Terpulang kepada gadis-gadis sahaja sama ada menerima ataupun tidak, bab memfitnah itu perkara kecil malah ada lelaki yang sanggup ugut gadis untuk berkahwin dengannya. Apabila dah kahwin barulah dia takutkan isterinya. Tapi sebenarnya bukan takut cuma tak mahu bertanggungjawab. Inilah yang gadis-gadis mesti faham.
Bagaimanapun minggu ini kita ikuti kisah seorang isteri yang kecewa dengan sikap suaminya, sudahlah tidak berpelajaran, tidak bekerja ketika ditemui, tetapi setelah `dibersihkan, digilap bercahaya' dan mempunyai pekerjaan dan gaji juga boleh tahan tingginya, dia pula dianggap sebagai isteri yang tidak tahu diri dah tua, kaki kontrol dan tidak sedar diuntung.
Kata Zubaidah, ketika berbual di telefon, jiwanya tertekan angkara suaminya yang selalu sangat jatuh cinta, dan dia tidak ada tempat nak mengadu, kalau ikutkan perasaan mahu sahaja dia melarikan diri, tetapi memikirkan nasib anak-anak yang memerlukannya, dia terpaksa memendam perasaan. Tapi tak tahu berapa lama.
Kerana tidak ada kemudahan Internet, maka saya syorkan beliau menulis sahaja kemudian fakskan kepada penulis, kerana di pejabatnya memang ada kemudahan tersebut, tapi katanya, dia tidak akan puas kalau tak bercerita.
Setelah membaca surat yang difakskan, penulis hubunginya, dan kami berbual agak lama juga. Dipendekkan cerita, pengalaman pahit yang dilalui oleh Zubaidah memang boleh memakan jiwanya jika dibiarkan lama.
Katanya, dia pernah terfikir untuk menamatkan hayatnya, tetapi tak jadi kerana ingatkan anak-anak, dia tidak ada tempat nak mengadu, fikirannya berserabut, suami gelarkan dia dah expired, sebagai wanita lemah lembut jiwanya tertekan apabila dikutuk, dipanggil dengan pelbagai gelaran oleh suami terhadapnya.
``Saya sedar saya jauh lebih tua daripadanya ketika berkahwin dahulu. Saya ibu tunggal, suami saya meninggal dunia kerana penyakit yang dihidapinya, arwah meninggalkan kami berempat beranak, namun hidup saya tidaklah susah sangat, walaupun tidak sesenang ketika arwah masih ada. Setelah sekian lama sendirian saya dilamar.
``Rosli mendesak hendak kahwin dengan saya. Saya suruh dia fikir 100 kali, namun dia tetap dengan keputusannya. Adik-beradik saya menegah sebab kata mereka, masalah rumah tangga kami tidak nampak sekarang, tetapi akan susahkan saya dalam masa 10 atau 15 tahun akan datang.
``Ketika itu saya berusia dekat 40 tahun. Sedangkan Rosli baru 25 tahun. Memang kami tak sesuai menjadi pasangan suami isteri macam kakak dengan adik kalau dilihat daripada perbezaan umur kami 15 tahun itu.
``Tapi wajah dia tidaklah muda sangat disebabkan pengalaman hidupnya yang susah, jadi dia dilihat lebih matang, wajahnya kelihatan dah berbaya kerana susah.
``Rosli anak dagang dari kampung, sejak kecil dia membantu keluarganya, setelah ibu bapanya bercerai, disebabkan kemiskinan dia terpaksa melakukan pelbagai jenis kerja kampung, tetapi hasilnya memang tak berbaloi langsung.
``Masih muda belia dia berhijrah ke KL melepaskan dirinya daripada belenggu kemiskinan. Di KL disebabkan tidak ada saudara dan kenalan dia jadi anak jalanan, dia melakukan pelbagai jenis pekerjaan. Tidak ada tempat tinggal yang tetap, di mana ada kerja di situ dia melepaskan lelah dan melelapkan mata.
``Entah macam mana kami bertemu, dia jadi buruh kasar, kebetulan waktu itu dia bekerja dekat rumah saya. Bermula dengan bertegur sapa akhirnya kami menjadi kawan rapat. Dah rapat dia lahirkan hasratnya untuk berkahwin dengan saya. Bagaimanapun saya tak cepat terima, saya menasihati dan mengingatkan Rosli tentang kedudukan umur kami yang berbeza, dia bujang saya janda, umur yang jauh lebih tua dan ada anak.
``Tetapi kata Rosli itu semua jangan dijadikan masalah sebab yang penting kami bersedia berumah tangga, dan tahu tanggungjawab masing-masing. Memanglah ketika itu hidup Rosli memang susah, maklumlah kerja sebagai buruh sahaja.
``Setelah nikah saya cuba mengubah corak hidupnya, saya suruh dia berniaga, tetapi hasilnya tak memuaskan. Saya tak kira habis duit modal pun asalkan dia mahu berusaha untuk membaiki taraf hidupnya. Kerana saya tak mahu dia jadi buruh kasar lagi, kerja teruk sedangkan saya yang ada kelulusan bekerja pejabat. Tentu dia rasa tak selesa.
``Tak sampai dua tahun berkahwin, Rosli mula buat hal, sambil berniaga dia boleh main-main cinta. Hati saya mula terasa pahitnya. Tetapi saya bersabar, bila saya ingatkan dia tentang janjinya, dia baiklah sekejap, lepas itu sambung balik tabiat buruknya.
``Dalam pada itu saya carikan dia kerja yang lebih baik selepas berhenti berniaga, kerana saya ada ramai kenalan, pekerjaan yang sesuai tidaklah susah sangat nak cari. Dan Rosli berani mencuba walaupun dia memang tak tahu pada asalnya.
``Satu tabiat buruknya, dia suka sangat bercinta, pantang nampak gadis yang melayan senyumannya, semuanya dilayan dan mudah jatuh cinta. Setiap kali dia bercinta saya cepat dapat tahu, kerana sifatnya yang cepat lupa dunia. Sepanjang perkahwinan kami hampir 15 tahun saya rasa tidak kurang 12 orang gadis yang dia telah jatuh cinta, itu pun sepanjang yang saya dapat tahu. Tapi rasa-rasanya lebih daripada itu.
``Setiap kali dia bercinta saya akan nasihatkan dia tentang nasib anak-anak, saya mahu dia jaga anak-anak kalaulah saya mati dulu daripadanya, tetapi dia tak kisah langsung. Kerana sikapnya itulah saya terpaksa serahkan seorang anak saya kepada adik untuk dipelihara, sebab setiap kali saya hamil dia akan bercinta. Dan ketika bercinta, perubahan sikapnya sukar dikawal, saya menghadapi tekanan hidup yang amat sukar.
``Kami saling berbalah, dia akan menuduh saya kaki kontrol, cemburu buta, suka sekat kebebasan hidupnya, dan faham sajalah apabila bercinta dia jadi lupa diri, lupa dia ada anak isteri, perbelanjaan hidup semakin sempit. Sedangkan saya perlu bayar ansuran rumah dan kereta serta macam-macam lagi.
``Sebenarnya anak-anak saya terdahulu tak menyusahkannya, mereka bersekolah asrama, masuk IPT, jadi tidak banyak masa mereka di rumah kami. Bila bekerja mereka menyewa rumah sendiri bersama kawan-kawan. Mereka memang tidak menyusahkan saya dan ayah tirinya. Sebaliknya mereka sering membantu saya.
``Namun perkenalannya dengan wanita yang terakhir sekarang amat menyakitkan hati saya. Mulanya seperti biasa saya tidak menyedari perubahan dirinya. Taktik barunya bersama kawan-kawannya memang menakjubkan. Semua bermula daripada ajakan kawan-kawan untuk ke masjid mendengar majlis ilmu. Saya fikirkan baik, saya biarkan tanpa banyak soal, dia pun tidak mengajak saya ikut sama.
``Rupa-rupanya dari majlis ilmu ini mereka berpecah dan dia terus bertemu kekasihnya, yang kebetulan seorang peniaga. Saya masih tak sedar, hinggalah saya dapati banyak pakaiannya hilang dari almari dan saya jarang berjumpa pakaiannya lagi.
``Pakaian yang hilang ini pun saya sedar setelah membaca SMS dalam telefonnya. Mulanya saya dengar panggilan telefon, tapi tak diangkat, lepas itu masuk pula SMS. Alangkah terkejutnya saya bila saya baca terdapat perkataan yang memalukan. Antaranya perkataan `best giler!' Penghantarnya seorang wanita.
``Kerana tak puas hati saya tanya Rosli, biasalah mana nak mengaku malah menengking saya kerana membaca SMS dia. Saya hubungi wanita itu esoknya kerana dia masih mencari Rosli, waktu subuh. Apabila saya tanya barulah dia menceritakan dia dah lebih dua bulan kenal Rosli. Malah dia mengaku mengajak Rosli tidur di rumahnya.
``Lagi saya terkejut. Patutlah Rosli sering balik subuh pukul 4 atau 5 pagi baru sampai rumah, konon ada majlis ilmu di masjid dan di rumah kawan. Rupa-rupanya bermalam di rumah kekasihnya. Tanya punya tanya barulah terbongkar rahsia wanita ini sebaya saya, anak-anaknya semua dah lulus universiti dan dah bekerja, dia tinggal sendirian sambil berniaga untuk memenuhi masa lapang.
``Dia ibu tunggal dah 15 tahun bercerai, katanya dia kesunyian sebab itu dia melayan suami saya, katanya Rosli yang tergila-gilakan dia, sedangkan yang sebenarnya dia sentiasa mencari Rosli bila tak datang ke rumahnya. Dan dia tergamak memberi kunci rumahnya kepada Rosli untuk tidur dulu sementara menunggu dia balik berniaga.
``Saya nasihatkan Rosli kalau benar dia nak kahwin, bukanlah dengan wanita sebaya saya, carilah yang lebih muda, jangan nak main-main, berdosa. Saya sedar dah tua, sebab tu dia tak sukakan saya. Tapi janganlah aniaya saya dan anak-anak, bagi kami nafkah secukupnya jangan nak seronok dan senang sendiri. Ingat masa susah dahulu masa tak ada duit siapa yang tolong mengubah kehidupannya seperti yang ada sekarang.
``Rosli pernah mengaku dia tak sangka dia boleh hidup senang, siapa sangka dulu dia buruh kasar, tempat tinggal pun tak ada tapi sekarang dia ada kerja tetap dengan gaji dekat dua ribu. Tapi dia tak ucapkan terima kasih pada saya pun.
``Namun saya ingatkan dia supaya ada simpanan, sebab kita bukan kakitangan kerajaan ada pencen, apabila duit KWSP habis nanti apa nak makan, jangan ingat nak senang saja. Macam biasalah apabila dinasihatkan dia lagi melenting.
``Bagaimanapun bila Rosli tak datang ke rumahnya setiap malam, paginya wanita ini akan menelefon memujuk rayu, konon dia kesunyian. Malah dia merayu saya memahami perasaan dan hatinya yang lama sendirian. Saya suruh dia mengucap. Dia memang tak malu langsung. Bila saya nasihat supaya mencari ilmu buat bekalan mati nanti, katanya saya tak payah nasihatkan dia, yang dia perlukan cuma suami saya.
``Sejak seminggu dua ni, memang Rosli tidak berkunjung ke rumahnya lagi. Semakin galaklah panggilan telefon diterima memujuk rayu Rosli supaya jangan tinggalkan dia malah dia bersedia memberikan apa sahaja yang Rosli mahu asalkan tidur di rumahnya.
``Sebagai isteri apa perasaan anda? Inilah yang saya hadapi sejak hampir tiga bulan lalu. Kalau anda di tempat saya apa patut anda lakukan, panggil pegawai pencegah maksiat?'' tanya Zubaidah tentang masalahnya bersuami muda.
Tidak ada siapa pun di dunia ini yang tak ada masalah, semua orang ada masalah tersendiri. Kalau tidak dengan suami, dengan anak-anak, mungkin mentua, gangguan ipar-duai atau jiran namun atasinya dengan baik.
Sementara itu pada anda yang memberikan pandangan terbaik dalam forum di laman web dcckmona.com, hadiah menarik mungkin menjadi milik anda. Dan terima kasih atas pandangan yang diberikan. - www.dcckmona.com
dcckmonaum@hotmail.com - MAIMUNAH