28/10/05
Wanita dan Seks: Krim pelembab atasi kesakitan ketika bersama
BEBERAPA hari selepas bersalin, jahitan terbuka tetapi selepas dirujuk kepada doktor dimaklumkan ia tidak perlu dijahit semula. Tetapi saya sukar membuang air besar dan apabila dirujuk sekali lagi, doktor memberitahu terdapat luka di dubur saya iaitu “fisher”. Ia hanya boleh dibetulkan selepas melahirkan anak kedua nanti.
Masalahnya, apabila bersama suami, ia menjadi sangat pedih. Paling menakutkan, saya dapati ada kesan darah pada seluar dalam dan ianya bukan haid. Kata doktor, saya mungkin dijangkiti herpes. Itu tidak benar kerana kami suami isteri yang sah. Kata doktor lagi, jika bukan sebab hubungan bebas mungkin kerana saya menggunakan tandas awam.
Ujian pap smear saya normal tetapi saya menggunakan pelincir apabila bersama suami untuk kurangkan pedih, malangnya kesakitan masih dirasai. Doktor, apakah ubat kebas lain yang boleh saya gunakan?
ISTERI TRAUMA
melalui e-mel
SEMEMANGNYA isu kesihatan perlu dipertikaikan supaya tidak memberi tekanan kepada individu. Selagi tiada penyelesaian, selagi itulah mereka yang mengalaminya tidak akan berasa senang.
Pembedahan yang dilakukan kepada pembukaan faraj ketika puan dalam keadaan hendak melahirkan anak sulung, ialah pembedahan 'episiotomi' atau pembedahan untuk meluaskan pembukaan faraj supaya pengeluaran bayi mudah dan pembukaan tidak terkoyak jika tekanan berlaku kepadanya akibat pengeluaran bayi.
Kebiasaannya, bukaan akan dicantumkan kembali dengan jahitan yang mana bahagian otot dan bahagian dalaman dijahit secara berasingan manakala bahagian kulit juga dijahit secara berasingan.
Ada sebilangan wanita yang alah dengan bahan jahitan diperbuat dari perut lembu dan jika itu berlaku luka tidak mudah bercantum, sebaliknya doktor akan membuat jahitan sekunder dengan menggunakan bahan sintetik seperti benang sutera yang perlu dipotong selepas jahitan cantum.
Apabila bahagian luar pembedahan itu tidak bercantum dengan betul, kulit sekunder akan menjadi tipis, berkedut, kering dan bahagian ini akan sentiasa sakit atau pedih apabila digesel seperti yang berlaku ketika bersetubuh.
Jeli pelembap seperti Top Gel dari Durex sesuai sebagai pelembap licin. Topaz tidak sesuai kerana ia mengandungi l-arginine yang boleh menyebabkan jangkitan herpes mudah kembali jika wanita itu pernah menghidapnya. Wanita yang mempunyai parut episiotomi yang keras dan ketumbuhan kulit yang tipis akan mengalami dispareunia luaran atau 'superficial dyspareunia' iaitu sakit setiap kali melakukan hubungan seks.
Apabila parut menjadi lembut dan kulit tipis mula menebal dan wanita itu melegakan pembukaan faraj ketika anggota sulit suami mula masuk, rasa sakit akan kurang dan hubungan kelamin menjadi lebih selesa.
Jika bekas parut menyakitkan boleh gunakan krim pengebas seperti (lignocaine gel 2 peratus). Krim pengebas tidak akan mengganggu bahagian lain anggota sulit wanita (seperti klitoris dan G-Spot dan langit faraj) jika krim itu tidak disapu di situ. Seseorang wanita itu masih mampu mencapai klimaks.
Jangkitan herpes perlu dipastikan sama ada ia akibat jangkitan dari kuman virus Herpes Simplex l yang berlaku kepada mulut, 'oral herpes' atau jangkitan Herpes Simples ll yang berlaku kepada anggota sulit. Kadangkala kedua-dua jenis Herpes terdapat pada anggota sulit.
Jangkitan jarang berlaku akibat tersentuh tempat duduk tandas awam kerana jangkitan ini lebih kepada seksual atau seks oral ketika pasangan ada bekas jangkitan kepada mulut (seks oral) atau anggota sulit.
Bagaimanapun, mustahak untuk memastikan sama ada puan ada menghidap jangkitan itu melalui ujian darah. Jangan terburu-buru memikirkan yang bukan-bukan tentang jangkitan ini kerana ia boleh juga berlaku kepada mereka yang belum berkahwin dan tidak pernah melakukan hubungan seks sama ada secara 'oral' atau 'genital'. Jangkitan ini berlaku kepada 45 juta rakyat Amerika dan kini secara global terdapat 30 peratus peningkatan jangkitan.
Mengenai 'anal fissure' atau kemerkahan kulit yang mengelilingi pembukaan lubang najis, ia berlaku akibat tekanan najis ke bahagian bawah pembukaan lubang najis, yang menyebabkan kulit tertarik dan merekah. Makan makanan yang mengandungi banyak serat dapat membantu melembutkan najis dan memudahkan pengeluarannya. [Sumber: Wanita dan Seks: Krim pelembab atasi kesakitan ketika bersama]