17/10/05

'Terima kasih Darling...'

Oleh Osman Lisut
“PERKAHWINAN saya dengan Normala (Samsuddin) sesuatu yang membawa tuah kerana sejak berkahwin pada 25 Ogos hingga kini, kami berdua sering menjadi tumpuan media. Terima kasih Darling,” kata Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Azmi Khalid.

WAJAH terbaru Azmi
dan Normala selepas
'membina masjid'.


Beliau melafazkan penghargaan itu kepada isterinya, Datin Seri Normala Samsudin di hadapan kira-kira 200 tetamu termasuk wakil media serta 40 anak yatim yang menghadiri majlis berbuka puasa anjuran kementeriannya di Hotel Pan Pacific, Kuala Lumpur, Rabu lalu.

“Pada malam ini, cukup ramai wakil media yang datang pada majlis saya. Saya ucapkan terima kasih kepada isteri saya,” katanya.

Pada malam itu, Azmi tersenyum lebar dan kelihatan segak mengenakan baju melayu bersamping sementara Normala pula anggun berbaju kurung dan berselendang.

Azmi ketika ditanya, bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkahwinannya itu atas alasan tidak mahu menimbulkan salah faham di kalangan keluarga terdekatnya.

Azmi, 64, diijabkabulkan dengan Normala, 41, di rumah kenalan Azmi, di Taman Tun Dr Ismail, pada 25 Ogos lalu.

Perkahwinan itu berlangsung kira-kira lima bulan selepas isteri beliau, Allahyarham Datin Seri Yasmin Abdullah, 62, meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Jaya pada 24 Mac lalu selepas setahun menderita penyakit leukemia.

Yasmin meninggalkan empat orang anak, Dr Soraya, Johan Mohriz, Ida Mariana dan Ilhan Salimee.

Ditanya mengenai kehidupannya selepas perkahwinan dengan Normala, Azmi sekadar mengucapkan syukur dan mengakui semuanya berada dalam keadaan baik.[BH]