23/07/06

Impian baru Ina selepas putus tunang

NordianaWAJAH ayu Ina mengenakan baju kurung tajaan butik Kirana mampu menawan kalbu. Oleh: NIEZAM ABDULLAH

Ramai yang bersimpati dengan nasib Nordiana Md. Naim selepas Mawi memutuskan pertunangan dengannya. Ia lebih tragis lagi apabila hubungan itu diputuskan tatkala Mawi sedang berada di puncak populariti sedangkan Nordiana atau Ina hanya seorang gadis kampung.

Walaupun terlalu berat tetapi Ina menerima tragedi itu sebagai satu takdir ke atas dirinya. Bagi Ina, perkara yang berlaku itu umpama mimpi kerana tidak pernah terfikir percintaan dan pertunangan dengan Mawi putus di tengah jalan.

Gadis berusia 22 tahun itu terpaksa menerima hakikat jodohnya dengan Mawi sudah tiada. Namun Ina tetap berterima kasih kerana Mawi merupakan insan pertama yang berjaya mengetuk pintu kasihnya dan menjaganya ketika mereka merentasi relung-relung percintaan.

Ina juga tidak akan melupakan saat-saat manis mereka berdua sebelum Mawi bergelar penyanyi. Bagi Ina, kenangan indah pertemuan pertama ketika Mawi mengajak dia menonton wayang di Johor Bahru akan terus tersemat selama-lamanya.

“Setiap hujung minggu kami selalu keluar tengok wayang. Kami suka tengok cerita kelakar terutama lakonan Yassin dan Apek.

“Kalau ada masa terluang kami selalu pergi karaoke di Kulai. Biasanya Mawi akan naik kereta Ina, cuma sesekali saja Ina menumpang motor Mawi,’’ kata Ina diminta mengimbas saat manis itu.

Tetapi itu semua sudah berlalu. Ia sekadar kenangan yang telah pergi dan tidak akan datang kembali. Bagi Ina, sekalipun pertunangan diputuskan tetapi dia tetap bersyukur biarpun hanya sekadar mengenggam kenangan manis suatu waktu dulu.

Ina juga bersyukur hubungannya dengan Mawi turut mengubah kedudukan Ina daripada seorang gadis kilang, kepada seorang eksekutif.

Semuanya kerana Ina merupakan tunang Mawi dan populariti yang diraih penyanyi itu turut Ina rasai tempiasnya. Sebelum hubungannya dengan Mawi putus, Ina banyak mendapat tawaran bekerja termasuklah dipanggil temu duga sebagai kerani bank.

Namun Ina menolak kerana tidak mendapat keizinan Mawi. Bagaimanapun selepas hubungan mereka putus, Ina perlu membuat keputusan sendiri selain nasihat daripada kedua-dua orang tuanya. Ina juga ingin menyara keluarga di Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi, Johor.

“Ina perlu bayar ansuran kereta, nak tolong mak ayah dan macam-macam lagi yang perlu Ina buat.

“Bila ada tawaran kerja dengan gaji yang lebih daripada apa yang Ina dapat sebelum ini, Ina perlu mengambil peluang itu dengan baik,’’ katanya.

Jelas Ina, dia kini bekerja sebagai eksekutif pemasaran dengan Syarikat Etnik Harmoni Sdn. Bhd., berpejabat di Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur.

Ina memulakan tugasnya hampir tiga minggu lalu dengan syarikat tersebut yang membekalkan rangkaian Internet. Gajinya juga lumayan dan mencecah empat angka yang jarang Ina peroleh sebelum ini.

Dalam masa yang sama syarikat tersebut turut memberi peluang kepada Ina mencari pendapatan lain sebagai model.

Bagi projek pertama, Ina terlibat sebagai model cara-cara memakai tudung untuk sebuah syarikat telekomunikasi yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

“Ina mengambil peluang menceburi bidang baru itu selepas dipujuk beberapa kali oleh pengarah syarikat berkenaan. Selepas berbincang dengan ahli keluarga, mereka bersetuju melepaskan Ina ke Kuala Lumpur dan memberi kebenaran tinggal bersama mak cik Ina di Kampung Baru.

“Mungkin ada yang anggap Ina gila glamor tetapi percayalah hajat pertama Ina hendak bantu keluarga.

“Rezeki itu tidak datang bergolek sebaliknya kita yang perlu berusaha mencarinya. Ina begitu gembira dengan pekerjaan sekarang di samping majikan yang betul-betul ingin melihat kehidupan Ina sekeluarga berubah,’’ katanya.

Apabila ditanya bagaimana perasaannya terhadap Mawi, kata Ina, tipulah jika dia dapat melupakan terus semua kenangan dulu yang telah berlalu itu. Namun Ina sering mengelak apabila ditanya tentang penyanyi itu.

“Cukuplah... Ina tidak mahu mengingatinya lagi,’’ kata Ina mengelak diungkit-ungkit kerana kenangan yang dulunya manis kini sudah menjadi pahit kepadanya. [MM]