30/10/05

Empat isteri hias sebuah rumah

Oleh Daud Awang


JOHARI melihat keratan akhbar yang menyiarkan
kisahnya bersama tiga isterinya Siti (kiri)
Burok (dua dari kiri) dan Jamilah.


Kebiasaannya Johari menyambut Syawal bersama 29 anak, 100 cucu dan 40 cicit di kediamannya di Kampung Teluk Rimba
PROFIL Johari Kitam, bekas Ketua Kampung Teluk Rimba
ISTERI: Burok Kasim, Siti Kamas, Supinah Jowahir dan Jamilah Dol
ANAK: 29 orang
CUCU: 100 orang
CICIT: 40 orang

FAJAR 1 Syawal akan menyinsing tidak lama lagi dan saat itu amat dinantikan bekas Ketua Kampung Teluk Rimba, Johari Kitam, 89, serta empat isterinya, Burok Kanin, 80; Siti Kamas, 78; Supinah Jowahir, 76; dan Jamilah Dol, 74 untuk melayani anak, cucu dan cicitnya.

Ini kerana pada hari lebaran itulah seisi keluarga akan berkumpul di rumahnya di Kampung Teluk Rimba, Sungai Mati, Muar, bersempadan Sungai Rambai, Melaka. Kini, Johari dikurniakan 29 anak, lebih 100 cucu dan 40 cicit.

Isteri pertama, kedua dan ketiga masing-masing melahirkan tujuh anak manakala isteri keempat, lapan anak yang kini menetap dari Perlis hingga ke Johor. Semua mereka sudah berumah tangga.

"Mungkin tidak semua anak saya akan pulang serentak, tapi kehadiran lima atau enam keluarga sudah cukup memeriah dan meriuhkan rumah ini yang agak sunyi sekarang kerana kami hanya tinggal berlima.

"Jika mereka pulang, lelaki akan tidur di surau kerana rumah ini tidak dapat menampung jumlah yang terlalu ramai," katanya yang sering tersenyum dan dipercayai menjadi 'azimat' boleh menghimpunkan keempat-empat isterinya di bawah satu bumbung.

Mengimbau kembali sewaktu anak-anaknya masih kecil, Johari berkata beliau menyediakan wang yang agak banyak untuk membeli pakaian baru isteri dan anak-anak serta juadah hari raya.

"Ketika itu, kami hanya membuat persiapan ala kadar, seperti membuat ketupat dan kuih-muih untuk membolehkan semua ahli keluarga menyambut hari raya bersama.

Johari berkata, semua persiapan dan hiasan rumah juga dikongsi bersama bagi mengeratkan hubungan keempat-empat isterinya.

"Mungkin apa yang dibeli tidak sama dan ini boleh menimbulkan rasa cemburu," katanya.

Menceritakan kembali bagaimana beliau boleh beristeri empat, Johari berkata, ketika zaman British pada tahun 1940-an beliau bertugas sebagai mandur di Jabatan Parit dan Taliair (kini Jabatan Pengairan dan Saliran).

Ketika itu juga, hanya beliau satu-satunya pemuda yang memiliki motosikal BSA yang memudahkan pergerakannya.

Ketika berulang alik ke tempat kerjanya di Kesang Tasik, Melaka, beliau ternampak isteri pertamanya, Burok mengintainya di celah tingkap.

"Ini membuatkan hati pak cik ingin melihat gadis yang suka mengintai itu. Ditakdirkan ada satu majlis di masjid Kesang Tasik, pak cik berpeluang melihatnya dan terus jatuh hati lalu melamar dan berkahwin," katanya.

Johari berkahwin dengan isteri pertamanya, Burok Kasim pada 1940 ketika berusia 19 tahun manakala isterinya ketika itu berusia 13 tahun.

Beliau berkata, selepas setahun berkahwin, dia bertemu dengan isteri kedua, Siti, di Pangkalan Besar, Tangkak, Johor. Ketika itu bakal isterinya mengambil upah membuat sumpit (bakul).

"Saya maklumkan hasrat itu kepada isteri pertama dan dia setuju. Lagi pun waktu itu tidak perlu melalui proses mahkamah. Jadi, kami pun bernikah," katanya.

Dua tahun kemudian, Johari melahirkan hasratnya untuk berkahwin satu lagi dan memaklumkan kepada kedua-dua isterinya. Mereka bersetuju, lalu beliau berkahwin dengan Supinah yang ketika itu berumur 15 tahun.

Pada akhir pemerintahan British dan ketika bertugas sebagai Home Guard, Johari yang ketika itu berusia 23 tahun memaklumkan kepada ketiga-tiga isterinya untuk berkahwin lagi.

Berikutan itu, isteri pertama dan ketiga turut membantunya meminang Jamilah untuk dijadikan isteri keempat.

Semua isterinya, masing-masing mempunyai sebuah bilik berasingan. Beliau juga membina empat dapur di rumah yang mempunyai lapan bilik bagi membolehkan isterinya menguruskan rumah tangga dan menyediakan makanan untuk anak masing-masing.

Burok pula berkata, pada peringkat awal beliau memang marah apabila suaminya berkahwin lagi kerana takut hidup bermadu.

"Mak cik mengambil masa kira-kira setahun untuk menghilangkan kemarahan, tetapi kini perasaan itu hilang sendiri. Ilmu apa yang pak cik pakai makcik tak tahu. Perasaan marah meluap-luap boleh hilang sebaik saja melihat dia (Johari).

"Sebab itulah mak cik dan isteri ketiga sanggup pergi meminang madu yang keempat selepas mengetahui beliau ingin berkahwin lagi," katanya.

Johari yang dipujuk berkali-kali supaya menurunkan ilmu atau petuanya tetap menyatakan tidak ada sebarang petua untuk menyejukkan perasaan marah isteri, kecuali membanyakkan istighfar dan bersabar.

"Pak cik tak sembunyi nak kahwin. Pak cik berterus terang agar semua isteri tahu," katanya sambil menambah tidak seorang pun anak lelakinya mengikut jejaknya.

Johari berkata, beliau tidak menghadapi sebarang masalah apabila sakit atau demam kerana semua isterinya sedia merawatnya.

Isteri keempatnya, Jamilah berkata beliau juga terharu kerana semua madunya sanggup bersengkang mata untuk membantunya ketika diserang angin ahmar.

"Sebelah anggota badan mak cik lumpuh. Kakak-kakaklah yang membantu menyuapkan makanan dan mempersiapkan diri.

"Tanpa bantuan mereka sukar bagi macik menjalani kehidupan harian. Alhamdulillah, anggota yang tidak boleh digerakkan sebelum ini sudah beransur pulih, kecuali tangan kiri masih lemah," katanya sayu.

Jamilah berkata, sebagai isteri muda, beliau sungguh bahagia walaupun terpaksa bermadu kerana mendapat layanan adil.

"Persefahaman yang wujud menyebabkan semua isteri menganggap anak tiri seperti anak sendiri dan tidak membezakan antara satu sama lain," katanya.

Siti pula menyifatkan hidup bermadu banyak membantu dan meringakan beban keluarga.

"Sikap saling membantu membolehkan semua 29 anak kami dilahirkan di rumah tanpa bantuan orang lain.

"Jika mak cik melahirkan anak, madu yang lain akan membantu menguruskan makanan dan membasuhkan pakaian di samping menjaga anak yang lain," katanya.

Berkat kesabaran, tolong-menolong dan iltizam keempat-empat madu ini membolehkan mereka terus tinggal sebumbung bersama Johari sejak 40 tahun lalu.

Berikutan itu, keluarga terbabit menerima Anugerah Ibu Bapa Mithali peringkat daerah Muar pada 2001 dari Jabatan Agama Johor (JAJ) dan Anugerah Keluarga Bahagia sempena Hari Keluarga Kebangsaan peringkat Muar pada 2001 daripada kerajaan Johor.