16/10/05

Anda Tanya Doktor Jawab: Darah dari dubur tanda buasir




DOKTOR, saya dapati darah banyak keluar dari dubur apabila membuang air besar. Perkara ini berlaku beberapa hari dan pada hari keempat, darah yang keluar seperti darah haid. Apakah sebenarnya masalah ini dan mengapakah ia terjadi? Adakah ia buasir?

SITI ERMA,
Shah Alam



PERMASALAHAN pendarahan dari dubur boleh disebabkan oleh beberapa keadaan seperti:

1. Buasir
2. Anal fissure (luka pada dubur)
3. Terdapat polyp
4. Jangkitan pada usus
5. Barah

Anda dinasihatkan berjumpa doktor untuk pemeriksaan pada bahagian dubur untuk mengenal pasti punca pendarahan. Setelah puncanya dikenal pasti, barulah bentuk rawatan dan ubatan dapat diberikan.

Penyakit yang lazim menyebabkan pendarahan pada dubur ialah buasir. Buasir terjadi apabila terdapat saluran vena yang mengembang pada dubur dan lama kelamaan saluran ini akan membesar dan terkeluar daripada dubur. Beberapa faktor yang menyebabkan buasir:

1. Keturunan: buasir lazim berlaku pada ahli-ahli dalam satu keluarga. Keadaan ini mungkin disebabkan terdapatnya kelemahan pada dinding saluran vena. Masalah buasir biasa juga berlaku pada seseorang yang berpenyakit "varicose vein" kerana asas masalahnya adalah sama.

2. Terdapat faktor tekanan yang tinggi pada usus seperti meneran kuat semasa membuang najis iaitu ketika sembelit.

3. Dipercayai bahawa masalah buasir berkait rapat dengan cara/gaya pemakanan yang mengandungi serat yang rendah. Keadaan sebegini akan menggalakkan masalah sembelit.

Tanda-tanda buasir:

1. Pendarahan semasa membuang air besar. Tanda ini ialah tanda awal buasir (buasir tahap pertama). Lazimnya pendarahannya sedikit dan berwarna merah cerah. Seseorang mungkin menghidap masalah anaemia (kurang darah) jika pendarahan daripada buasir ini tidak dirawat.

2. Terdapat ketulan di dubur. Masalah ini berlaku apabila buasir menjadi lebih teruk daripada keadaan di atas. Pada mulanya ketulan ini hanya berlaku pada masa membuang air besar dan akan masuk semula ke dalam dubur dengan sendirinya setelah selesai membuang air besar. Apabila keadaan menjadi lebih teruk, ketulan ini menjadi tetap dan tidak masuk ke dalam dubur dengan sendirinya selepas selesai membuang air besar. Seseorang pesakit perlu memasukkan ketulan tersebut ke dalam dubur dengan jarinya. Tahap ini adalah buasir tahap kedua. Apabila ketulan menjadi tetap di bahagian dubur, tahap ini dikenali sebagai buasir tahap ketiga. Pada tahap ini pesakit sudah mula merasa tidak selesa dengan adanya ketulan pada dubur dan merasa berat pada dubur.

3. Terdapat cairan pada dubur apabila buasir sudah pada tahap ketiga. Cairan ini juga boleh menyebabkan kegatalan pada dubur.

4. Kesakitan apabila terdapat komplikasi seperti “thrombosis” ia itu darah beku dalam saluran vena.

Komplikasi buasir:

1. Anaemia
2. Pendarahan yang banyak
3. Thrombosis
4. Terdapat ulser pada buasir yang terkeluar.
5. Saluran darah tersekat oleh sphincter (strangulation) pada dubur dan boleh menyebabkan tisu pada dubur mati (gangrene).
6. Jangkitan pada buasir yang thrombosed.

Rawatan penyakit buasir ini bergantung pada tahap keparahan penyakit. Ada yang dirawat dengan ubat-ubatan dan bagi yang paling teruk, pembedahan dilakukan untuk membuang saluran vena yang bengkak.

Bagi mereka yang mempunyai masalah sembelit, eloklah mula mengubah cara makan dengan memastikan pengambilan makanan yang mempunyai kadar serat yang tinggi. Serat terdapat dalam makanan jenis buah-buahan dan sayur-sayuran. Di samping itu, pengambilan cairan perlu juga ditingkatkan. Pengambilan air diperlukan sekurang-kurangnya dua liter sehari.

Masalah sembelit lazim berlaku semasa hamil dan selepas bersalin kerana faktor fisiologi dan ditambah pula dengan kurangnya pengambilan cairan dan serat dalam makanan.

Pada bulan Ramadan yang mulia ini juga, pastikan kita berbuka dengan makanan yang baik, berkhasiat dan seimbang dan menjauhi pembaziran.

Pastikan pengambilan makanan yang mengandungi tinggi serat dan juga cairan yang secukupnya untuk mengelak daripada masalah sembelit. Untuk mendapat berkat Ramadan, berbukalah puasa dengan sederhana dan tidak perlu berlebihan dalam menggantikan pemakanan yang lazimnya diambil pada siang hari.