Sejauh mana kebenaran apa yang Joyah coretkan ini, hanya masa yang akan menyaksikannya. Kita sama-sama tunggulah ya. Sebabnya Joyah sendiri pun tidak tahu sejauh mana ia benar-benar wujud, tetapi hanya bersandarkan kepada beberapa kenyataan teman-teman yang sangat rapat dengan industri hiburan, Joyah coretkan di ruangan ini.
Riuh sana sini kalangan orang media pada ketika ini bercerita kononnya jejaka yang menjadi idaman banyak si gadis manis, Mawi akhir-akhir ini semakin intim dengan rakan seakademinya. Siapa dia? Amylea? Bukan... Eliza? Bukan. Marsha? Ya, betul. Tepat sekali.
Menurut sumber Joyah, kemesraan Mawi dan Marsha terbawa-bawa sehingga ke beberapa acara persembahan di dalam negara dan di negara Brunei tidak lama dulu.
“Si Marsha tu memang manja dengan sesiapa saja Joyah. Tapi dengan Mawi ni lain sikit. Alah orang sekeliling dia orang pun ada juga yang sudah tahu, tapi mereka tutup mulut saja. Joyah cubalah risik-risik dengan mereka. Memang ada sesuatu,” bagi tahu sumber berkenaan.
Walaupun mereka pernah digosipkan dulu, tetapi tidak ke mana-mana hubungan itu apabila Mawi masih menjadi tunangan orang. Maka usikan, senyuman dan kemesraan hanyalah sekadar ‘usik-
usik’ saja. Bila timbul gosip Mawi dan Diana Rafar, maka cerita itu tenggelam semula. Tetapi semenjak hubungan Mawi dan Ina bermasalah, hubungan baru itu mula terjalin. Dan ia diteruskan lagi sehinggalah sekarang.
Jeng... jeng... jeng... episod baru akan bermula. Dan biasalah selepas ini Joyah akan dikutuk dan dimaki oleh peminat fanatik Mawi. Tapi tak apalah. Selagi Joyah dapatkan berita daripada sumber yang layak untuk dipercayai, Joyah akan menyatakannya di ruangan ini walaupun mungkin ada sesetengah peminat tidak boleh menerimanya.
Hubungan yang cukup mesra itu ada kaitannya dengan keserasian antara mereka berdua, kononnyalah. Kalaulah betul macam tu, Joyah tak mahu ulas apa-apalah. Dan Joyah pun tahu juga apa yang akan terkeluar daripada mulut mereka selepas ini kalau ditanya. Tapi tak apa. Banyak mulut yang akan membuat laporan secara terus kepada Joyah dari semasa ke semasa. Kita tunggu dan lihat. [MM]