15/09/05

Kerana hamil, pelajar mati

BANTING: Seorang pelajar Tingkatan Enam menikam perut teman wanitanya, pelajar Tingkatan Lima yang hamil lapan bulan, selepas pertengkaran mengenai kedudukan kandungan itu di Kampung Indah, Tanjung Sepat di sini, Ahad lalu.

Kejadian itu menyebabkan kandungan yang dikatakan cukup sifat itu mati, manakala ibunya dimasukkan ke Hospital Banting sebelum dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Teman lelaki mangsa dikatakan melarikan diri selepas kejadian tetapi menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat, kira-kira jam 2 pagi kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintendan Mat Fauzi Nayan, ketika dihubungi Berita Harian semalam, mengesahkan kejadian itu tetapi enggan mengulas.

Difahamkan, pelajar lelaki itu kini direman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah sehingga 19 September.

Kedua-dua pelajar itu, yang menuntut di sekolah berasingan di sini, dikatakan bercinta sejak tiga tahun lalu. Pelajar lelaki itu bagaimanapun dikatakan baru mengetahui teman wanitanya mengandung.

Berikutan itu, dia menemui teman wanitanya di rumah mangsa bagi menyelesaikan masalah itu, tetapi berlaku pertengkaran.

“Pelajar lelaki itu dipercayai mengambil pisau sepanjang kira-kira 20 sentimeter di dapur sebelum menikam perut teman wanitanya bagi menggugurkan kandungan itu,” kata sumber.

Sumber itu berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 316 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian anak yang belum lahir dan boleh dipenjara maksimum 10 tahun serta denda jika sabit kesalahan.

Pelajar lelaki itu juga boleh didakwa mengikut Seksyen 326 kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata, yang boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat dengan menelefon 03-31872222.[BH]

Tiada ulasan: