17/10/05

Siti impikan keberkatan perkahwinan


Oleh Zubir Mohd Yunus

WEDDING of the year 2006 milik Diva Pop Negara, Siti Nurhaliza Taruddin? Mungkin ya dan mungkin juga tidak. Apabila dirinya diajukan soalan adakah dia akan menamatkan zaman solonya tahun depan, gara-gara spekulasi perkahwinannya yang dikatakan akan berlangsung sekitar 2006, Siti tidak memberikan jawapan pasti. Dia terus bermain teka-teki.

MEMANG sukar untuk Siti membuka mulut apabila diminta memberi gambaran awal mengenai majlis perkahwinannya yang diramal berlangsung sekitar 2006.

Sejak dikaitkan mempunyai hubungan perniagaan dengan tokoh korporat yang hanya dikenali sebagai Datuk K, dirinya terus dihambat spekulasi demi spekulasi dan terbaru, Siti dikatakan bakal melangsungkan perkahwinannya pada Ogos atau September tahun depan selepas dia menjayakan semua urusan kerjaya nyanyiannya terutama siri konsert jelajahnya di seluruh Indonesia yang dijadual bermula awal tahun depan.

Justeru, Siti dikatakan terpaksa menangguh urusan perkahwinannya agak lewat walaupun pada mulanya ramai yang menjangkakan sesuatu 'keajaiban' akan berlaku pada 11 Januari depan yang juga ulang tahun hari jadinya yang ke-27.

Apabila diajukan soalan itu, Siti tergelak kecil lalu memberitahu, dia tidak pernah merancang apatah lagi mempunyai sebarang tarikh perkahwinan seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.

“Apabila bercakap mengenai rancangan perkahwinan, saya sebenarnya tak pernah menetapkan sebarang tarikh, tempat dan siapa orangnya. Jodoh pertemuan, ajal dan maut semuanya ketentuan Tuhan. Ia akan datang suatu hari nanti, insya-Allah.

“Orang kata, kita hanya mampu merancang sesuatu yang baik, namun semuanya dengan keizinan Tuhan, Dialah yang menentukan segala-galanya,” kata Siti yang seakan meminta media dan peminat terus berteka-teki.

Kata Siti lagi, dia tidak mahu mengimpikan perkahwinannya yang hebat.

“Saya tak nak berangan lebih-lebih apabila memperkatakan mengenai rancangan perkahwinan.

Kalau betul jodoh saya dah sampai, saya akan kahwin, tapi bila, saya tak tahu...” ujar Siti yang terlalu berhati-hati menyusun kata-kata.

Pun begitu, sebelum menempuh gerbang perkahwinan, adakah Siti seperti anak gadis lain sedia menikmati saat merisik dan bertunang sebelum diijabkabulkan?

“Memang saya tak pernah ada perancangan ke arah itu. Tapi, kalau sudah sampai masanya, pastinya setiap orang akan mengimpikan yang indahindah.

Sekiranya perkahwinan saya berlaku suatu hari nanti, biarlah perkahwinan itu memperoleh keberkatan berbanding perkahwinan yang dibuat secara besar-besaran,” jelasnya.

Tambah Siti, dia meminta media mahupun peminat supaya tidak terlalu mempercayai spekulasi.

Namun, Siti memberi jaminan, dia akan membuat pengumuman sekiranya sudah tiba masa dia mendirikan perkahwinan.

Apabila ditanya sama ada dia akan mengadakan sidang media atau sekurang-kurangnya mengirimkan faksimili kepada pihak media mengumumkan tarikh pernikahannya, sekali lagi jawapannya juga negatif.

“Inilah realiti yang perlu saya lalui. Selagi saya belum berkahwin, selagi itulah orang akan buat spekulasi. Kahwin, saya tentu kahwin, tapi tak tahu bila,” ujarnya.

Sementara itu, Siti bakal membawa lima anggota keluarganya termasuk ibunya untuk mengerjakan umrah di Tanah Suci. Kata Siti, mengikut perancangan awal, dia bakal menyambut Aidilfitri di Makkah.

“Insya-Allah selepas Aidilfitri ini, saya akan muncul dengan sebuah album studio terbaru,” ujarnya.


Info Siti:

# Siti Nurhaliza Taruddin dilahirkan pada 11 Januari 1979 dan berasal dari Kuala Lipis, Pahang.

# Anak kelima daripada lapan beradik ini mula dikenali ramai sejak memenangi pertandingan Bintang Hiburan Minggu Ini (HMI) 1995.

# Antara lagu popularnya ialah Percayalah, Cindai, Nirmala, Purnama Merindu, Bukan Cinta Biasa, Dialah Di Hati dan Lagu Rindu. Manakala albumnya termasuklah Jerat Percintaan, Aku Cinta Padamu, Cindai, Adiwarna, Seri Balas, Sahmura, Safa, Emas dan Prasasti Seni.

# Siti ialah artis yang paling banyak menerima anugerah. Sehingga kini dia memiliki 129 anugerah.

# Antaranya ialah Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 1996,1997,1998,1999, 2000, 2001 dan 2004. Terbaru, Siti menerima pengiktirafan dari The Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai artis Malaysia pertama mengadakan konsert solo di Royal Albert Hall, London, 1 April lalu.

# Iklan komersial yang pernah dijayakan Siti termasuklah Maybelline, Pepsi, TM Net, Blue, Hotlink dan Samsung.

# Terbaru, Siti tampil bersama VCD Siti Nurhaliza In Concert Royal Albert Hall, London yang diterbitkan penganjur konsert berkenaan, Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn Bhd (SNP) dan Putrade Property Management Sdn Bhd. Ia sudah pun berada di pasaran mulai 10 Oktober lalu dan diedarkan oleh Suria Records Sdn Bhd (SRC) .