31/10/05

Usah takut jalani ujian pap smear

SAYA ingin hamil lagi selepas anak sulung saya berusia enam tahun. Bagaimanapun saya masih gagal hamil hingga kini. Haid saya normal dan empat tahun lalu saya pernah mengambil pil perancang tetapi saya takut menjalani ujian pap smear. Apa pandangan doktor?

INGIN HAMIL LAGI

Kuching, Sarawak



SERVIKS yang juga dipanggil pangkal rahim terletak pada hujung faraj. Barah boleh berlaku di serviks tetapi ia boleh dihalangi kerana doktor boleh mengenali atau mengenal pasti keluarbiasaan pada sel di permukaan serviks pada peringkat awalnya.

Sebelum ia menjadi barah, keluarbiasaan ini dipanggil CIN (cervical intraepilhelial neoplasia). CIN tidak memberi sebarang tanda atau simptom. Ia hanya boleh dikesan apabila seseorang wanita menjalani pemeriksaan pap smear. Sel yang tidak normal ini perlu dirawat atau diawasi untuk memastikan ia tidak melarat menjadi barah serviks.

Pemeriksaan pap smear tidak menyakitkan ketika dijalankan melainkan jika anda tidak bertenang ketika menjalani pemeriksaan. Wanita yang terlalu takut juga boleh menyebabkan pemeriksaan terlalu sukar untuk dijalankan.

Jika wanita itu tenang, pemeriksaan pap smear hanya mengambil masa beberapa minit saja. Perasaan kurang selesa mungkin timbul tetapi bukannya sakit.

Pemeriksaan ini penting untuk mengesan sel yang tidak normal dan boleh menjadi barah jika dibiarkan. Ingatlah, mencegah lebih baik daripada merawat.

Secara amnya, setiap wanita yang mengadakan hubungan seks antara umur 20 hingga 64 tahun perlu menjalani pemeriksaan pap smear. Jika remaja melakukan seks terutama dengan berbilang pasangan, pemeriksaan pap smear sangat digalakkan.

Risiko untuk barah serviks berkait rapat dengan umur ketika hubungan seks pertama dilakukan, jumlah pasangan dan merokok. Lebih awal bermulanya hubungan seks dan lebih banyak pasangan, maka lebih tinggi risiko mendapat barah serviks. Ujian pap smear perlu dilakukan secara berkala.

Selain pemeriksaan sel di bahagian serviks, ada banyak lagi manfaat daripada pemeriksaan keseluruhannya seperti pemeriksaan dalaman, ujian ultra sound atau pemeriksaan payu dara dan tekanan darah.

Kekerapan ujian pap smear ialah setiap tahun bagi dua kali yang pertama. Jika kedua-dua keputusan ujian itu normal, bolehlah dijarakkan pemeriksaan pap smear kepada dua hingga tiga tahun sekali.

Langkah ini dicadangkan kerana jarak tahunan atau tiga tahun sekali masing-masing mengurangkan risiko barah serviks 91 peratus dan 93 peratus. Jika semua ujian pap smear normal, seseorang wanita boleh berhenti menjalani pemeriksaan itu selepas 65 tahun.

Bagaimanapun, jika wanita itu berumur 65 tahun dan tidak pernah menjalani pemeriksaan pap smear, wanita itu digalakkan menjalani pemeriksaan berkenaan.

Wanita yang sudah membuang rahim melalui pembedahan, tidak perlu menjalani pemeriksaan pap smear kecuali pembedahan itu dilakukan kerana CIN pada serviks.

Dalam keadaan ini, ujian vault smear perlu dijalankan setiap tahun. Bagi masalah kurang subur selepas melahirkan seseorang anak, puan dinasihatkan datang berjumpa doktor kerana kemungkinan besar tiub fallopia puan tersumbat.

Pemeriksaan perlu dijalankan bagi memastikannya. Risiko tersumbat tiub fallopia agak tinggi jika puan mendapat jangkitan pelvis ketika dalam pantang.

http://www.palmdaledirectory.net/?ref=12