15/09/05

Pil perancang kaedah terbaik

Wanita dan Seks: Pil perancang kaedah terbaik

SAYA berusia 23 tahun dan sudah bernikah selama 10 bulan tetapi belum dikurniakan anak. Saya tidak menggunakan sebarang alat mencegah kehamilan, kondom ataupun ubat. Hanya kaedah suami ‘membuang’ air mani di luar di atas kerelaan sendiri yang kami amalkan kerana saya memang takut jika hamil.

Doktor, apakah ada cara lain untuk mengelakkan kehamilan tetapi tidak berisiko sekiranya saya hamil satu hari nanti. Apakah mengambil jamu tradisional seperti ramuan jamu yang pekat dapat mempengaruhi kesihatan kandungan?

ATIE,
melalui e-mel

MERANCANG keluarga adalah tanggungjawab bersama suami dan isteri. Kaedah yang digunakan patut berkesan dan tidak memudaratkan pengguna atau memberi masalah kepada kedua-dua pasangan seperti ketidakselesaan ketika melakukan hubungan seksual atau mengganggu kesihatan pasangan.

Kaedah Al-azal adalah membabitkan suami mengeluarkan ereksi dari anggota sulit isteri dan memancut di luar. Penggunaan kondom juga adalah satu kaedah merancang untuk suami, tetapi pastikan pangkal kondom tidak termasuk ke dalam faraj ketika bersetubuh supaya tidak terlucut apabila ejakulasi selesai.

Kaedah lain adalah membabitkan wanita yang mengamalkannya, seperti pil hormon merancang keluarga, suntikan hormon atau penggunaan alat dalam rahim. Kesemua kaedah yang diketengahkan tadi berkesan dan tidak memudaratkan.

Kaedah tradisional seperti pengambilan jamu dan makjun tidak termasuk dalam senarai kaedah merancang keluarga yang selamat atau berkesan, kerana tiada apa-apa kajian mengenainya dilakukan.

Pengalaman dengan kajian yang pernah dilakukan kepada binatang ialah sebilangan besar darinya mengakibatkan janin rosak dan keguguran. Jadi pengamalan jamu dan makjun tidak digalakkan.

Jika kedua-dua pasangan belum lagi ingin menimang cahaya mata elok gunakan kaedah yang benar-benar berkesan dan selamat, iaitu yang tidak menjejaskan peluang untuk mendapatkan cahaya mata di kemudian hari.

Saya syorkan pil merancang keluarga yang terbaru yang mengandungi tahap hormon terendah dan berkesan. Mercilon dan Loette adalah sesuai dan boleh diamalkan tanpa kesan sampingan. Maklumat lanjut boleh didapati dari mana mana klinik merancang keluarga.


©The New Straits Times Press (M) Berhad

Tiada ulasan: