24/09/05

Nor Hayati minta ketepikan permohonan batal nikah Zaki

Oleh: AMIRUDDIN HARUN

KUALA LUMPUR 23 Sept. - Seorang pengurus syarikat, Nor Hayati Yahaya mengemukakan permohonan supaya Mahkamah Rendah Syariah di sini menolak permohonan peguam, Tan Sri Zaki Tun Azmi untuk mengisytiharkan pernikahan mereka tidak sah mengikut hukum syarak.

Nor Hayati, 32, juga memohon mahkamah menolak permohonan Zaki untuk memfaraqkannya.

Selain itu, dia memohon mahkamah menolak permohonan Zaki untuk mengeluarkan perintah larangan terhadapnya (Nor Hayati), wakil, pekerja atau ahli keluarga agar tidak menceroboh, mengganggu atau mengugutnya (Zaki) dengan apa cara sekalipun termasuk melalui media massa.

Sebaliknya, Nor Hayati memohon mahkamah mengeluarkan perintah larangan terhadap Zaki, wakil, pekerja atau ahli keluarganya daripada menceroboh, mengganggu atau mengugutnya (Nor Hayati) dengan apa cara sekalipun termasuk melalui media massa.

Semua permohonan itu terkandung dalam afidavit pembelaan yang difailkan oleh Nor Hayati melalui firma guaman, Tetuan Radzuan Ibrahim di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam.

Pada 26 Julai lepas, Zaki yang diijab kabul dengan Nor Hayati di Perlis pada Mei lalu oleh seorang kadi dari Thailand telah mengemukakan permohonan untuk mengisytiharkan pernikahannya itu tidak sah menurut hukum syarak.

Ekoran pendedahan akhbar berhubung permohonan itu, Zaki, 60, telah meletakkan jawatan Timbalan Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO.