11/25/05

Adat tiga negeri satukan Tengku Shariza, Kamarul Anuar


TENGKU SHARIZA Tengku Suleiman bahagia di samping suami tersayang, Kamarul Anuar.


Oleh: NORMALA HAMZAH

DEWAN Perdana Felda, di Jalan Maktab off Jalan Semarak, Kuala Lumpur pada 18 November 2005 bermandikan cahaya lampu. Rona coklat keemasan menghiasi setiap sudut. Tetamu mula bertali arus sejak pukul 7.30 malam. Semuanya tampak ceria, yang lelakinya segak berbaju Melayu sementara yang wanitanya anggun berpakaian tradisional.

Malam yang indah itu menyaksikan persandingan gemilang Tengku Shariza Almarhum Tengku Suleiman dan pasangannya Kamarul Anuar Mohd. Razali.

Majlis tambah berseri dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamallullail dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid.

Turut sama Sultan dan Sultanah Kedah, Sultan Kelantan dan Raja Perempuan Kelantan, Pemangku Raja Perlis dan Pemangku Raja Puan Muda perlis, Tengku Puan Pahang dan Raja Perempuan Besar Perlis serta kerabat-kerabat Perlis, Kelantan dan Perak.

Sentuhan pelamin dan susun atur cara yang berkonsep perkahwinan diRaja diilhamkan Datuk Raja Shah Reza dengan menyelitkan adat tiga negeri, Kelantan, Perlis dan Perak.

Serasi dengan rona coklat keemasan yang memukau mata, seluruh dewan melimpah ruah dengan pancaran lampu yang digantung sekitar dewan, persis istana zaman dahulu kala.

Di luar dewan, barisan inang dan panglima istana lengkap berpakaian baju zaman raja-raja masa lalu, berdiri di kiri kanan laluan masuk menuju ke pelamin.

Permaidani merah menunggu langkah gemalai pengantin diRaja yang dirai,Tengku Shariza dan pasangannya Kamarul Anuar.

Persandingan di mulakan dengan pengantin perempuan, Tengku Shariza berbaju kurung moden coklat keemasan, diarak ke singgahsana diiringi dua pengiring wanita. Sebaik Tengku Shariza duduk di pelamin, Pengantin lelaki Kamarul Anuar segak dengan sepasang songket warna sama serta bertanjak pula diarak masuk diiringi para panglima mengikut adat.

Di tangga singgahsana, langkah pengantin lelaki berhenti, bacaan selawat kemudian berkumandang memecah keheningan majlis. Syahdu dengan alunan merdu selawat, seluruh dewan senyap sepi.

Kamarul Anuar kemudian dipersilakan ke pelamin oleh bonda saudara Tengku Shariza dan disandingkan di sisi isteri tersayang, Tengku Shariza.

Saat yang dinanti pun tiba, kala Yang di-Pertuan Agong berkenan berangkat melakukan upacara merenjis diikuti Raja Permaisuri Agong, seterusnya kerabat diRaja lain.

Menutup acara, bonda pengantin perempuan Tengku Puteri Sharifah Salwa Almarhum Syed Putra Jamalullail tampil meletakkan Panca Bicara pada tengkolok pengantin lelaki dan kemudian tiara pada pengantin perempuan sebagai pelengkap keseluruhan majlis perkahwinan puteri tersayang, Tengku Shariza dan pasangannya Kamarul Anuar.

Selesai majlis persandingan dan merenjis, tetamu diRaja beredar ke meja santapan untuk memenuhi acara makan beradap.

Sajian masakan Melayu membuka selera tetamu sambil didendangkan muzik Kombo Radio Televisyen Malaysia (RTM). Majlis tambah gemilang dengan persembahan tarian tradisional dari Perlis dan Johor, sebagai penutup malam gemilang dan membahagiakan buat Tengku Shariza dan Kamarul Anuar yang kini telah mengikat janji untuk hidup bersama.

Semoga Allah melindungi ikat janji mereka sehingga ke akhir hayat. Selamat Pengantin Baru. [UM]