18/07/06

Siti, Datuk K bernikah 21 Ogos

BAKAL PENGANTIN BARU... Khalid Mohamed Jiwa dan Siti Nurhaliza Tarudin pada sidang media khas selepas mengumumkan tarikh pertunangan dan pernikahan mereka di Kuala Lumpur, semalam.

Oleh NORLIZAH ABAS

KUALA LUMPUR 17 Julai – Penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza Tarudin, 27, dan Datuk Khalid Mohamed Jiwa atau Datuk K, 47, akhirnya menamatkan teka-teki mengenai hubungan mereka apabila kedua-duanya mengumumkan tarikh pertunangan dan pernikahan serentak pada Isnin, 21 Ogos ini di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta di sini.

Pasangan sehati sejiwa itu pada satu sidang akhbar khas di sebuah hotel di sini turut memaklumkan, mereka sepakat memilih tarikh berkenaan bagi memperoleh keberkatan sempena Israk Mikraj yang jatuh pada hari sama.

Majlis persandingan pula akan berlangsung seminggu kemudian iaitu pada 28 Ogos di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Tarikh itu secara kebetulan merupakan hari ulang tahun ke-38 perkahwinan ibu bapa penyanyi itu, Tarudin Ismail dan Siti Salmah Bachik.

Pasangan itu akan turut diraikan di rumah pengantin perempuan di Kuala Lipis, Pahang pada Ahad, 3 September ini.

Sidang akhbar hampir satu jam itu berlangsung dalam suasana agak ‘kecoh’ apabila Siti Nurhaliza dan kekasihnya yang berpakaian sedondon berwarna jingga kekuningan dihujani soalan bertubi-tubi.

Keadaan diburukkan lagi apabila sebilangan besar jurugambar mengeluh ekoran kesukaran mendapatkan sudut terbaik kerana dewan yang agak sempit dan panas dipenuhi hampir 250 tetamu dan wakil media.

Pada sidang akhbar itu, Siti Nurhaliza cukup berahsia ketika ditanya kriteria tertentu membuatkan beliau tertawan kepada Datuk K.

“Biarlah perkara-perkara yang membuatkan Siti tertarik kepada Datuk Khalid menjadi rahsia. Namun salah satu daripadanya yang boleh Siti kongsi bersama dengan anda semua adalah kasih sayang beliau terhadap empat anaknya, itu yang membuatkan Siti kagum,’’ ujar beliau.

Keempat-empat anak Datuk K hasil perkongsiannya dengan bekas isteri, Tengku Zawiyah Tengku Izham ialah Mohd. Anas, 19; Mohd. Adib, 16; Mohd. Ashraf, 14 dan Mohd. Azif, 8.

Selain ibu bapa Siti, anak ketiga ahli perniagaan itu, Mohd. Ashraf turut hadir pada sidang akhbar tersebut ditemani kakak Datuk K, Zaiton Mohamad Jiwa.

Datuk K pula ketika diajukan soalan serupa, secara ringkas berkata, ‘‘Siti Nurhaliza adalah seorang yang istimewa’’.

Penyanyi tersohor itu turut menyatakan, keputusan memilih Datuk K sebagai pasangan hidup dibuat selepas berfikir secara mendalam selain mendapat petunjuk Allah s.w.t.

Siti Nurhaliza turut diuji dengan soalan ‘nakal’ mengenai penerimaan anak-anak Datuk K terhadapnya selepas berkahwin kelak.

Penyanyi itu bagaimanapun bijak menjawab dengan menyatakan beliau akan mencuba sedaya upaya menjadi ibu yang baik kerana perkahwinan tersebut bukan melibatkan Datuk K semata-mata tetapi turut melibatkan keluarganya.

“Siti perlu memberikan kasih sayang terbaik, tidak ada bezanya. Insya-Allah, insya-Allah,’’ ujar beliau.

Gadis manis kebanggaan Malaysia itu turut ditanya mengenai hubungannya yang dikatakan mendapat tentangan keluarga.

Siti Nurhaliza menjelaskan, perkara itu adalah biasa tetapi ia dapat ditangani seandainya kedua-dua pasangan berniat jujur dan berani menerima risiko.

Penyanyi itu cukup tenang ketika dilontarkan soalan mengenai jarak umur 20 tahun yang memungkinkan wujud masalah dalam berumah tangga.

Beliau menangkisnya dengan menyatakan, setiap pasangan perlu berbalik kepada amalan agama dan yakin bahawa jodoh pertemuan dan ajal maut ditentukan oleh Allah s.w.t.

Ketika ditanya mengapa mengambil masa begitu lama membuat pendedahan pada media, Siti Nurhaliza menyatakan, bukan niat mereka berahsia tetapi mereka memilih tarikh sesuai selepas mengadakan perbincangan mendalam dengan keluarga kedua-dua belah pihak.

Siti Nurhaliza turut ditanya bila beliau mula menjalin hubungan intim dengan duda beranak empat itu.

Penyanyi itu menyatakan, mereka mula rapat selepas pulang dari mengadakan persembahan di Royal Albert Hall, London, April tahun lalu.

Suasana sidang akhbar yang pada mulanya hangat turut diselitkan dengan soalan-soalan peribadi termasuk panggilan Siti Nurhaliza kepada Datuk K dan lokasi mereka akan berbulan madu.

Seperti biasa, penyanyi itu menyatakan: “Biarlah rahsia.’’

Datuk K turut dihujani pelbagai soalan termasuk lagu penyanyi itu yang paling diminatinya dan beliau juga menjawab: “Biarlah rahsia.’’

Siti Nurhaliza ketika ditanya mengenai reaksi berbeza peminat mengenai kisah percintaannya menyatakan, beliau pasrah kerana masyarakat mempunyai pandangan masing-masing.

Sebelum sidang akhbar berlangsung, bapa penyanyi tersebut dalam ucapan ringkasnya menyatakan, beliau sekeluarga merestui hubungan anaknya dengan Datuk K. [UM]