GCISurf - Get Stability, Great Support, Excellent Benefits |
KUCHING 15 Nov. - Selepas selamat melangsungkan `perkahwinan' Ahad lalu, pasangan sejenis Jessie Chung dan Joshua Beh Soo Kiang mengakui mereka kini mengecapi bahagia dan berjanji untuk bersama sehingga ke akhir hayat.
Bagi pasangan ini, di sebalik dasar kerajaan tidak mengiktiraf perkahwinan sejenis dan tentangan di pihak gereja sendiri, restu ibu bapa dan ahli keluarga cukup untuk membuatkan mereka bahagia.
Jessie yang menjalani pembedahan menukar jantina juga tidak akan membuat permohonan di mahkamah bagi membolehkan `perkahwinan' mereka diiktiraf atau menukar status jantina dalam kad pengenalannya.
Dia yang petah berkata-kata dan mudah mesra juga memberitahu bahawa dia tidak pernah berniat menentang dasar kerajaan atau menyalahkan kerajaan kerana tidak mengiktiraf perkahwinan tersebut.
``Saya tidak akan membuat permohonan mahkamah untuk mendapatkan pengiktirafan perkahwinan atau bagi menukar status jantina dalam kad pengenalan saya.
``Semua risiko berkenaan saya ketahui sejak dahulu. Apa yang penting sekarang ialah saya mempunyai suami dan semua ahli keluarga kami merestuinya,'' katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Katanya, dia tidak akan mengemukakan sebarang permohonan kerana semua urusan yang memerlukan kad pengenalan dilakukan tanpa sebarang masalah selama ini.
``Saya tidak menghadapi sebarang masalah dalam urusan harian termasuk pemeriksaan Imigresen kerana saya hanya perlu tunjukkan surat pengesahan penukaran jantina dan semua urusan dapat dilakukan tanpa sebarang masalah,'' katanya.
Mengenai pengalaman selepas bergelar `suami isteri', pasangan ini mengakui melalui detik-detik yang sama seperti pasangan biasa.
Menurut Jessie, walaupun dia seorang lelaki yang menjalani pembedahan untuk menjadi wanita, namun semua bahagian badannya sensitif dan berfungsi sebagaimana wanita normal.
``Setiap inci badan saya sensitif kepada rasa dan memberi tindak balas, perasaan dan kasih sayang saya juga sensitif sebagaimana wanita lain,'' katanya.
Katanya, oleh kerana seks merupakan antara elemen penting dalam perkahwinan, dia telah mendapatkan banyak nasihat daripada pakar berhubung kesan serta implikasi sekiranya pembedahan tersebut dilakukan.
Menurutnya, sebelum ini dia hanya bertanya kepada Jabatan Pendaftaran Negara tentang proses pertukaran status jantina dan diberitahu bahawa ia terlalu rumit untuk dilakukan.
Dalam pada itu katanya, dia dan suami juga tidak pernah berniat untuk menukar kerakyatan bagi membolehkan perkahwinan mereka diiktiraf.
Sebaliknya menurut Jessie, mereka berdua bercadang untuk menetap di Kuching dan menjalani kehidupan seperti biasa sebagai seorang rakyat Malaysia yang cintakan negaranya.
Sementara itu Joshua berkata, perkahwinannya dengan Jessie adalah atas dasar cinta dan akan setia bersama pasangannya itu hingga akhir hayat.
Ketika ditanya sama ada mereka merancang untuk mengambil anak angkat, Joshua memberitahu, belum ada perancangan berbuat demikian kerana masih banyak rancangan lain yang perlu selesaikan. [UM]