21/10/05

Isteriku lelaki

Edisi KL : Isteriku lelaki
Oleh Rashidi Karim

KANGAR: Satu pasangan suami isteri sedang disiasat pihak berkuasa agama Islam kerana meragui status jantina si isteri yang dikatakan lelaki selepas mereka berkahwin, baru-baru ini.

Perkahwinan pasangan itu terbongkar apabila si `isteri’ membawa pulang suami ke rumahnya di Utan Aji, dekat sini, untut memaklumkan kepada keluarga mengenai perkahwinan mereka.

Sumber berkata, si isteri itu berusia awal 20-an adalah penduduk tempatan manakala suaminya berusia 30-an berasal dari Alor Star dan kes mereka kini dalam siasatan Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips).

Beliau berkata, pasangan itu mendakwa berkahwin di negara jiran sejak sebulan lalu atas dasar cinta tanpa pengetahuan keluarga masing-masing.

“Bagaimanapun, perkahwinan itu terbongkar apabila si isteri membawa suami kesayangannya pulang ke rumahnya di Utan Aji, untuk memaklum kepada keluarga.

“Bapanya yang tahu anaknya seorang lelaki berang lalu menelefon polis kerana beranggapan anaknya tidak layak dipanggil isteri,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, kes itu sudah dirujuk kepada pihak berkuasa agama negeri dan siasatan terperinci, termasuk mengenal pasti status jantina isteri terbabit sudah dilakukan.

Jurucakap polis ketika dihubungi enggan menggulas perkara itu kerana menganggap kes itu adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama.

Sementara itu, Bahagian Penguatkuasa Jaips ketika dihubungi Harian Metro enggan menggulas mengenai dakwaan wujud perkahwinan sesama lelaki kerana siasatan masih dijalankan.

“Kami tidak boleh mendedahkan perkara ini kerana ia boleh menjejaskan imej Perlis. Anda (wakil Harian Metro) selalu menimbulkan masalah kepada kami.

“Saya enggan memberi sebarang komen. Tunggu pengarah balik daripada mengerjakan Umrah,” kata seorang pegawai penguat kuasa Jaips.

Sumber itu berkata, pasangan itu hadir ke pejabat Jaips beberapa hari lalu untuk diambil keterangan manakala si isteri sudah diminta menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Pemeriksaan doktor mendapati si isteri langsung tidak mempunyai fizikal seorang wanita, cuma jiwa dan perasaan lebih kepada wanita.

“Lelaki berkenaan yang juga suaminya dikatakan mengetahui kedudukan isterinya tetapi tidak mengambil sebarang tindakan kerana terlalu mencintai pasangannya,” katanya.

Katanya, lelaki dari Kedah dan pasangannya itu dikatakan mahu mendaftar perkahwinan mereka di Perlis.

“Si suami dikatakan dalam keadaan tertekan dan takut berpisah dengan pasangannya serta kerap menghubungi Jaips bagi mempercepatkan keluaran surat nikah yang sah,” katanya.