15/09/05

Pindaan undang-undang poligami: Perlis tolak syarat baru

Oleh Ridzuan Yop, Saufi Hamzah, Tuan Nazuri Tuan Ismail dan Baharom Bakar

Kerajaan negeri anggap peraturan dalam al-Quran sudah lengkap KANGAR: Perlis tidak bersetuju mengenakan syarat ketat terhadap suami yang mahu berpoligami, termasuk membahagikan dulu harta sepencarian dengan isteri pertama seperti dicadangkan dalam Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan (Pindaan) 2005.

Kerajaan negeri itu, yang sejak dua tahun lalu membenarkan suami berkahwin lagi tanpa perlu mendapat kebenaran isteri pertama, berpendapat peraturan sedia ada serta panduan dalam al-Quran sudah memadai dan lengkap.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam negeri, Datuk Abu Bakar Ismail, berkata syarat ketat akan hanya menyebabkan lebih ramai pasangan bernikah di negara jiran.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri setakat ini tidak bercadang membuat sebarang pindaan terhadap undang-undang poligami.

“Kerajaan negeri berpegang kepada peraturan dalam al-Quran berhubung soal nikah kahwin termasuk berpoligami, yang sudah sempurna, lengkap dan memadai.

"Islam memberi garis panduan lengkap mengenai syarat seseorang suami untuk berpoligami seperti berkemampuan zahir dan batin serta mampu berlaku adil," katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin, berkata rang undang-undang itu, yang akan diseragamkan di seluruh negara selepas diluluskan Parlimen, bertujuan memelihara hak wanita yang lazimnya diketepikan apabila suami berpoligami.

Rang undang-undang itu yang akan dibentangkan bagi bacaan pertama di Dewan Rakyat pada 22 September ini, juga akan meminta isteri pertama, isteri lain atau wali hadir dalam permohonan perkahwinan kedua suaminya di mahkamah.

Di KUALA TERENGGANU, Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata kerajaan negeri tidak akan mengambil keputusan terburu-buru, sebaliknya akan menjalankan kajian terperinci sebelum memperketatkan syarat poligami.

"Ibarat kita nak pakai seluar. Kalau pakai seluar ketat sangat ia boleh menyebabkan perut sakit, tetapi kalau kita pakai seluar longgar sangat pun ia boleh terlondeh.

“Sebab itu perbincangan mendalam perlu dilakukan sebelum keputusan dibuat," katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Iman.

Di GEORGETOWN, pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Asri Zainol Abidin, berkata poligami dari segi syarak tidak mempunyai syarat seperti dicadangkan dalam rang undang-undang itu.

Katanya, seseorang lelaki yang berpoligami dengan tidak menunaikan syarat berkenaan, perkahwinannya tetap sah.

"Syarat itu adalah dari kuasa pentadbiran. Barangkali kerajaan mengenakan syarat ini kerana mengambil kira faktor semasa dan untuk mengurangkan sikap tidak adil.

"Cuma kita bimbang jika syarat berlebihan diletakkan sedangkan jalan menuju perkahwinan adalah mudah. Jangan ketatkan jalan kepada perkahwinan," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Isteri-Isteri Berpoligami, Azizah Azizi, berkata undang-undang berkaitan hak isteri dalam poligami tidak begitu penting kerana yang lebih utama adalah keberkesanan pelaksanaan.

Beliau berkata, sudah banyak undang-undang keluarga Islam diperkenalkan, tetapi hanya cantik dan indah di atas kertas.

“Seperti pemberian nafkah... berapa banyak suami yang tidak mematuhinya walaupun sudah diperintahkan mahkamah. Mereka melanggar perintah itu walaupun ia adalah hukum Tuhan,” katanya.


©The New Straits Times Press (M) Berhad

1 ulasan:

mauttakkiremase..taubatcepat... berkata...

slam..sy nk tny ckit lh...ttg perkhwinn di perlis..sy og jhr, bkal 2nd wife og phg..skaung kes cerai sy msih lum setel sbb is3 skjap hdri skjp x ke court..n bkal wife sye de mslh fmily,sbb terlmpau lme tggu jd parents die dh xleh trime sy jd menntu..bleh ker sy bwak bkal wife sy nikh d' perlis tnpe setelkn cerai dgn 1st wife n n tnpe wali...n cmne prosedur sy nk nikh di perlis