31/10/05

Keradangan pundi kencing bulan madu

Terasa mahu buang air kecil ketika mengadakan hubungan seks

DOKTOR, saya dan suami terpisah dari segi jarak dan masa kerana kami bertugas di negeri yang berlainan. Tetapi mengapa setiap kali bersama, saya terasa mahu membuang air kecil yang terlampau?

Saya selalu meminta suami menghentikan hubungan kerana saya tidak boleh lagi bertahan tetapi sebaik saja dia berhenti, rasa membuang air kecil terus hilang. Apa sebenarnya masalah saya?

MARINA AHMAD

Melalui e-mel



SEBILANGAN wanita yang baru memulakan hubungan keintiman seksual penetratif mendapati yang mereka mudah mengalami masalah kencing kerap dan sakit atau dalam istilah perubatan 'disuria' dan apabila mereka merujuk kepada doktor, doktor akan jelaskan yang mereka mengalami masalah keradangan pundi kencing bulan madu atau 'honeymoon cystitis'kerana kaitannya kepada hubungan seksual yang mana setiap kali pasangan berjumpa dan melepaskan geram masing masing, mereka akan mengalaminya!

Keradangan pundi kencing akibat infeksi yang merebak ke pundi kencing dan mengakibatkan pundi kencing radang dan mencengkam, akan menimbulkan perasaan kesakitan hendak kencing tetapi tiada kencing keluar atau sedikit kencing yang keluar. Sesetengah doktor memberi ubat antibiotik untuk wanita itu makan supaya jangkitan kuman tidak berlaku.

Tetapi wanita itu boleh mengalami kesan sampingan akibat rawatan itu apabila antibiotik itu membunuh kuman semula jadi dalam faraj dan usus dan mengakibatkan jangkitan kulat yis dalam faraj dan usus!

Ada juga doktor yang menasihatkan wanita itu buang air kecil setiap kali selepas bersetubuh dan ini akan mengakibatkan air mani keciciran keluar dari faraj ketika wanita itu bergerak ke tandas untuk buang air kecil .Ini sudah tentu akan menjejaskan kemungkinan kehamilan untuk wanita itu. Jadi apa perlu dilakukan jika semua yang disyorkan itu ada membawa kesan sampingan?

Mungkin cara yang berkesan untuk mengelakkan diri daripada terkena gejala honeymoon cystitis ialah untuk wanita itu mengelakkan geselan ketara anggota sulit pasangannya kepada pembukaan lubang kencingnya yang terletak di paras bersebelahan langit faraj dengan mendekatkan kedua dua lutut ke dadanya ketika dia bersama dengan pasangan.

Dia perlu melegakan pembukaan faraj dengan tidak mengemut dan memposisikan tubuhnya supaya geselan ereksi pasangan tidak tertumpu kepada pembukaan salur kencing. Dia boleh amalkan posisi yang mana dia tidak akan dapat geselan ereksi kepada pembukaan salur kencing seperti posisi dia di atas dan untuk tujuan merancang kehamilan dia menerima ereksi pasangan dari belakang.

Dalam melakukan apa-apa posisi persetubuhan dia perlu bekerjasama dengan pasangan, melegakan pembukaan faraj dan membantu pasangan memasukkan ereksi ke pembukaan faraj dengan dia sendiri yang memegang ereksi dan menghalakan ereksi ke pembukaan anggota sulitnya.

Dengan cara sedemikian dia dapat mengawal pembukaan farajnya sambil memberi ruang kepada ereksi suami. Dengan cara yang sedemikian dia tidak akan terdedah kepada keradangan pundi kencing dan tidak akan menghampakan pasangannya