25/09/05

Risiko kencing manis bagi ibu hamil




Anda Tanya Doktor Jawab: Risiko kencing manis bagi ibu hamil


SAYA berusia 34 tahun dan baru melahirkan bayi pertama sewaktu kandungan berusia 23 minggu dan empat hari, pada 20 Mei 2005. Malangnya bayi berkenaan meninggal dunia kerana terlalu kecil dengan berat hanya 540 gram. Untuk pengetahuan doktor, saya telah berkahwin selama lapan tahun sewaktu berusia 25 tahun dan hanya hamil pada usia 34 tahun dengan berat badan 73 kilogram iaitu terlebih 15 kilogram dari berat badan ideal. Saya juga menghadapi masalah tekanan darah tinggi, tiga tahun sebelum kehamilan, serta penyakit kencing manis sewaktu disahkan hamil,

Pada 19 Ogos 2005, saya disahkan hamil sekali lagi dengan usia kandungan enam minggu. Saya masih lagi mengalami penyakit darah tinggi. Tetapi saya telah menghentikan pengambilan pil betaloc/metroprolol 100 mg sejak kandungan berusia lima minggu lagi.

Adakah saya akan menghidap penyakit kencing manis sekali lagi memandangkan berat badan saya telah menurun sebanyak lapan kilogram setelah melahirkan bayi pertama. Adakah selamat sekiranya saya melakukan hubungan kelamin memandangkan kes anak pertama saya, dan kehamilan yang terlalu awal selepas bersalin. Untuk pengetahuan doktor juga, kelahiran pramatang bayi saya adalah disebabkan oleh jangkitan pada uri.

Jannah,
Melalui e-mel


SESEORANG ibu yang berpenyakit seperti puan sepatutnya membuat pemeriksaan doktor untuk memastikan keadaan penyakit berada dalam kawalan yang baik sebelum hamil. Ada kalanya dos dan jenis ubat ditukar atau diubah suai sebelum hamil kepada jenis yang lebih sesuai untuk kehamilan. Adalah tidak wajar bagi seseorang ibu yang berpenyakit membuat keputusan sendiri tanpa nasihat doktor untuk memberhentikan ubat yang diambilnya. Ramai ibu berpenyakit seperti puan mengambil langkah begitu kerana menyangka bahawa ubat yang diambilnya akan menjejaskan kandungan. Perlu diingatkan bahawa penyakit itu sendiripun, jika tidak dikawal, boleh menjejaskan kesihatan dan pembentukan janin.

Contoh yang paling baik ialah penyakit kencing manis. Ramai ibu yang tidak merancang kehamilan mereka memberhentikan ubat kencing manis apabila hamil kerana takut kecacatan janin akibat ubat kencing manis. Sebaliknya, apa yang tidak disedari ramai ialah kadar gula dalam darah yang tidak dikawal juga adalah antara penyebab kecacatan janin. Oleh itu amatlah penting bagi ibu-ibu berpenyakit menyatakan rancangannya untuk hamil kepada doktor yang menjaga penyakitnya supaya penjagaan yang sepatutnya dapat diberikan sebelum kehamilan berlaku.

Puan dinasihatkan berjumpa doktor yang akan menjaga kehamilan puan dan pemeriksaan akan dibuat untuk mengubahsuai jenis dan dos ubat darah tinggi. Adakalanya tekanan darah ibu menurun pada awal kehamilan dan keadaan ini memerlukan kepada pengubahsuaian dos ubat. Beberapa kajian darah asas juga diperlukan bagi tujuan pemantauan keadaan penyakit.

Seseorang ibu yang hamil mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat penyakit kencing manis jika terdapat sejarah berpenyakit kencing manis sewaktu hamil atau mempunyai sejarah kencing manis dalam keluarga. Oleh itu bagi mereka yang sebegitu, seperti dalam kes puan, pemeriksaan diperlukan untuk memastikan penyakit kencing manis, jika berulang, berada dalam kawalan dengan penjagaan makanan ataupun suntikan insulin. Penyakit kencing manis lazim berlaku ketika ibu hamil kerana terdapat hormon yang dikeluarkan dengan banyak sewaktu hamil seperti estrogen dan human plasental lactogen yang boleh menjejaskan metabolisme karbohidrat. Puan perlu berjumpa awal dengan doktor kerana mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk kencing manis serta kawalan gula dalam darah yang ketat diperlukan dari mula kehamilan untuk memastikan kesejahteraan janin yang dikandung.

Jika kelahiran pramatang bagi anak pertama puan telah disahkan disebabkan oleh jangkitan, amatlah penting bagi kehamilan ini sebarang jangkitan dirawat lebih awal. Lazimnya pemeriksaan pada faraj dilakukan untuk mengambil sampel cairan dan diuji di makmal untuk mengesan sekiranya terdapat jangkitan. Jika ada, ujian pengenalan jenis jangkitan dan jenis ubat yang boleh membasmikan kuman tersebut akan dibuat. Pemeriksaan ini boleh membantu doktor untuk merawat jangkitan lebih awal walaupun ibu tidak mempunyai apa2 tanda jangkitan seperti keputihan cairan faraj yang banyak atau berbau. Pemantauan jangkitan dilakukan bagi memastikan jangkitan sudah dapat dihapuskan.

Melakukan seks sewaktu hamil tidak menjejaskan janin dan kehamilan dalam kes-kes yang normal. Doktor akan menasihatkan supaya mengelak melakukan seks sewaktu hamil jika terdapat masalah seperti:

  • Pendarahan sewaktu hamil terutama pada awal kehamilan

  • Masalah uri berkedudukan di bahagian bawah rahim

  • Masalah pengecutan rahim pramatang

  • Sejarah kelahiran pramatang

  • Terdapat kebocoran air ketuban

    Jika hubungan seks tidak dapat dielakkan, pastikan air mani tidak dipancut ke dalam faraj. Air mani mengandungi prostagladin, yang boleh menyebabkan pengecutan otot rahim dan melembutkan tisu serviks. Prostaglandin digunakan untuk memulakan kesakitan untuk bersalin dalam proses “induction of labour“ bagi ibu-ibu yang bermasalah dan diperlukan untuk melahirkan anaknya.
  • Tiada ulasan: