11/07/06

Isteri didakwa tukar agama dibenar tuntut fasakh


KUALA LUMPUR 10 Julai
- Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini membenarkan tuntutan fasakh (cerai) seorang wanita terhadap suaminya, seorang rakyat Britain yang mendakwa bekas isterinya itu telah memeluk agama Kristian.

Hakim Syarie, Mohd. Yunus Mohamad Zin membenarkan tuntutan Amnah Shaari, 41, yang berkahwin dengan Roderick John Brooks @ Roderick Yusof Abdullah, 60, pada 8 Jun 1992 di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak Timur, Selangor.

Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan pada 12 April tahun lalu, Amnah mengemukakan tuntutan itu dengan alasan bahawa Roderick Yusof tidak menunaikan nafkah batin sejak lapan tahun lalu, cuai dan tidak memberikan nafkah zahir selama lebih tiga bulan, menganiaya dan menyebabkan kehidupannya menderita, berkelakuan sumbang serta tidak bermoral.

Pasangan itu berkahwin kira-kira enam bulan selepas Roderick Yusof memeluk agama Islam.

Sepanjang pernikahan mereka, pasangan itu tidak dikurniakan cahaya mata.

Sementara itu, di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, Hakim Syarie Zulfikri Yasoa menetapkan 2 Oktober ini hujahan lisan kedua-dua pihak berhubung dakwaan Roderick yang menyatakan Amnah telah menukar agama kepada Kristian.

Roderick Yusof pada 7 Februari lalu mengemukakan permohonan perisytiharan sama ada Amnah seorang Islam atau Kristian pada tarikh pernikahan mereka berdua.

Amnah bagaimanapun telah memfailkan notis bantahan memohon supaya permohonan Roderick Yusof ditolak.

Amnah diwakili oleh peguam syarie, Kamar Ainiah Kamaruzaman manakala peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan mewakili Roderick Yusof.

Dalam permohonannya, Roderick Yusof mendakwa, Amnah yang pernah menetap di Amerika Syarikat telah memeluk agama Kristian pada 23 September 1988.

Lelaki itu yang menetap di negara ini di bawah program ‘Malaysia Sebagai Rumah Kedua’ mendakwa, dia ada menerima maklumat daripada penyiasat di Amerika yang mengesahkan pertukaran agama Amnah tersebut.

Amnah dalam afidavit sokongannya pula menegaskan bahawa dia masih menganut agama Islam, ibu bapanya beragama Islam dan dia berpegang teguh kepada ajaran Islam dan menunaikan kewajipan solat serta berpuasa dari dahulu hingga kini.

‘‘Saya tidak pernah mengisytiharkan diri saya ataupun membuat apa-apa permohonan di mana-mana Mahkamah Syariah atau pun Sivil untuk keluar daripada Islam,'' kata Amnah.

Wanita itu turut menyatakan bahawa kandungan Laporan Keahlian Gereja bertarikh 6 Mac 2005 yang kononnya dia telah menukar agama kepada Kristian pada 23 September 1988 di Church of Latter Day Saint adalah tidak benar sama sekali. [UM]