14/07/06
Nostalgia lafaz nikah
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
MESKIPUN sudah menjalani upacara mandi mayang, pelakon Ezany Nizariff tetap gementar ketika acara akad nikah dilakukan. Lalu, selepas dua kali lafaz, barulah jejaka dari Perlis ini sah bergelar suami kepada Lizda Nuryanti Abidin, 1 Julai lalu.
Mandi mayang kononnya sebahagian tradisi etnik Bisayak (belah isteri) bagi mengelakkan rasa gemuruh serta menaikkan seri pengantin sebelum dikahwinkan. Sebagai menghormati resam keluarga Lizda, Ezany tunaikan acara berkenaan. Namun, sudah ditentukan dia perlu melafazkan akad sebanyak dua kali sebelum wanita berusia 24 tahun itu menjadi miliknya.
“Sewaktu kursus kahwin, mereka menggunakan lafaz ‘aku’, manakala ketika akad sebenar, ‘saya’ pula digunakan. Ketika menghadiri kursus juga, mereka memberikan isyarat untuk saya menjawab lafaz dengan mengeratkan lagi genggaman tangan, sebaliknya ketika acara sebenar, tiada pula isyarat itu diberikan. Itulah sebabnya saya terlambat jawab sehingga lafaz kedua perlu dilakukan,” cerita Ezany yang mengenali Lizda pada sebuah majlis hari lahir seorang rakan, kira-kira setahun setengah yang lalu.
Bersyukur kerana semuanya berlangsung dengan sempurna, Ezany tetap tidak dapat melupakan kemeriahan majlis perkahwinannya dengan wanita dari keturunan Banjar (sebelah bapa) dan Filipina (ibu) itu.
“Bayangkan, kami hanya menjemput kira-kira 600 tetamu, bagaimanapun hampir 4,000 orang yang datang pada hari persandingan. Tidak ramai sangat yang hadir pada acara sebelah siang, tetapi pada malamnya, saya sendiri tidak percaya melihat lautan manusia yang mengerumuni rumah Lizda.
“Namun, alhamdulillah tetamu berkenaan sedikit sebanyak dapat juga merasa hidangan. Kami menambah 100 kilogram lagi beras untuk dimasak. Tetapi, bukan semua datang untuk makan. Ramai yang datang sekadar memeriahkan acara dan ingin bergambar dengan kami berdua. Kehadiran tetamu yang cukup ramai itu mungkin kerana hebahan yang dibuat sebuah stesen radio di Sabah,” kata Ezany.
Terlanjur bercerita mengenai keinginan untuk bergambar, Ezany ketawa kecil apabila mengingatkan peristiwa dia dan isteri ke pasar, sehari selepas persandingan mereka.
“Kami ke pasar untuk membeli ikan, tetapi sebaik saja tiba di sana, tiba-tiba hampir semua penjual berkenaan meninggalkan tempat jualan masing-masing. Mereka datang untuk merakam kenangan. Lebih melucukan apabila mereka memanggil saya dengan nama Irfan, watak lakonan saya dalam Natasya,” cerita pelakon berusia 33 tahun ini.
Berkahwin di Tawau juga, katanya, banyak kelainan. Selain acara makan gula dan garam, badan dicalit dengan air kapur, dia juga tidak menyangka jamuan makan diadakan sehingga lima malam dengan pelbagai tujuan.
Sementara itu, pada majlis pernikahan itu, Lizda menerima wang hantaran berjumlah RM15,000, sebentuk cincin tunang (acara merisik dan bertunang diadakan sehari sebelum akad nikah) dan sebentuk cincin kahwin, seutas rantai pada upacara membatalkan air sembahyang, serta tujuh dulang hantaran yang berbalas sembilan.
Setelah mendirikan rumah tangga, tentu saja pasangan pengantin baru mempunyai perancangan untuk membesarkan keluarga. Ezany dan Lizda pula mengambil pendekatan menerima saja ketentuan Maha Esa. Mereka pastinya tidak menolak jika rezeki datang dalam masa terdekat.
FAKTA
EZANY dan Lizda kini menjadikan Bukit Jalil sebagai tempat tinggal mereka berdua.
LIZDA yang dulunya bekerja bersama sebuah syarikat pengurusan acara, kini berkemungkinan mengikuti suami sebagai pembantu peribadi.
PAKAIAN pengantin sepanjang acara ditaja Butik Jalinan Mutiara, Semua House, Kuala Lumpur.
REZEKI perkahwinan, Ezany kini turut terbabit dalam perniagaan SMS. Peminat boleh menaip EZANY dan menghantarkannya ke 33313 untuk mendapatkan profil, maklumat lakonan, muat turun, belian topi dan kemeja, serta peluang untuk memenangi hadiah bercuti bersamanya di sebuah pulau dan wang tunai yang secara keseluruhannya berjumlah RM10,000.
EZANY akan muncul di Astro Ria bermula 1 Ogos depan, menerusi drama bersiri Januari, diikuti Kantoi pada pertengahan Ogos dan filem Ikon kemudiannya. Tiga projek tadi adalah terbitan Emac Vision. Ezany turut terbabit dalam penggambaran drama 40 episod Desir Hadhari serta berkemungkinan besar sekali lagi memegang watak Irfan dalam Natasya 2. [BH]