11/07/06

Tokoh korporat mohon pengesahan lafaz cerai

KUALA LUMPUR 10 Julai - Tokoh korporat, Tan Sri Mohd. Ibrahim Mohd. Zain telah memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai dengan Puan Sri Susi Nurani Razikin di Mahkamah Rendah Syariah di sini selepas isterinya itu mempersoalkan perkahwinan beliau dengan seorang wanita Filipina, 16 tahun lalu.

Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan pada 22 Jun lalu, Mohd. Ibrahim, 63, mendakwa, beliau melafaz dan menandatangani satu dokumen dengan niat menceraikan Susi Nurani, 44, pada pukul 3.10 petang, 21 Jun lalu di ibu negara.

Lafaz cerai itu berbunyi seperti berikut:

“Saya, Mohd. Ibrahim Mohd. Zain dalam keadaan sedar dan waras, pada hari ini dengan rela hati menceraikan isteri saya, Susi Nurani Razikin dengan talak satu.''

Menurut pernyataan tuntutan itu, Mohd. Ibrahim menyatakan beliau bernikah dengan Susi Nurani secara sah pada 6 Jun 2002.

Pasangan tersebut tidak dikurniakan sebarang cahaya mata.

Pada prosiding hari ini, Hakim Syarie, Abdul Shukor Abd. Hamid menetapkan 24 Julai ini sebutan semula permohonan itu bagi memberi peluang kepada Susi Nurani selaku defendan menjawab pernyataan tuntutan Mohd. Ibrahim.

Abdul Shukor juga menetapkan 27 Julai ini untuk mendengar permohonan Mohd. Ibrahim bagi membatalkan permohonan Susi Nurani yang ingin mendapatkan perintah agar perkahwinan antara tokoh korporat itu dengan Crystal Desiree Raymond Abdullah, 51, difaraqkan (dipisahkan) mengikut Seksyen 10(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Permohonan itu dikemukakan setelah Susi Nurani, seorang perunding perniagaan sangsi dengan perkahwinan Mohd. Ibrahim dan Crystal di Pulau Phuket, Thailand pada tahun 1990.

Ini kerana, Susi Nurani mendakwa, pernikahan antara Mohd. Ibrahim dan Crystal dilangsungkan tanpa mengikut hukum syarak memandangkan wanita Filipina tersebut waktu itu dikatakan masih belum memeluk agama Islam.

Ia berdasarkan kepada rekod yang menunjukkan bahawa Crystal memeluk agama Islam pada 12 Ogos 1995 di Ibu Pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).

Mohd. Ibrahim pula dalam notis membatalkan permohonan itu memberi alasan bahawa Susi Nurani tidak mempunyai hak di sisi undang-undang untuk memulakan kes faraq kerana beliau telah menceraikan Susi Nurani pada 21 Jun lalu.

Mohd. Ibrahim turut menyatakan perkahwinannya dengan Crystal tidak perlu dipertikaikan kerana telah disahkan dan didaftar secara sah oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan surat perakuan nikah telah pun dikeluarkan.

Mohd. Ibrahim adalah tokoh korporat yang pernah atau masih memegang jawatan dalam pelbagai syarikat termasuk Amanah-Chase Merchant Bank Berhad, Metrojaya Berhad, Pan Malaysia Industries Berhad (PMI), KNK Kenanga Holdings Bhd. dan Semantan Capital Sdn. Bhd.

Mohd. Ibrahim diwakili peguam syarie, Zulkifli B.C.Yong dan Normawaddah Ramli manakala peguam syarie Aziani Resaman mewakili Susi Nurani.

Sementara itu, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang, Selangor, hari ini turut menangguhkan pada 18 September ini bagi permohonan Susi Nurani berhubung pindaan cerai kepada hidup bersama semula dengan suaminya, Mohd. Ibrahim.

Hakim Syarie, Saharuddin Selamat membuat keputusan itu selepas dimaklumkan oleh peguam Rubiah Jaafar bahawa wujudnya perkembangan baru iaitu permohonan Mohd. Ibrahim untuk menceraikan Susi pada 22 Jun lalu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur. [UM]