Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
PERKAHWINAN gemilang yang dicanang akan berlangsung suatu hari di bulan Ogos - 8, 21 atau 28 Ogos nanti? - terus meresahkan peminat dunia hiburan terutama mereka yang meminati Siti Nurhaliza Tarudin.
Kalangan ini bertanya bila agaknya Siti dan pasangannya Datuk Khalid Mohd Jiwa atau lebih terkenal dengan panggilan Datuk K akan bersuara? Ada sumber berbisik barangkali Siti akan membuka rahsia sekembalinya dari Jakarta ini. Melihat jadualnya penyanyi itu akan berada di ibu negara esok.
Topik perbincangan semakin hangat apabila kalangan ini terus berbicara mengenai buku tulisan Syed Sheikh Al-Attas atau Pak Habib berjudul Kalau Jodoh Tak Ke Mana. Ada yang bagaikan tidak percaya rupa-rupanya kisah cinta Siti dan Datuk K sudah berlangsung agak lama.
Dalam pada itu bukan tidak sampai juga ke meja Hip, ada kalangan peminat yang berkata bahawa orang sebenar yang akan menjadi milik Siti adalah Dr Fazley Yaakob dan bukannya Datuk K. Kononnya, Datuk K itu adalah bapa saudara kepada penyanyi yang kini menjadi pakar motivasi dalam program Akademi Fantasia musim keempat.
Bagaimanapun dalam kekalutan itu, kedua-dua bakal pengantin ini terus membisu seribu bahasa sedangkan orang lain yang tidak kena mengena lebih sibuk dan resah merisik khabar.
Siti sendiri sudah seminggu berada di Jakarta untuk mempromosikan album terbarunya Transkripsi. Bagaimanapun, sumber dari Jakarta berkata, kisah cinta dan perkahwinan Siti tetap menjadi bahan bualan peminatnya di sana. Semalam, Siti muncul dengan Desy Ratnasari dalam sebuah program malam amal.
Persiapan perkahwinan semakin rancak?
Walaupun setakat ini tidak ada apa-apa yang lahir di bibir bakal pengantin atau keluarga terdekat tetapi segala perancangan perkahwinan mereka sudah pun dihidu.
Siti dan Datuk K khabarnya memilih Pusat Persidangan Kuala Lumpur (KLCC) bersebelahan Menara Berkembar Petronas (KLCC) untuk melangsungkan perkahwinan. Selain lokasi yang strategik, KLCC tentunya menjadi pilihan mempelai yang bercita rasa tinggi dan berkemampuan.
Siti penyanyi wanita paling popular, sementara Datuk K pula usahawan berjaya yang dikenali dikalangan pembesar negara. Majlis persandingan itu khabarnya akan berlangsung di Dewan Pameran (Exhibition Hall) yang mampu memuatkan 2,000 tetamu.
Nusantara Gems milik Datuk Shah Reza yang menjadi perancang perkahwinan Aidit Marcello dan Norzie Pak Wan Chik katanya dilantik untuk merancang perkahwinan paling ‘meletup’ tahun ini.
Siti serta bakal suami tercinta akan berarak menaiki kereta kuda menuju ke dewan besar yang lazimnya menjadi pilihan golongan korporat menganjurkan apa saja majlis sama ada korporat atau perkahwinan.
Kononnya untuk majlis di KLCC saja, Datuk K melabur kira-kira RM500,000 untuk meraikan saudara mara dan sahabat handai. Bukan Datuk K saja akan berbuat sedemikian, rasanya sesiapa saja yang dapat berkahwin dengan seorang penyanyi popular, cantik dan berbudi pekerti mulia seperti Siti tentu sanggup berhabisan demi isteri tercinta.
Kebetulan pula, pihak pengurusan pusat itu baru saja melancarkan pakej perkahwinan mereka, kelmarin. Memang hebat pakej itu dan sesuai sekali untuk meraikan pasangan popular ini. Apabila ditanya, sama ada Datuk K sudah membuat tempahan, kakitangannya tetap ‘zip’ mulut.
KLCC memang lokasi paling sesuai untuk mempelai popular seperti mereka melangsungkan perkahwinan kerana terletak di kawasan segi tiga emas yang sering menjadi tumpuan tidak kira penduduk tempatan dan luar negara.
Apa lagi orang yang mempunyai nama dan ramai kenalan hebat seperti Datuk K, tentulah mahu perkahwinan dilangsungkan dalam majlis yang cukup gilang gemilang dan sempurna. Di luar Dewan Pameran, sebuah taman cantik terhampar cukup sesuai untuk laluan kuda.
Untuk sebuah majlis yang sempurna seperti itu, rasanya berbaloi Datuk K berhabisan kerana dewannya memang cukup eksklusif dengan pemandangan sekitar yang cukup cantik.
Gaun pengantin ciptaan Adji Notonegoro
PENDEK kata semuanya perlu sempurna daripada dewan, hantaran dan busana pengantin yang akan digayakan. Melihat Siti menyarung pakaian pengantin memang sudah lama dinantikan peminatnya kerana Siti mempunyai prinsip tidak memakainya selagi belum benar-benar bergelar raja sehari.
Beberapa nama pereka fesyen terkenal tersenarai antara yang menghasilkan baju Siti seperti Radzwan Radzwill dan Michael Ong. Tetapi apabila ditanya mereka juga ‘zip’ mulut juga.
Khabarnya juga mengikut satu sumber dari Jakarta, seorang pereka popular dari kota itu, Adji Notonegoro juga diberi kepercayaan oleh Siti mereka baju untuk hari bahagianya.
Adji bukan calang-calang pereka kerana busananya hanya disarungkan isteri pak menteri dan penyanyi terkenal di Indonesia.
Menurut satu sumber, Siti memang menyenangi rekaan Adji yang bernilai daripada RM25,000 hingga RM100,000.
Setiap kali berkunjung ke Indonesia, Siti pasti memilih rekaan Adji. Orang yang memperkenalkan Siti kepadanya ialah penyanyi popular juga iaitu Krisdayanti. Dalam klip video Biarlah Rahsia, Siti turut menyarungkan rekaan Adji.
Tak syak lagi perkahwinan antara Siti Nurhaliza dan Datuk K pasti akan menjadi ‘Wedding Of The Year’. Bagaimanapun, semuanya masih lagi menjadi tanda tanya selagi Siti tidak bersuara. Apakah yang dinantikan pasangan yang sedang asyik bercinta ini tiada siapa yang tahu. Hip mendoakan agar perkahwinan mereka akan berkekalan hingga hujung nyawa! [BH]