Edisi Nasional: Pengulas sukan Piala Malaysia ditangkap khalwat
Oleh Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my
GEORGETOWN: Seorang pengulas sukan terkenal tanah air dicekup kerana disyaki berkhalwat dengan teman wanitanya di sebuah hotel bertaraf empat bintang di Tanjung Bungah, di sini, pagi semalam.
Pengulas sukan berusia 55 tahun berasal dari negeri ini, ditahan sepasukan empat pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (Jaipp), kira-kira jam 9 pagi.
Difahamkan, ketika ditahan wanita berusia 26 tahun itu yang hanya memakai seluar pendek dan bersinglet, sedang berbaring dalam selimut di katil.
Ketua Unit Penguat kuasa Jaipp, Faizal Ibrahim, berkata berdasarkan maklumat awam, pengulas sukan yang sedang dalam proses penceraian itu dikatakan baru saja tiba di bandar ini, petang kelmarin.
Difahamkan, pengulas sukan veteran itu dijadual membuat ulasan televisyen bagi perlawanan bola sepak Piala Malaysia peringkat suku akhir antara pasukan Pulau Pinang dan Selangor di Stadium Bandaraya, di sini, malam tadi.
Katanya, ketika pemeriksaan dilakukan di sebuah bilik hotel di tingkat 14, didapati pintunya tertutup dan berkunci dari dalam dan apabila diketuk, seorang lelaki yang ketika itu hanya memakai singlet serta berseluar panjang, membukanya.
“Selepas memperkenalkan diri dan masuk membuat pemeriksaan lanjut dalam bilik berkenaan, seorang wanita sedang berbaring di katil dan berselimut seperti sedang tidur.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, wanita itu hanya memakai seluar pendek dan bersinglet saja,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Faizal berkata, hasil soal siasat yang dilakukan, wanita itu adalah kekasih pengulas sukan terbabit yang dikenalinya sejak empat tahun lalu.
“Ketika soal siasat dilakukan, wanita terbabit berasal dari Maran, Pahang dan bekerja sebagai seorang jururawat kontrak di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.
“Wanita itu juga mengaku mengikut pengulas sukan berkenaan dari Kuala Lumpur pada jam 1 tengah hari dan tiba di negeri ini kira-kira jam 7 petang semalam dengan menaiki kereta.
“Kedua-dua mereka bagaimanapun gagal membuktikan sebarang hubungan suami isteri atau mahram ketika diperiksa dan diberitahu kesalahan sebelum ditahan serta dibawa ke Balai Polis Tanjung Tokong,” katanya.
Beliau berkata, dalam pemeriksaan itu, dua helai baju dan seluar milik pasangan berkenaan dirampas untuk dijadikan bahan bukti ketika pendakwaan di Mahkamah Tinggi Syariah, tidak lama lagi.
Katanya, pasangan terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 27 (a)(b), Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 atas kesalahan berkhalwat, yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya.
©The New Straits Times Press (M) Berhad
Tiada ulasan:
Catat Ulasan