15/11/05

Kitaran haid tidak teratur

Bersama Dr Fauziah Mohd Hassan
Emel Doktor:tanyadoktor@bharian.com.my


SOALAN: SAYA berusia 23 tahun. Masalah saya ialah kitaran haid yang tidak teratur dan selalunya lewat sehingga lima hari. Apabila haid keluar, darahnya kehitaman. Adakah ini petunjuk tidak subur dan adakah saya sukar mendapatkan zuriat?

SURIA,
Melalui e-mel

GCISurf - Get Stability, Great Support, Excellent Benefits

JAWAPAN: KITARAN haid yang normal bagi seseorang wanita ialah di antara 21 dan 35 hari.

Kitaran haid itu dikira daripada hari haid pertama ke hari pertama haid bulan yang seterusnya.

Sebagai contoh, jika hari haid pertama pada Oktober ialah 1 Oktober 2005 dan bulan seterusnya pada 2 November 2005, kitaran haid ini adalah 32 hari.

Kitaran haid ini berbeza antara wanita dan juga boleh berbeza antara bulan ke bulan bagi wanita yang sama.

Kitaran haid kadangkala `meragam' selepas bersalin, keguguran, pengambilan pil perancang keluarga atau ketika memasuki zaman menopaus.

Kitaran haid saudari agak panjang dan jika pendarahan lancar, keadaan ini mungkin normal bagi saudari. Pendarahan kehitaman dan berlaku sedikit-sedikit pada permulaan haid adalah normal.

Sebaliknya, jika darah kehitaman itu berpanjangan selama hari-hari haid seperti lima dan enam hari, keadaan ini perlu dikaji untuk mengenal pasti jika saudari berpenyakit.

Oligomenorea ialah keadaan yang membabitkan kitaran haid yang panjang, iaitu di antara enam minggu dan enam bulan dan pendarahaan haid yang sedikit.

Ini disebabkan oleh sindrom ovari polisistik (PCOS) iaitu apabila terdapat banyak folikel di ovari yang bersaiz diameter di antara satu dan 15 mm. Folikel itu tidak dapat mengeluarkan benih wanita atau ovum berikutan pembesaran folikel yang tidak sempurna.

Wanita yang mengalami sindrom itu sukar hamil tetapi masih boleh diusahakan melalui rawatan kesuburan berteknologi tinggi.

Antara faktor lain oligomenorea ialah kegemukan, perubahan berat badan yang mendadak, penyakit tiroid, tumor di otak dan ubat-ubatan yang digunakan untuk menahan muntah. [BH]