan ini dengan minda yang terbuka. Dia harus terima masalah seksual bukan isu ego, ia isu kesihatan dan perlu dipulihkan dengan rawatan yang sewajar. Masalah dingin seks untuk lelaki ada penawarnya, tetapi lelaki itu perlu menjalani pemeriksaan. [BH]