18/09/05

Pusat jangan campur -- Shahidan ulas isu ketat syarat berpoligami

Oleh YUSRI SAHAT

KANGAR 17 Sept. - Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini meminta Kerajaan Pusat tidak campur tangan dengan mengarahkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mematuhi Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) yang akan dipinda tidak lama lagi.

Beliau berkata: ``Urusan agama adalah hak negeri dan raja yang memerintah. Ia perlu melalui beberapa prosedur termasuk persetujuan Majlis Fatwa negeri sebelum boleh dibuat sebarang pindaan.''

Undang-Undang Keluarga Islam, tegas beliau lagi, adalah bidang kuasa MAIPs dan Majlis Fatwa negeri.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Datuk Abu Bakar Ismail berkata, kerajaan negeri enggan memperketatkan syarat terhadap suami yang berpoligami kerana ia dikatakan bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Waljamaah.

Shahidan berkata demikian selepas menyampaikan bantuan kepada kira-kira 1,300 golongan tidak bernasib baik di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Kuala Perlis di sini hari ini.

Beliau mengulas arahan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin yang mahu tiga negeri termasuk Perlis yang tidak bersetuju dengan syarat ketat terhadap suami yang mahu berpoligami, memberi penjelasan berhubung perkara itu.

Najib berharap semua negeri mematuhi tindakan menyelaras Undang-Undang Keluarga Islam kerana ia bertujuan memberi kebaikan.

Menteri Besar Perlis itu turut meminta Majlis Fatwa Kebangsaan menunjukkan ayat-ayat tertentu dalam al-Quran atau hadis yang mewajibkan suami mendapatkan kebenaran isteri pertama terlebih dahulu sebelum berpoligami.

``Kalau ada ayat itu, Perlis sedia menyemak semula Undang-Undang Keluarga Islamnya supaya ia selaras dengan kehendak Islam,'' tegasnya.

Mengulas lanjut, Shahidan menjelaskan, Undang-Undang Keluarga Islam terutama dalam aspek poligami yang dijalankan di Perlis selama ini tidak bertentangan sama sekali dengan kehendak Mazhab Shafie.

Beliau bimbang sebarang pindaan memperketatkan syarat berpoligami akan menimbulkan bidaah dan mengelirukan masyarakat Islam.

Soal poligami mula menjadi polemik selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin berkata,isteri tidak lagi perlu menunggu berlaku penceraian bagi menuntut harta sepencarian setelah mengetahui suami mereka berpoligami.

Ia boleh dibuat selepas Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) dipinda tidak lama lagi.

Di bawah pindaan itu yang akan dibentangkan di Parlimen pada 22 September ini, isteri pertama boleh menuntut harta sepencarian, walaupun tidak diceraikan, sekiranya suami mereka berpoligami.

Selain itu, suami yang mahu berpoligami dikehendaki membawa isteri, bakal isteri dan waris termasuk wali memberi keterangan di mahkamah.

Reaksi kepada kenyataan Abdullah, Selasa lalu, tiga negeri iaitu Perlis, Terengganu dan Kelantan tidak bercadang meminda undang-undang keluarga Islam di negeri masing-masing.

Kedah pula akan membuat sedikit pindaan dengan mengekalkan beberapa kuasa tertentu di peringkat negeri.

Alasan ketiga-tiga negeri itu ialah Undang-Undang Keluarga Islam di negeri mereka mencukupi dan tidak perlu peruntukan baru bagi membolehkan isteri menuntut harta sepencarian setelah mengetahui suami mereka berpoligami.

Antara faktor lain kenapa Perlis dan Terengganu tidak akan meminda undang-undang tersebut ialah untuk mengelakkan lebih ramai pasangan bernikah di negara jiran.

Tiada ulasan: