22/09/05

Gadis disahkan hidap PCOS takut berkahwin




Anda Tanya Doktor Jawab: Gadis disahkan hidap PCOS takut berkahwin


SAYA berusia 28 tahun, masih bujang dan berasa takut untuk berkahwin kerana doktor sudah mengesahkan saya menghidap PCOS. Saya diberitahu penghidap PCOS sukar untuk hamil dan jika hamil mudah mengalami keguguran.

Selain itu saya ada dengar cerita, jika menghidap PCOS saya turut berisiko diserang sakit jantung, kencing manis dan barah rahim.

Saya tidak begitu mengetahui mengenai penyakit PCOS dan saya minta doktor jelaskan secara terperinci.

AZILA OTHMAN
Melalui e-mel


PENYAKIT polycystic ovarian syndrome (PCOS) mula dibincangkan oleh Stein dan Leventhal dalam tahun 1935. Penyakit ini mempunyai beberapa ciri dan pada tahun 2003, pakar-pakar dari Amerika dan Eropah bersepakat PCOS perlu mempunyai sekurang-kurangnya dua daripada tiga ciri berikut:

1. Bukti terdapat kadar hormon lelaki, androgen yang tinggi (secara kadar biokimia atau manifestasi klinikal) iaitu hirsutism (terdapat bulu tumbuh pada kawasan yang khusus untuk lelaki seperti misai dan janggut), jerawat dan juga botak di bahagian depan kepala.

2. Permasalahan proses ovulasi, kitaran haid yang lama (contohnya kedatangan haid yang tidak tetap, setiap 2-3 bulan), tempoh pendarahan yang lama dan pendarahan yang sedikit.

3. Kilang ovari mempunyai banyak sista. Pemeriksaan ultrabunyi menunjukkan terdapat banyak folikel yang kecil dan tidak membesar secukupnya untuk mengeluarkan ovum (benih wanita) dalam proses ovulasi. Sista lazimnya berukuran kurang daripada 10 mm garis pusatnya.

Penyakit PCOS berkemungkinan berlaku dalam 16-33 peratus wanita yang tidak mempunyai tanda penyakit. Sebaliknya, di kalangan mereka yang mempunyai ciri-cirinya seperti hirsuitism, masalah pendarahan haid dan jerawat, kadar PCOS boleh mencecah sehingga 90 peratus.

Tidak diketahui apa penyebab penyakit PCOS tetapi terdapat kemungkinan ia penyakit keturunan. Kajian menunjukkan bahawa di kalangan keluarga terdekat kadar penyakit ini meninggi enam kali ganda.

Masalah kencing manis berlaku dalam 30-60 peratus wanita yang berpenyakit PCOS terutama bagi wanita yang mempunyai berat badan yang berlebihan.

Kajian juga menunjukkan bahawa wanita PCOS ini mengalami masalah kesihatan jangka panjang seperti:

1. Mempunyai risiko yang tinggi untuk barah rahim (endometrium) – lima kali ganda;

2. Mempunyai risiko yang lebih untuk barah ovari - 2.5 kali ganda;

3. Risiko untuk penyakit kencing manis seperti yang disebut di atas;

4. Masalah kesukaran untuk hamil;

5. Kaitan dengan masalah sakit jantung sudah dikenal pasti tetapi kajian jangka panjang tidak menunjukkan terdapatnya penambahan kadar kematian disebabkan penyakit jantung bagi wanita yang berpenyakit PCOS.

Rawatan penyakit PCOS ini bergantung kepada umur wanita dan keinginannya untuk hamil. Rawatan juga penting untuk mengurangkan risiko barah rahim terutama jika kitaran haidnya terlalu lama dan pendarahan yang terlalu banyak.

Beberapa langkah yang boleh dilakukan untuk mengimbangi hormon dan pencapaian hamil:

1. Mengurangkan berat badan ke tahap yang unggul (MBI 20-24) bagi ketinggian seseorang;

2. Menggunakan ubat-ubatan untuk menghasilkan proses ovulasi. Dos ubat-ubatan ini perlu digunakan dalam kadar yang sedikit kerana wanita PCOS mungkin terlalu sensitif dan boleh menyebabkan terlalu banyak folikel terangsang;

3. Menjalani pembedahan kecil pada ovari iaitu ovarian drilling (penebukan pada kilang ovari). Folikel yang banyak dicucuk supaya memberi jalan bagi proses ovulasi. Tujuan proses ini dilakukan ialah untuk mengatasi masalah selaput ovari tebal yang terdapat pada wanita PCOS;

4. Rawatan dengan hormon untuk memulihkan kitaran haid kepada yang normal;

5. Kajian ada menunjukkan bahawa rawatan dengan menggunakan ubat-ubatan untuk menurunkan kadar gula dalam darah (rawatan untuk penyakit kencing manis) boleh mengurangkan masalah fungsi insulin terjejas (insulin resistance), serta mengurangkan kadar testosterone dan menghasilkan kitaran haid yang lebih seragam.

Tiada ulasan: