14/09/05
Syarat poligami lebih ketat
Syarat poligami lebih ketat:
Isteri pertama dapat sebahagian harta sepencarian antara enam peraturan baru
Oleh Shamshul Azree Samshir
SEPANG: Lelaki Islam yang ingin berpoligami perlu membahagikan dulu harta sepencarian dengan isteri pertama jika Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 diluluskan di Parlimen nanti.
Rang undang-undang yang mengenakan syarat lebih ketat kepada suami untuk berkahwin lebih daripada satu itu turut menggariskan, antara lain:
Perkahwinan (kedua) hanya patut atau perlu atas faktor kemandulan, keuzuran jasmani, sengaja ingkar mematuhi perintah hak persetubuhan atau gila di pihak isteri;
Pemohon berkemampuan menanggung semua isteri dan tanggungannya termasuk yang bakal ditanggung;
Pemohon berupaya memberi layanan adil kepada semua isteri;
Perkahwinan tidak menyebabkan ‘darar Syarie’ atau bahaya yang menyentuh isteri mengenai agama, nyawa, tubuh badan, akal, maruah dan harta benda mengikut kebiasaan yang diakui hukum syarak; dan
Kuasa mahkamah mengkehendaki seseorang membuat pembayaran nafkah kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin (gambar), berkata undang-undang baru itu juga akan meminta isteri pertama, isteri lain atau wali hadir dalam permohonan perkahwinan kedua suaminya di mahkamah.
“Sesi keterangan semua isteri akan dilakukan secara berasingan bagi mengelak pergaduhan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Kehakiman dan Guaman Syarie 2005 di sini, semalam.
Dr Abdullah berkata, semua itu adalah antara syarat baru dimasukkan dalam Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005, yang akan dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 22 September ini.
Katanya, apabila undang-undang itu diluluskan Parlimen, ia akan diseragamkan di seluruh negara bagi memelihara hak wanita yang lazimnya diketepikan apabila suami berpoligami.
"Pindaan dalam undang-undang poligami ini mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan keadilan,” katanya sambil menambah, permohonan lelaki yang gagal mematuhi syarat baru itu boleh ditolak Mahkamah Syariah.
Sementara itu, Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Datuk Sheikh Ghazali Abdul Rahman, berkata syarat yang termaktub dalam rang undang-undang itu pernah menjadi inti pati Rang Undang-Undang Keluarga Islam 1984.
“Ia pernah dimasukkan dalam peraturan ketika itu tetapi tidak dilaksanakan. Sekarang ia diiktiraf kembali dan akan diperkenalkan untuk diseragamkan di seluruh negara,” katanya.
Mengenai proses penyeragaman undang-undang syariah, Dr Abdullah berkata, ia dijangka dapat diselesaikan menjelang akhir tahun ini seperti dimahukan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
“Penyeragaman undang-undang Islam sudah dilaksanakan di mana semua negeri melulus dan menerima pakai beberapa undang-undang kecuali Kedah yang masih pada peringkat jawatankuasa,” katanya.[BH]
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan