SECARA luarannya, wanita yang baru lepas bersalin nampak sihat saja. Bagaimanapun, hakikatnya mereka berdepan dengan pelbagai risiko yang boleh mendorong kepada tekanan perasaan yang tidak disedari suami.
Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr Ho Choon Moy, berkata suami harus memahami bahawa wanita dalam pantang mudah tertekan terutama sekiranya suami tidak menunjukkan perasaan simpati seperti membantu menguruskan rumah tangga mahupun bayi yang baru dilahirkan.
“Selepas bersalin, biasanya 5 hingga 30 peratus wanita mengalami tidak lawas membuang air kecil. Ini disebabkan otot menjadi longgar selepas bersalin, menyebabkan pengaliran air kecil tidak dapat dikawal seperti dulu.
“Akibatnya mereka perlu kerap ke tandas dan akhirnya ia cukup meletihkan dan menimbulkan tekanan. Ini adalah antara masalah utama yang paling kerap dihadapi wanita tetapi kurang dipandang serius. Kira-kira 11 peratus wanita berusia 70 tahun menjalani pembedahan akibat kencing tidak lawas atau vagina yang menurun,” katanya.
Beliau berkata, masalah lain yang dihadapi wanita selepas bersalin ialah luka akibat pembedahan, sembelit, buasir atau haemorrhoids dan vena verikos (urat bersimpul).
Selain itu, perubahan diri selepas bersalin juga menyebabkan rasa tertekan kepada ibu seperti keguguran rambut yang banyak, perubahan pada kulit akibat menyusu dan tanda bersalin seakan rekahan yang tidak hilang sama ada pada payu dara atau perut.
“Kemurungan disebabkan kesihatan dan perubahan tubuh juga menyebabkan perubahan kepada penurunan keinginan untuk melakukan hubungan intim. Fungsi seks menurun sebanyak 43 peratus juga disebabkan bimbang jika hamil semula dan rasa tidak selesa akibat masalah kencing tidak lawas.
“Perubahan hormon juga menjadi faktor penurunan keinginan seks. Hampir 50 peratus wanita langsung tidak bernafsu, manakala 21 peratus kurang ghairah,” katanya.
Bagi mengatasi masalah kencing tidak lawas atau penurunan vagina atau salur kencing, Dr Ho mencadangkan pesakit mengamalkan senaman untuk lantai pelvik menggunakan kaedah senaman Keegel. Senaman ini dilakukan dengan melakukan kemutan pada vagina seolah-olah menahan kencing selama beberapa saat.
Kaedah ini perlu dilakukan sekurang-kurangnya 50 kali sehari pada bila-bila masa, sama ada ketika berjalan, berdiri, duduk atau berbaring.
“Wanita lepas bersalin boleh mengembalikan bentuk badan asal dengan bersenam dan menjaga pemakanan. Ramai berfikir, menyusukan bayi boleh menyebabkan payu dara hilang bentuk tetapi ini tidak benar. Apa yang boleh dilakukan ialah dengan memakai baju dalam yang betul walaupun tidak menyusu.
“Amalkan makanan kurang berminyak dan lemak serta bersenam seperti berjalan pantas selepas habis pantang. Sebolehnya dalam tempoh dua minggu banyakkan berehat dan jangan berdiri terlalu lama kerana tarikan graviti boleh menyebabkan rahim ‘jatuh’,” katanya.
Beliau juga menggalakkan pasangan merancang kehamilan bagi mengawal jarak kelahiran anak dan menjamin kebahagiaan pasangan. Berdasarkan kajian pada 1976, purata perceraian di kalangan pasangan yang tidak menggunakan perancang keluarga lebih tinggi iaitu sebanyak 16.4 peratus berbanding pasangan yang menggunakan perancang keluarga iaitu 6.1 peratus.
Pada tahun 1988 juga menunjukkan kadar perceraian di kalangan pasangan yang tidak menggunakan perancang keluarga lebih tinggi dengan jumlah 10.6 peratus berbanding pasangan yang menggunakan perancang keluarga iaitu hanya 4.6 peratus.
Statistik ini secara tidak langsung menunjukkan keluarga yang terancang lebih bahagia. Apa yang penting, suami perlu membantu dan lebih memahami supaya isteri tidak tertekan selepas melahirkan. [BH]