9/15/05

Jangkitan kuman boleh jadi sebab kelahiran pramatang

Jangkitan kuman boleh jadi sebab kelahiran pramatang

Pastikan kandungan puan dipantau doktor yang mengetahui sejarah kehamilan

SAYA sedang hamil anak ketiga. Tetapi saya juga menghadapi masalah kencing kotor selain demam dan denyutan jantung yang laju. Selepas menerima rawatan semuanya kembali normal tetapi saya masih bimbang. Saya ingin tahu kesan kencing kotor pada bayi yang dikandung.

IBU RISAU
Kuala Kangsar

PENYAKIT yang puan alami itu ialah jangkitan pada sistem perkumuhan air kencing (urinary tract infection - UTI). Lazimnya dalam bahasa umum, jangkitan ini dikenali dengan istilah kencing kotor.

Organ-organ yang terbabit dalam sistem ini ialah:

1. Sepasang buah ginjal (buah pinggang - kidneys)

2. Sepasang ureter iaitu saluran yang menyalurkan air kencing yang terbentuk ke pundi kencing.

3. Satu pundi kencing (bladder), stor tempat pengumpulan air kencing sebelum dikeluarkan daripada badan.

4. Satu urethra, saluran yang menyalurkan air kencing daripada pundi kencing ke luar.

Lazimnya jangkitan berlaku pada air kencing yang bertakung di dalam pundi kencing. Kadangkala jangkitan ini merebak ke buah ginjal (pyelonephritis) dan berkemungkinan merebak ke dalam sistem darah. Jangkitan yang telah merebak ke ginjal lazimnya lebih serius. Jangkitan pada sistem perkumuhan sering berlaku terutama ketika hamil kerana saluran ureter lazimnya kembang. Kadar jangkitan kuman pada sistem ini semasa hamil adalah antara 4 - 7 peratus dan 40 peratus daripadanya akan mempunyai tanda-tanda jangkitan. Jangkitan merebak ke buah ginjal dalam 1 - 2 peratus kes.

Wanita hamil yang mempunyai risiko tinggi untuk jangkitan ini ialah wanita yang mempunyai:

1. Penyakit kencing manis

2. Wanita yang telah mempunyai sejarah jangkitan air kencing sebelum hamil.

3. Wanita yang mempunyai masalah buah ginjal seperti polycystic kidneys iaitu penyakit keturunan yang menyebabkan terdapat banyak sista pada buah ginjal.

4. Wanita yang mempunyai anatomi yang tidak normal seperti terdapat saluran ureter yang bercabang.

5. Wanita yang mempunyai masalah batu karang.

Jangkitan kuman pada sistem ini tidak ada sangkut paut dengan pemakanan seseorang seperti yang disangka. Oleh kerana wanita mempunyai saluran urethra yang pendek berbanding lelaki, serangan jangkitan kuman berlaku lebih kerap pada wanita.

Tanda-tanda jangkitan pada sistem perkumuhan air kencing:

1. Membuang air kecil dengan kerap

2. Berasa tidak puas selepas membuang air kecil

3. Sakit ketika membuang air kecil

4. Terdapat pendarahan dalam air kencing

5. Kesakitan pada perut.

6. Air kencing berbau busuk dan berwarna keruh.

Jika jangkitan telah merebak ke buah ginjal, lazimnya tanda-tanda menjadi lebih serius:

1. Demam, suhu badan yang agak tinggi, iaitu 38 - 39 darjah Celsius. Lazimnya jantung berdenyut dengan laju jika suhu badan tinggi semasa pesakit demam.

2. Sakit belakang

3. Muntah-muntah

4. Badan menggigil.

Untuk memastikan jenis kuman yang menjangkiti saluran kencing, pesakit perlu memberi sampel air kencing untuk diuji dalam makmal. Pesakit perlu mengambil air kencing pada pertengahan pengaliran air kencing untuk mamastikan ketepatan keputusannya. Pesakit diberikan ubat antibiotik untuk menghapus kuman yang menjangkiti sistem ini. Selepas keputusan ujian air kencing dapat memastikan jenis kuman, barulah ubat antibiotik yang tepat diberikan.

Di samping ujian mengenal pasti jenis kuman ini, ujian juga dilakukan untuk mengenal pasti jenis ubat antibiotik yang dapat menghapuskan kuman tersebut. Terdapat kuman yang sudah tahan (resistant) dan tidak lagi dapat dihapuskan dengan antibiotik yang lazim digunakan. Pesakit dinasihatkan untuk mengabiskan antibiotik yang diberikan oleh doktor untuk mengelak masalah ini berlaku. Ramai pesakit mengamalkan pengambilan antibiotik yang tidak sempurna iaitu mereka berhenti mengambil antibiotik sebaik saja sakitnya hilang walaupun ubat yang diberikan belum dihabiskan. Keadaan ini menyebabkan kuman yang belum dihapuskan sepenuhnya berupaya bertahan terhadap antibiotik tersebut pada masa akan datang.

Jika jangkitan sudah merebak ke buah ginjal, pengambilan antibiotik perlu diberikan melalui saluran darah (intravenous) sehingga suhu badan menjadi normal. Antibiotik lazimnya perlu diteruskan selama 7 - 10 hari untuk memastikan semua kuman sudah dihapuskan.

Jangkitan kuman pada sistem ini boleh menyebabkan kelahiran pramatang. Oleh itu, amat penting bagi keadaan ini dirawat dengan berkesannya. Selepas keadaan ini dirawat, puan tidaklah perlu risau lagi. Perbanyakkan minum air untuk mengurangkan risiko jangkitan. Pastikan kandungan puan dipantau doktor yang mengetahui sejarah kandungan puan. Ujian air kencing secara berkala diperlukan untuk mengesan jangkitan pada tahap awal bagi mengelakkan kesan pada janin dan juga merebaknya jangkitan ke buah ginjal.


©The New Straits Times Press (M) Berhad

No comments: