13/10/05

`Saya terima hakikat cacat seumur hidup'

TUAN AZMAN TUAN LUDIN
Oleh NIEZAM ABDULLAH

KOTA BHARU 12 Okt. - Anggota tentera, Lans Koperal Tuan Azman Tuan Ludin, 31, yang cedera parah disimbah asid oleh isterinya mengakui tidak dapat menahan sebak apabila melihat wajahnya di cermin dan terpaksa menerima hakikat kecacatan tersebut harus ditanggungnya seumur hidup.

Apa yang paling mengharukan katanya, kecacatan pada wajahnya itu menyebabkan rakan-rakan sekerja juga sukar untuk mengenalinya.

``Saya sedih apabila melihat wajah saya di cermin tetapi dalam masa yang sama saya bersyukur kerana masih mampu berjalan dan melihat walaupun saya sudah tidak seperti dahulu,'' katanya di sini hari ini.

Tuan Azman mengalami penderitaan tersebut kesan akibat disimbah asid oleh Siti Khalifah Sulong, 53, pada 31 Julai lalu, semata-mata kerana melahirkan hasrat untuk berpoligami.

Akibatnya, Tuan Azman yang merupakan jurulatih taekwondo di Kem Pengkalan Chepa di sini cedera parah pada bahagian muka dan badan.

Tuan Azman terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian bagi menjalani proses penampalan kulit.

Selepas kira-kira dua bulan ditahan di wad, Tuan Azman akhirnya dibenarkan keluar dari hospital petang semalam.

Peristiwa itu menyebabkan Siti Khalifah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 30 Ogos lalu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana melakukan kecederaan parah.

Wanita itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Tuan Azman berkahwin dengan Siti Khalifah yang merupakan seorang janda beranak sembilan ketika berumur 18 tahun dan dikurniakan seorang anak perempuan, Norsafida yang kini berusia 10 tahun.

Menurut Tuan Azman, akibat perbuatan isterinya itu, mata kirinya kini kabur serta sepet sebelah. Bibirnya juga tidak boleh ditutup rapat selain kesan parut pada muka dan badan yang sukar untuk dipulihkan.

Tuan Azman memberitahu, pada masa ini dia terpaksa bergerak seperti robot disebabkan kepalanya masih tidak dapat dipusingkan kerana ketegangan kulit.

Dia juga mengakui terasa pedih pada bahagian muka setiap kali ingin membuka mulut untuk makan.

Mengenangkan kecacatan dan penderitaan itu kata Tuan Azman, dia tetap dengan keputusannya untuk menceraikan Siti Khalifah dan meneruskan hasrat berkahwin dengan gadis impiannya, Normasalina Mohd. Noor, 22.

``Apabila keadaan saya sudah baik, saya akan menguruskan penceraian saya di Mahkamah Syariah dan mengaturkan perkahwinan saya dengan Normasalina. Lagipun keluarga saya sudah pun menemui ibu bapa bakal isteri saya itu,'' katanya.