30/12/09

Apabila manis jadi pahit



Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

Pada pandangan zahir, pasangan itu sama cantik dan sepadan bagaikan pinang dibelah dua.

Pokoknya tiada yang kurang, dikurniakan pula kemewahan yang melimpah ruah namun hidup kita tiada yang sempurna. Apabila bersangkut soal hati, ia sukar dimengerti dan apabila sekeping hati itu sudah mula merajuk tiada yang dapat memujuk.

Perceraian bukan saja berlaku di kalangan artis dan selebriti bagaimanapun kerana kerjaya yang diceburi menjadikan mereka milik masyarakat, cerita mereka menjadi bualan. Semakin disorok semakin seronok untuk dibongkar kisah di sebalik tabir kemilau dan kemasyhuran yang dikecapi.

Tahun 2009 mencatat suka duka silih berganti. Yang baru mendirikan rumah tangga pasti sedang mengulit bahagia. Mereka yang baru mendapat cahaya mata pula tentu berasakan dunia ini mereka punya dan pada yang baru terlerai kasih, jangan bersedih.

Perceraian penceramah bebas, Akhil Hayy, 40, dengan isterinya, Maizawati Zainal, 33, akhir Mei lalu, paling mendapat perhatian berikutan Maizawati membuat pendedahan terbuka menerusi program televisyen.

Pasangan itu akhirnya bercerai pada 15 Julai lalu selepas Akhil melafazkan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh, Perak.

Penyanyi Waheeda atau nama sebenarnya Norwahida Abdul Wahab dikatakan penyebab keruntuhan mereka. Pun begitu setiap kali ditanya keintiman yang mula terjalin sama ada Akhil atau Waheeda, mereka menafikan sekeras-kerasnya. Kisah mereka semakin panas apabila ada yang terserempak dengan mereka menonton wayang bersama. Akhil juga mengundang Waheeda muncul dalam rancangan berbentuk nasihat kepada golongan remaja, Cafe Akhil Hayy 2.

Selepas puas menafikan mereka ada hubungan intim, akhirnya kebenaran terbongkar jua apabila sebaik saja Akhil bercerai dengan Maizawati, mereka terus menikah pada 16 Ogos lalu.

Perceraian yang turut menjadi berita sensasi ialah pernikahan tidak sah penerbit, pelakon dan dan pengarah terkenal Aziz M Osman, 47 dan pasangannya, Nor Radhiah Ramli, 23.

Pada 1 Februari lalu. Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Trengganu, memutuskan pernikahan Aziz dan Radhiah yang berlangsung pada 16 Ogos 2008, tidak sah dan mengarahkan pasangan itu berfaraq (berpisah).

Perkahwinan itu diputuskan tidak sah kerana ketika mereka berkahwin, Radhiah belum tamat edah bagi perkahwinan pertamanya dengan Engku Ahmad Hisham Engku Abdullah. Pernikahan Nor Radhiah dengan Engku Ahmad Hisham pula diputuskan mahkamah sebagai tidak sah kerana dinikahkan secara wali hakim oleh jurunikah warga negara Thailand, di luar bidang kuasa istikhlafnya iaitu bukan di dalam wilayah Narathiwat, Thailand.

Barangkali tahun ini juga menjadi kenangan pahit untuk pelakon dan model, Natasha Liana Hudson, 28, yang sekali lagi gagal mempertahankan rumah tangga keduanya dengan ahli perniagaan dan politik, Datuk Shahrin Zahari, 28, yang hanya bertahan dua tahun.

Pasangan itu berkahwin pada 29 Julai 2007 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Neesa Helena. Pernikahan pertama Natasha dengan Mohd Faiz Mohd Raih, 29, hanya bertahan lima bulan. Mereka berkahwin pada 6 Mei 2006.

Beego, 29 pula mencatatkan sejarah peribadi tersendiri apabila hanya 10 hari bergelar suami. Perkahwinan yang diselimuti duka itu berakhir dengan perceraian. Punca kenapa ikatan suami isteri itu terlerai, hanya mereka yang tahu.

Mengakhiri hubungan itu yang terlalu banyak kekusutan yang timbul, maka pada 16 Mac lalu, Beego atau nama sebenarnya Mohd Aszerul Nizam Abdullah, sah melafazkan cerai talak satu terhadap Intan Shahira Mohd Shahru Bahari, 28, yang dinikahinya pada 29 Disember 2007.

Aktres popular era 90-an, Salina Zaimon atau Lydiawati, 43, pula dibayar RM105,000 oleh bekas suaminya, Azhar Mohd Zar, 35, atas perintah mahkamah selepas dicerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Langat selepas tiada bersefahaman antara mereka. Mereka berkahwin pada Ogos 2008.

Kisah keretakan rumah tangga Jamaludin Elias atau Nash, 48, antara yang menjadi tajuk utama akhbar apabila pengasas produk kecantikan Nouvelles Visages,Sosilawati Lawiya, 44, memohon cerai taklik sebelum Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam membatalkan permohonan injunksi secara ex-parte (sebelah pihak) yang dibuat bekas isterinya.

Bagaimanapun, Nash yang bernikah pada 16 November 2006 di Batu Pahat, Johor dan didakwa keluar dari rumah kelamin mereka pada 13 Ogos 2007, akhirnya sah melafazkan talak satu kepada Sosilawati di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Kuala Lumpur pada 26 Mei lalu.

Pelawak, pelakon dan pengarah AR Badul turut mengejutkan ramai apabila disahkan bercerai dengan isterinya, Muna Liza Basir melalui talak khuluq (tebus talak) sebanyak RM1 pada 22 Jun lalu selepas gagal menemui jalan penyelesaian berhubung pergolakan rumah tangga mereka.

AR Badul yang berkahwin dengan Muna Liza sejak lapan tahun lalu didakwa wanita itu melafazkan cerai di Bukit Antarabangsa, Ampang pada 16 September 2008.

Raja Pop Malaysia, Jamal Abdillah, 50, sekali lagi berdepan dilema perceraian apabila perkahwinan ketiganya dengan Fatimatu Zahra Samad, 25, pada 3 Januari 2006 di Thailand, berakhir dengan pengesahan talak satu yang dilafazkannya pada 15 Mei 2007.

Pelakon utama filem Santau, Puteri Mardiana Zainal Abidin, 28, dan Shahnaz Norwawi, 32, disahkan bercerai taklik dengan talak satu pada 25 Ogos lalu selepas mengingkari syarat taklik dengan keluar rumah tanpa izin suami pada 3 Julai.

Tanpa banyak publisiti selepas berkahwin, tiba-tiba pasangan selebriti, Siti Nordiana Alias, 25, dan Mohd Faizal Mohd Yusop, 31, yang bernikah pada 26 April 2006 disahkan bercerai talak dua di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, Negeri Sembilan setelah Faizal melafazkan cerai melalui telefon bimbit dua kali iaitu pada 27 Julai dan 25 Ogos.

Pelakon drama Kisah Kaisara dan Tari Tirana, Wan Sharmila Wan Mohamed, 28, turut disahkan bercerai dengan talak satu pada 23 Oktober lalu selepas tiga tahun bergelar isteri kepada penerbit Radius One Sdn Bhd, Fazli Baharom, 37, selain dramatis Emma Akma Yunus, 40, yang bercerai buat kali ketiga dengan bekas suaminya yang juga pengarang akhbar tabloid, Mohd Kamal.

Beberapa kes perceraian artis yang masih dalam proses perbicaraan turut dapat perhatian termasuk permohonan pengesahan lafaz cerai isteri penyanyi Mamat atau Mohd Ali Kamarudin, 31, Marshila Mustapa yang ditangguhkan sehingga Februari 2010 kerana bekas vokalis kumpulan Exists itu dimaklumkan masih di Singapura kerana terbabit dalam kes kecurian telefon bimbit pelakon di sana.

Turut mendapat perhatian, perbicaraan kes perceraian kali kedua vokalis OAG, Radhi Razali, 32, dengan Shazlin Sharif, 31, yang bakal disambung 18 Januari depan.

Selepas insiden tercedera akibat jatuh tangga di kediamannya, Ida Nerina Hussain, 45, menghadapi satu lagi tamparan hebat apabila suaminya yang juga bekas anggota kumpulan Black Rose, Sha'arin Mohammed Razali memohon pengesahan lafaz cerai 29 Oktober lalu.

Proses perceraian antara penyanyi Erema atau nama sebenarnya Dayang Zaira Erema Awang Moshdad, 25, yang memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 pada Aidilfitri 2008 terhadap komposer, Jamaluddin Sulik atau Seri Bayu yang kini menghidap penyakit saraf 'motoneuron' juga belum selesai.

Sumber: Harian Metro untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, Munakahat, Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, NikahKahwin.Co.Cc, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online.

29/12/09

Elin koyak perjanjian kahwin



FLORIDA: Tiger Woods dan isterinya, Elin dilapor berperang besar sekali lagi dan Elin yang begitu berang dilapor mengoyak perjanjian praperkahwinan mereka.

Kandungan perjanjian itu menyatakan, Elin akan memperoleh AS$20 juta (RM69 juta) jika dia kekal berkahwin dengan Woods sekurang-kurangnya selama 10 tahun.

Memandangkan rumah tangga mereka baru saja lima tahun, Elin mahu perjanjian baru ditandatangani.

Menurut laporan, Elin ditawarkan beberapa juta dolar oleh suaminya untuk menyelamatkan perkahwinan mereka tetapi Elin sebaliknya mengoyakan dokumen perjanjian perkahwinan mereka.

Akhbar Guardian yang diterbitkan di London melaporkan, Tiger bersetuju membayar AS$5 juta (RM17 juta) secara tunai kepada Elin.

Selain itu, bekas model warga Sweden berusia 29 tahun itu juga akan memperoleh AS$55 juta (RM189 juta) lagi jika terus menjadi isterinya untuk selama dua tahun lagi.

Woods yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke 34 minggu ini dan terbabit dalam skandal seks dengan sekurang-kurangnya 14 wanita, berusaha mengelak rumah tangganya daripada runtuh.

Bagaimanapun, Elin dilapor sudah tidak berminat dengannya lagi dan menuntut separuh daripada kekayaan Woods serta hak penjagaan terhadap dua anak mereka.

Seorang rakan Elin berkata: “Jika boleh dia mahu semua harta Woods.” - AFP

Sumber: Harian Metro untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, Munakahat, Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, NikahKahwin.Co.Cc, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online.

19/12/09

Woods, Elin jadi pertaruhan

LONDON: Andainya Tiger Woods dan isterinya bercerai, Elin Nordegren bukanlan satu-satunya pihak yang bakal mengaut keuntungan.

Firma perjudian Britain, William Hill, kini membuka pertaruhan mengenai jumlah pampasan bakal diperoleh Elin jika bekas model itu memutuskan untuk berpisah daripada jaguh golf terbabit.

Ketika skandal seks Woods semakin terbongkar dan satu demi satu gundiknya tampil membuat pengakuan, kaki judi boleh membuat pertaruhan 21-1 untuk meramalkan Elin menerima lebih RM1.7 bilion sebagai penyelesaian perkahwinan mereka.

Nisbah pertaruhan menurun kepada 6-4 untuk ramalan penyelesaian itu dicapai pada nilai kurang RM340 juta.

William Hill hanya menawarkan nisbah 1-2 bahawa Elin memperoleh di antara RM340 juta dan RM1.7 bilion.

Jurucakap firma itu, Rupert Adams, berkata pertaruhan itu amat menyeronokkan.

Pada pertaruhan 25-1, seseorang yang bertaruh RM3.40 dan menang, boleh menerima habuan RM85.

Pada pecahan 6-4, kaki judi yang bertaruh RM13.40 boleh mendapat RM34.

Adams berkata, sebelum ini firma itu menerima pertaruhan bagi meramalkan sama ada Woods dan Elin akan bercerai tanpa mengambil kira pampasan diterima bekas model terbabit.

“Ia terlalu bersifat sebelah pihak jika penjudi hanya meramalkan perceraian,” katanya semalam.

William Hill turut membuka pertaruhan bagi meramal berapa ramai wanita tampil mengaku menjadi teman tidur Woods.

“Bagaimanapun, ia terlalu sukar dipastikan,” katanya.

Setakat ini, kata Adams, tiada kaki judi berani bertaruh dalam jumlah yang tinggi.

Dua lagi firma judi Britain, Ladbrokes dan Coral, hanya menerima pertaruhan mengenai pembabitan Woods sebagai pemain golf.

Jurucakap Coral, Gary Burton, berkata pihaknya mengelak daripada mencampuri masalah peribadi pasangan terbabit.

Jurucakap Ladbrokes berkata, firmanya lebih memikirkan pencapaian Woods dalam sukan. - AP

Sumber: Harian Metro untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, dan Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, Manggis.info

18/12/09

Kisah seorang jaguh golf

Kisah seorang jaguh golf

Bintang golf bilionair, Tiger Woods selama ini ditonjolkan sebagai pemain yang handal serta suami yang baik sehinggalah beberapa minggu ini apabila siri skandal dan kontroversi mencemarinya.




Figura yang satu ini diibaratkan permata dalam sukan golf. Sebut sahaja Tiger Woods, siapa sahaja pasti terkenang lelaki berkulit hitam manis, tinggi lampai yang tidak lekang mengukir senyuman itu. Sepanjang lebih sedekad berkecimpung dalam sukan golf profesional, boleh dikatakan berita kejayaan dan kehebatannya terpampang saban hari.

Dipalit skandal yang memalukan akhir-akhir ini, kita lupakan cerita itu seketika. Ini kerana kisah hidup Woods juga tidak kurang menarik untuk ditelusuri bersama.

Woods pernah membanggakan orang kulit hitam apabila menjadi orang kulit hitam pertama yang dinobatkan pemain golf No.1 dunia. Dia juga merupakan pemain golf paling muda yang memegang gelaran itu. Ketika itu, dia baru berusia 21 tahun.

Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan, dialah yang melonjakkan nama sukan golf. Buktinya, cuba tanya pada diri anda, siapakah pemain golf yang anda ketahui? Mungkin hanya namanya sahaja yang terpacul di bibir.

Woods mencatat rekod apabila meraih 10 kali gelaran Pemain PGA of the Year dan pemenang Kejuaraan Golf Dunia sebanyak 16 kali. Dia memegang rekod memenangi 71 kejohanan PGA Tour dan 14 kejohanan utama.

Kejayaan dan sejarah yang ditempa pemilik nama sebenar, Eldrick Tont Woods itu mungkin dilihat luar biasa oleh masyarakat umum. Tetapi Woods, 33 mungkin sudah menyedari akan pencapaian hebat dan kedudukan tinggi yang bakal diraih sejak kecil lagi.

Bak kata pepatah, kesuburan benih boleh dilihat daripada tunjangnya. Diskrispsi pepatah itu amat sinonim dengan agenda kehidupan Woods yang sudah pun mahir bermain golf sejak berusia tiga tahun lagi. Apabila kebanyakan daripada kanak-kanak sebaya masih tidak pandai bertutur, Woods mula menonjol di kaca televisyen dengan aksi golf yang mengagumkan.

Popular sejak kecil

Dalam program televisyen, The Mike Douglas Show yang popular pada sekitar tahun 1978, Woods telah membalas balik pukulan golf pelakon komedi Bop Hope. Aksinya dalam program itu telah menarik para audiens dan menjadi pentas pertama untuknya.


WOODS selama ini ditonjolkan sebagai suami dan bapa yang baik.


Berasal dari Cypress, California, Amerika Syarikat (AS), Woods menikmati populariti hari ini hasil daripada usaha gigih kedua-dua ibu bapa, Earl Woods dan Kultida. Bapanya yang berbangsa Afrika-Amerika merupakan seorang bekas tentera AS yang banyak mengasah bakat Woods sejak kecil.

Semasa sesi latihan persendirian, Earl melatih Woods dengan latihan berbaur ketenteraan untuk meningkatkan tahap konsentrasi ketika berada di padang golf. Pendekatan penuh tegas dan keyakinan ibu bapa Woods kepada bakatnya akhirnya membuahkan hasil apabila Woods memenangi kejohanan sulungnya pada usia lapan tahun.

Seperti lelaki AS lain, Woods pun menjalani kehidupan yang biasa dan sederhana. Semasa kecil pada waktu lapang, Woods gemar menghabiskan masa dengan permainan video dan membuat lawak jenaka di hadapan kamera video kepunyaan bapanya. Apapun, golf merupakan titik fokus utama hidupnya di mana dia banyak merangkul kemenangan dalam kejohanan yang berlangsung ketika itu.

Usaha yang gigih itu, membuatkan Woods melanjutkan pelajaran di Universiti Stanford dengan pembiayaan biasiswa daripada pelbagai pihak berasaskan sukan itu. Selama dua tahun di universiti itu, Woods membina reputasi dengan memenangi Kejohanan Amatur AS dan melayakan diri ke kejohanan utama yang berlangsung di Georgia pada tahun 1995.

Pemain profesional

Ekoran limpahan kemenangan itu, ketika berusia 20 tahun Woods telah membuat keputusan untuk menamatkan pengajian di universiti dan menjadi pemain golf profesional sepenuh masa. Tidak lama kemudian, pada sambutan ulang tahun hari jadi yang ke-21, dia telah menukar nama sebenarnya Eldrick kepada Tiger.


SAAT-SAAT bahagia Woods dan isterinya, Elin Nordegren.
BAWAH: ANTARA dua wanita yang dikaitkan dalam skandal seks Woods iaitu Rachel Uchitel (atas) dan Cori Rist


Sebenarnya, sejak kecil lagi, bapanya memanggilnya Tiger sebagai tanda memperingati seorang kawan baik tentera dari Vietnam.

Hanya lapan bulan selepas mengorak langkah sebagai pemain profesional pada tahun 1997, Woods berpeluang bermain dalam kejohanan paling prestij dan penting yang berlangsung di Kelab Golf Kebangsaan Augusta, Georgia. Dia juga telah menjuarai kejohanan itu dan melakar sejarah sebagai pemain muda yang merangkul gelaran juara itu.


REPUTASI Woods kini tercalar akibat skandal seks dengan 11 wanita.


Kejayaan hebat Woods sama sekali mengubah persepsi sukan itu yang didominasi oleh orang putih. Impak daripada kemenangan Woods membuatkan ramai lagi pemain-pemain muda daripada kumpulan minoriti lain semakin ghairah menceburi sukan golf.




Kemenangan yang berterusan itu turut mengukuhkan kedudukan kewangan Woods. Setakat ini jumlah wang terkumpul yang diperolehi melalui sukan golf berjumlah AS895 juta (RM3.18 billion). Ini termasuk hasil daripada penajaan, yuran pelesenan, yuran kemunculan, penjualan buku, baju dan khidmat nasihat dalam pembinaan padang golf. Majalah ForbesOktober lalu melaporkan Woods ialah ahli sukan pertama bergelar bilionair.

Walau bagaimanapun, bapa kepada dua orang anak itu, lebih gemar merendah diri dan tidak mengagung-agungkan kejayaan yang dicapai di khalayak ramai. Woods pernah berkata, keluarga ialah segala-gala baginya.

Perjalanan hidup Woods memasuki satu episod baru apabila dia berkahwin dengan kekasih lamanya, Elin Nordegren yang merupakan seorang model dari Sweden pada tahun 2004. Pasangan itu dikurniakan dengan dua orang anak Sam Alexis berusia tiga tahun dan Charlie Axel yang dilahirkan pada Februari lalu.

Sebagai bintang golf yang bertaraf bilionair, Woods menonjolkan imej sebagai anak, suami dan bapa yang baik serta menjadi contoh kepada masyarakat umum.

Skandal

Namun, imej bersih yang ditonjolkan dengan penuh cermat selama ini tercemar baru-baru ini. Episod populariti dan kejayaan hebat yang terpapar sekian lama telah berakhir dalam sekelip mata gara-gara beberapa siri skandal seks.

Setakat ini, watak-watak yang terbabit dalam siri itu melibatkan pelayan kelab malam, pelakon porno dan sebagainya.

Kisah skandalnya mula terbongkar apabila 'sesuatu yang tidak kena' berlaku pada 27 November lalu. Woods terlibat dalam satu kemalangan. Kenderaan SUV yang dipandunya telah hilang kawalan di luar rumahnya lalu merempuh pili bomba dan sebatang pokok milik jirannya di Florida.

Oleh sebab itu, Peronda Lebuh Raya Florida (FHP) telah menyiasat punca kemalangan tersebut manakala pegawai FHP gagal memperoleh penjelasan daripada Woods dan isterinya kerana keengganan mereka mengadakan pertemuan itu.

Akhirnya, dia hanya dikenakan denda sebanyak AS$164 (RM553) kerana memandu dengan cuai. Spekulasi kemalangan itu semakin memuncak apabila tiba-tiba Woods dikaitkan mempunyai skandal seks dengan seorang pengurus kelab malam, Rachel Uchitel oleh akhbar National Enquirer.

Ini diikuti pula dengan insiden Woods yang terpaksa menarik diri dari kejohanan Chevron World Challenge yang berlangsung baru-baru ini. Pengunduran itu sama sekali mencetus spekulasi bahawa Woods sebenarnya bergaduh dengan isterinya berhubung khabar angin yang mengaitkan dirinya dengan Uchitel.

Woods pada awalnya menafikan gosip yang mencalar imej dirinya.

Namun, tidak lama kemudian, Woods mengaku berlaku curang terhadap isterinya dan berdepan dengan skandal bahawa dia meniduri 11 wanita semasa rumah tangga mereka berusia lima tahun.

"Sebagai manusia biasa, saya mengakui bukan seorang yang sempura. Saya tidak bebas daripada sebarang kesilapan dan menyesal dengan sepenuh hati kerana melukakan hati keluarga.

"Saya akan cuba untuk berubah sebagai suami dan bapa yang diperlukan keluarga," akui Woods tentang skandal itu dalam laman web peribadinya.

Ekoran skandal tersebut Woods juga bakal kehilangan pendapatan akibat firma perunding Accenture secara rasmi menarik balik tajaan mereka.

Siapa sangka, perjalanan hidup yang bahagia dan reputasi jaguh unggul sukan golf itu kini bagai di ambang kemusnahan. Ekoran porak peranda teruk yang berlaku dalam rumah tangganya, akhirnya Woods telah kehilangan segala-galanya iaitu kedudukan, karier, keuntungan dan mungkin keluarganya.

Isterinya, Elin kini tidak lagi kelihatan memakai cincin perkahwinan dan ada spekulasi mengatakan Elin ingin berpindah dan mungkin menuntut penceraian.

Minggu lalu, Woods dilaporkan telah mengumumkan untuk meletakkan 'titik noktah sementara' daripada sukan golf.

Sumber: Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, dan Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, Manggis.info

17/12/09

Takdir Zizie hidup bermadut




LEBIH 20 tahun mengenalinya sebagai seorang pelakon, jarang sekali ada cerita panas tercalit dalam sejarah kerjaya pelakon yang cukup terkenal dengan imej 'putih melepak' ini.

Pernah melalui musim cinta remaja yang cukup indah dengan penyanyi Seribu Impian dan Jangan Ada Benci, Casey, Zizie Ezette ketika itu masih terlalu muda untuk mentafsir cinta sehinggalah membuat keputusan meninggalkan cinta pertamanya itu.

Beberapa tahun mengubat lara, kudus cinta Zizie hinggap dalam kamar hati seorang ahli perniagaan yang pernah 'menggegarkan' industri perbankan negara belasan tahun sudah.

Pun setelah menganyam cinta lebih 7 tahun, Zizie sekali lagi gagal mempertahankan cintanya, lalu musnahlah impian bergelar isteri kepada seorang lelaki yang dicintai sepenuh hati.

Kelmarin kepada saya, Zizie sekali lagi mengaku hatinya kini dicuri lagi. Apa yang datang kepadanya kali ini bukan lelaki bujang, sebaliknya suami orang, cukup dikenali dan punya status tinggi di kalangan masyarakat.

Tanpa menyebut secara berterus terang lelaki dimaksudkan, di situ juga dilema seorang Zizie Ezette bermula.

Menurut Zizie, dia beberapa kali sedaya mungkin berusaha menolak cinta lelaki yang sudah beristeri, tetapi kalam tuhan tetap membuahkan 'rasa itu' kepada golongan berkenaan, yang kemudian menghantar lamaran memperisterikannya.

"Apa yang kita elak, kita tak mahu, kita benci, akhirnya itulah yang Allah datangkan kepada kita. Sebagai hamba Allah, apa lagi yang saya boleh katakan kalau memang sudah ditetapkan jodoh kita dengan lelaki yang sudah beristeri?" kata Zizie meluahkan krisis dalaman hatinya apabila bertembung dengan cinta suami orang.

kosmo! titipkan perbualan kami pada petang Selasa lalu, tentang realiti terbaru hidup wanita 31 tahun ini yang dikatakan bakal menjadi isteri baru kepada Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar dalam waktu terdekat ini.

Benarkah Zizie dan si dia sudah berkahwin?

Kahwin? Aduhai! Belum kahwin lagi. Tetapi saya tidak nafikan sedang mengenali hati budi seorang lelaki, cuma belum sampai ke tahap sudah berkahwin. Saya pun masih dalam pertimbangan untuk menerima atau tidak lamaran itu.

Jadi sekarang ini Zizie mengakulah sedang bercinta dengan Ahli Parlimen berkenaan?

Zizie tahu siapa orang yang anda maksudkan. Beginilah, apa yang boleh saya katakan, segalanya masih dalam pertimbangan lagi. Setakat hari ini saya masih solo, dan saya perlu membuat banyak pertimbangan sama ada menerima atau tidak lamaran itu. Banyak hal kena fikir sebab saya tak boleh lihat dalam diri saya semata-mata, sebaliknya dalam keadaan sekarang banyak hati lain kena dijaga.


DI USIA 31 tahun, Zizie mencari lelaki terbaik untuk membimbingnya ke alam rumah tangga.


Siapakah lelaki bertuah yang melamar itu?

Sila siasat sendiri, saya tak boleh beritahu. (Ketawa).

Apakah benar lelaki yang melamar itu ialah Datuk Bung Moktar?

Maaflah, saya tak mahu sebut nama sesiapa di sini. Tak elok sebab banyak hati yang kita kena jaga tambahan pula ini membabitkan lelaki yang sudah punya keluarga. Sebagai wanita, saya pun kena fikir hati dan perasaan orang lain kalau bercakap. Lagi pun Zizie orang perempuan, tak sesuai cakap hal-hal macam ini.

Kenapa Zizie tidak saja menafikan, Bung Moktar adalah lelaki berkenaan?

Macam yang saya kata, saya tak mahu babitkan nama sesiapa. Mana yang tahu, tahulah siapakah dia. Saya minta maaf, tetapi bukan niat saya hendak sembunyi apa-apa. Saya harap semua pihak faham bahawa menerima lamaran daripada suami orang bukan satu perkara yang wajar dibangga-banggakan. Kalau lamaran itu datang daripada lelaki bujang, mungkin saya akan gembira dilamar, tetapi dia lelaki yang sudah ada keluarga, jadi saya kena jaga banyak benda. Hendak bercakap pun kena tapis juga sebab banyak hati kita kena jaga sekarang ini.

Kononnya Zizie dan pasangan akan bernikah dalam waktu terdekat, maksud saya musim cuti sekolah ini, benarkah?

Orang lain boleh cakap apa saja, dan apa yang saya boleh cakap ialah saya masih mempertimbangkan lamaran itu. Saya tak mahu apa yang keluar daripada mulut saya akan mencetuskan spekulasi lagi. Harap sangat orang akan faham. Kita kena faham perasaan seorang isteri, kalau cerita tentang suami mereka mahu kahwin lain ditulis di akhbar, tentu tak sesuaikan? Apatah lagi kalau lelaki yang dimaksudkan itu orang yang dikenali dalam masyarakat, banyak kesan negatif di kemudian hari.


SETELAH beberapa kali kecewa cinta dengan lelaki bujang, Zizie menerima lamaran daripada suami orang.


Apakah Zizie mencintai 'lelaki' itu?

Jujur juga saya katakan. I don't believed in love anymore. Setelah beberapa kali putus cinta, saya sudah serik untuk berhadapan dengan cinta yang baru. Tetapi kehidupan perlu diteruskan dan akhirnya saya membuka hati untuk lelaki baru tanpa memandang harta dan kedudukan. Tetapi urusan jodoh semuanya terletak pada Allah, saya tak boleh cakap kerana Dia yang menentukan. Lagipun saya artis, macam-macam orang akan cakap kalau terjebak dengan suami orang. Lebih banyak yang melihat artis daripada sudut negatif.

Sejujurnya, Zizie sedia bermadu?

Tolong bagi tahu saya, siapa yang hendak berkahwin dengan suami orang? Sepanjang hidup, sudah banyak kali saya mengelak bercinta dengan suami orang sebab tak mahu melukakan hati wanita lain. Tetapi kalau itu jodoh yang tuhan berikan kepada saya, apa yang saya boleh buat lagi? Saya pernah bercinta dengan lelaki bujang, tetapi kami tidak berjodohan, jadi sekarang saya serahkan segalanya kepada takdir sajalah.

Dalam pencarian bergelar isteri, lelaki bagaimana yang Zizie cari?

Saya mencari lelaki yang boleh mendidik, membimbing saya. Ikhlas mencintai saya dan boleh memimpin dengan baik supaya kita hidup sebagai manusia yang lebih baik di masa depan. Apa yang penting, niat kita ikhlas dan lain-lain hal saya hanya berserah kepada Allah.

Sumber: Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, dan Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, Manggis.info

16/12/09

Lydiawati mohon bekas suami diberi notis tunjuk sebab

SHAH ALAM 15 Dis. - Pelakon Lydiawati hari ini memfailkan permohonan agar notis tunjuk sebab dikeluarkan terhadap bekas suaminya, Azhar Mohd. Zar yang didakwa gagal memulangkan barangan perkahwinan serta membayar nafkah idah dan mutaah berjumlah RM103,000.

Permohonan secara ex-parte (sebelah pihak) itu difailkan melalui firma guaman, Tetuan Zulkifli Che Yong Azmi & Co. di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah di sini kira-kira pukul 11 pagi.

Dalam permohonan tersebut, Lydiawati atau nama sebenarnya Zalina Zaimon, 44, mendakwa Azhar, 34, telah gagal menjelaskan nafkah idah serta mutaah berjumlah RM30,000 dan tunggakan nafkah sebanyak RM6,000.

Ahli perniagaan itu juga dikatakan gagal memulangkan barangan perkahwinan atau nilainya sebanyak RM67,000 sebagaimana diperintahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Langat pada 5 Mei lalu.

Dakwa pelakon utama filem Suami, Isteri dan... itu lagi, kegagalan Azhar untuk mematuhi perintah tersebut menunjukkan responden telah secara berterusan menganiayanya daripada mendapatkan hak di sisi hukum syarak dan undang-undang.

Sehubungan itu, tindakan bekas suaminya itu didakwa telah menghina mahkamah mengikut Seksyen 229 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri Selangor 2003 dan perlu diberi notis tunjuk sebab mengapa dia tidak patut disabitkan.

Jika Azhar gagal menjawab notis tunjuk sebab serta disabitkan oleh mahkamah, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda tidak melebihi RM2,000.

Lydiawati yang popular sekitar 90-an hadir berbaju kurung dan bertudung biru dengan ditemani anak keduanya yang berusia lapan tahun, Siti Nuranisah Abdullah.

Lydiawati dan Azhar bernikah pada 6 Jun 2008. Pasangan tersebut yang tidak dikurniakan cahaya mata bercerai dengan kebenaran Mahkamah Rendah Syariah Kuala Langat pada 5 Mei lalu.

Pada tarikh yang sama, Hakim Syarie Mohamad Fauzi Ismail turut merekod dan memutuskan penyelesaian melalui persetujuan bersama antara kedua-duanya yang melibatkan pemulangan barangan perkahwinan dan pembayaran nafkah idah serta mutaah berjumlah RM103,000.

Ia kemudian ditandatangan dan dimeterai di mahkamah yang sama pada 10 Jun lalu.

Sumber: Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, dan Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, Manggis.info

Bicara kes faraid harta ayah Sharmaine 13 Januari

SHAH ALAM 15 Dis. - Kes permohonan faraid pelakon dan model, Sharmaine Farouk terhadap harta bernilai RM5.4 juta peninggalan ayahnya, Allahyarham Tan Sri Ahmad Farouk Isahak akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 13 Januari ini.

Hakim Syarie Mohammad Adib Husain menetapkan tarikh tersebut pada prosiding sebutan hari ini bagi membolehkan abang dan kakak Sharmaine, Ahmad Rezal, 44, dan Serena, 41, memberi keterangan.

Sharmaine, 38, yang berbaju kurung dan bertudung oren hadir ditemani peguam syarie, Ahmad Nazib Johari.

Sharmaine yang pernah membintangi filem Panggilan Pulau dan XX Ray pada tahun 90-an memfailkan permohonan pada 15 November lalu agar harta peninggalan Allahyarham bapanya dibahagikan secara faraid kepada enam adik-beradik termasuk beliau.

Mereka ialah Ahmad Ridzuan, 48, Soraya, 46, Ahmad Rezal, Serena, Sharmaine dan Aimran Ambari, 13.

Harta bernilai RM5.4 juta itu dalam bentuk wang tunai, saham, unit amanah, keahlian kelab dan hartanah seperti apartmen, kondominium, rumah serta tanah.

Sebelum ini Sharmaine bersama Ahmad Ridzuan, Soraya, Serena dan Aimran Ambari memfailkan permohonan untuk mengesahkan pemberian harta (hibah) bernilai jutaan ringgit dan wasiat dibuat Ahmad Farouk dengan menamakan Ahmad Rezal sebagai defendan.

Ahmad Rezal, anak ketiga daripada enam beradik itu dikatakan tidak bersetuju dengan pemberian harta secara hibah dan mendakwa ia sengaja diada-adakan oleh kelima-lima plaintif serta menuntut supaya harta dibahagikan secara faraid.

Sementara itu berdasarkan afidavit tuntutan, pihak plaintif menyatakan bapa mereka yang menghidap sakit jantung sejak 1997 dan sering dimasukkan ke hospital dari 2000 hingga 2003, meninggal dunia pada 14 Disember 2005 kerana komplikasi jantung.

Sebelum itu, Allahyarham ada membuat akuan dan menurunkan cap jari pada suratcara hibah berhubung pemberian harta kepada Ahmad Ridzuan selaku plaintif kedua iaitu sebuah rumah di alamat No. 6, Jalan 2/2, Taman Tun Abdul Razak, Hulu Klang dan sebidang tanah juga di Hulu Klang.

Proses menandatangani dokumen itu dibuat di Institut Jantung Negara (IJN) melalui peguamnya dan di hadapan saksi iaitu peguam syarie, Zainul Rejal Abu Bakar serta dua saksi lain.

Bagaimanapun, ia telah diselesaikan secara baik apabila Sharmaine kemudiannya memfailkan permohonan agar kesemua harta peninggalan itu dibahagikan secara faraid.

Sumber: Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, dan Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, Manggis.info

15/12/09

Doa Ekin buat kembarnya

MEMETERAI janji... Aain dan Arif selamat diijabkabulkan, Sabtu lalu.


LAHIRNYA mereka sebagai pasangan kembar sudah cukup membuktikan betapa akrabnya pasangan kembar seiras, Nora'ashikin Rahmat (Ekin) dan Nora'ain Rahmat (Aain) ini.

Selama 30 tahun bersama sehinggalah pada hari pernikahan Aain, isteri kepada penyanyi terkenal, Mawi itu masih setia di sisi kembarnya, menemani sehinggalah selesai detik diijabkabulkan.

Aain diijabkabulkan dengan jejaka pilihan hati yang juga duda beranak tiga, Datuk Arif Ambrose Leonard Ng, 41, di Masjid Negeri, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor tepat pukul 12.30 tengah hari.

Berwalikan bapanya, Rahmat Mohamad, 50, pasangan tersebut dinikahkan dengan mas kahwin RM300 oleh Pendaftar Kanak Nikah, Cerai dan Rujuk, Pejabat Agama Daerah Petaling, Muhamad Sujak Mohd. Dasuki, 39.

Dengan sekali lafaz, Arif sah bergelar suami kepada Aain dan pasangan tersebut kelihatan berseri mengenakan pakaian sedondon putih daripada Cosry.

Tuah pasangan kembar popular ini, kedua-duanya ditemukan dengan jodoh di kalangan mereka yang berada.

Namun, melepaskan pasangan kembar yang menjadi 'kawan' sedari kecil sebagai seorang isteri tentu sahaja mengundang rasa gembira dan sayu buat Ekin.

Barangkali perasaan yang sama turut dikongsi oleh Aain pada saat Ekin diijabkabulkan dengan Mawi setahun lalu.

Bertemu Ekin sejurus selesai majlis pernikahan tersebut, selain ucapan gembira dan rasa syukur ke hadrat Ilahi, dia turut mendoakan kebahagiaan Aain di samping suami tercinta.

"Saya bersyukur pernikahan Aain berjalan dengan lancar. Walaupun sederhana namun segalanya berjalan dengan lancar.

"Apa yang saya harapkan semoga kebahagiaan mereka kekal hingga ke akhir hayat dan dikurniakan zuriat secepat mungkin.

"Harap mereka tabah mengharungi asam garam hidup berumah tangga malah, mampu menyelesaikan pelbagai masalah dengan baik," luah Ekin dengan nada ceria.

Kegembiraan

Pada majlis yang sama, turut bertukar-tukar dulang hantaran iaitu 11 dulang daripada Aain termasuk senaskhah al-Quran, telefon bimbit, coklat, buah-buahan, minyak wangi dan sepersalinan pakaian.

Arif pula membalas sembilan dulang hantaran termasuk senaskhah al-Quran, kek, telefon bimbit, tas tangan, alat solek dan sirih junjung.

Jelas terpancar kegembiraan pada wajah Aain ketika ditemui.

Jika sepanjang masa berada di dewan nikah dia ditemani rasa gementar dan gemuruh, kini, hari-hari yang dilalui berdepan tanggungjawab besar yang perlu digalas sebagai seorang isteri.

Bergelar isteri kepada Arif yang baru memeluk Islam pada Jun lalu, bukanlah semudah yang disangka.

Malah, kata Aain, dia perlu menjelaskan kepada suaminya agar mencintai Islam terlebih dahulu berbanding dirinya.

"Saya bercerita banyak perkara tentang Islam kepadanya termasuklah tanggungjawab sebagai pemimpin keluarga dan juga seorang imam.

"Walau apa pun yang dilakukan, dia perlu tahu perkara-perkara baik dan buruk sebagai seorang Islam," katanya yang merancang mengadakan majlis resepsi perkahwinan mereka awal 2010.

Berkahwin dengan pasangan yang 11 tahun tua daripadanya tidak langsung menerbitkan kesukaran buat dirinya.

Malah, dalam berkomunikasi, kata Aain, ada keserasian dan pemahaman antara satu sama lain yang membuatkan mereka begitu senang bersama.

Selain kelakar, Arif juga disimpulkan Aain sebagai seorang yang mengambil berat dan memahami saya.

Bahkan, perbezaan usia 11 tahun juga tidak memberi sebarang masalah buat mereka berdua.

"Setakat ini, Alhamdulillah dia boleh sabar dengan kerenah saya. Malah saya bersyukur kerana bukan mudah nak bawa seseorang daripada agama lain ke agama kita.

"Ini merupakan pengorbanan terbesar yang dilakukan Arif untuk saya," katanya dalam nada penuh kesyukuran.

Masih belum menetapkan destinasi berbulan madu, Aain bagaimanapun, berhasrat membawa suaminya ke Mekah menunaikan umrah tidak lama lagi.

Bukan hanya sebagai seorang isteri malah, tanggungjawab berganda buat Aain apabila menjadi ibu kepada tiga anak Arif yang berusia antara tujuh hingga 16 tahun, hasil perkahwinan terdahulu.

"Alhamdulillah, saya bersyukur dan tidak kisah menjadi ibu kepada anak-anaknya kerana itu adalah kehidupannya sebelum dia mengenali saya.

"Tentang anak kami pula, saya tidak merancang apa-apa bagaimanapun, jika ada rezeki memang saya mahukan anak secepat mungkin," katanya.

Bercerita tentang kerjaya seni, kata Aain, suaminya tidak menghalang sekiranya dia masih ingin meneruskan kerjaya sebagai seorang pelakon.

Bagaimanapun, bersama kembarnya, Aain merancang membuka cawangan kedai busana muslimah milik mereka yang selama ini diusahakan di Johor ke Wangsa Maju pula.

Nilai Aain tak terbanding

Tidak seperti kebanyakan pasangan lain, Arif hanya menyerahkan cek kosong kepada keluarga Aain yang dirasakannya berhak menentukan jumlah sebenar wang hantaran perkahwinan mereka.

"Bagi saya Aain tidak boleh dinilai. Kami berbincang dahulu berapa jumlah hantarannya nanti. Berapa pun nilainya, ia hanyalah sebagai simbol.

"Seperti juga dengan pernikahan kami, barangan hantaran tidaklah terlalu penting. Ia hanya sebagai satu simbol dalam perkahwinan kerana apa yang penting hati dan pernikahan," kata Arif yang merupakan seorang ahli perniagaan.

Bercerita tentang isterinya, lelaki itu berkata, sikap Aain yang matang biarpun berbeza usia 11 tahun daripadanya serta penyayang membuatkan hatinya benar-benar tertarik.

"Kami memang banyak persamaan. Apabila keluar bersama pun saya langsung tidak berasa bosan bersamanya," ujar pengantin baru itu lagi.

Sumber: Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, dan Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, manggis.info

14/12/09

Tidak mudah jatuh cinta lagi




DALAM tempoh lima tahun, wanita jelita bernama Natasha Liana Mohd. Redzuan Hudson mungkin melakukan rekod apabila berkahwin dan bercerai sebanyak dua kali dengan dua lelaki berbeza.

Perkahwinan pertamanya bersama Mohd. Faiz Mohd. Raih hanya mampu bertahan selama empat bulan. Tidak sampai setahun, dia kembali bergelar isteri apabila disunting lelaki kaya, Datuk Shahrin Zahari.

Persada seni tempatan kenal siapa Natasha Hudson. Dia punyai pakej lengkap iaitu bakat dan rupa untuk melangkah jauh menggapai bintang sebagai aktres.

Namun, gara-gara inginkan privasi, Natasha atau lebih mesra dengan panggilan Tasha itu salah percaturan. Perkahwinannya cuba dirahsiakan bahkan wartawan tidak dibenarkan menjejakkan kaki ke dewan persandingannya di Carcosa Seri Negara, pada Julai 2007.

Gara-gara kes itu, Tasha diboikot media buat seketika waktu. Sepanjang tempoh itu, nama dan reputasinya sedikit tercalar. Ada media yang langsung tidak mahu mengambil tahu perkembangan karier dan hidupnya.

Mengejutkan satu Malaya, nama Tasha kembali menggelegak baru-baru ini, bukan atas pencapaian karier tetapi dengan berita penceraiannya yang datang tiba-tiba. Sebenarnya, apabila aktres filem Chermin kembali sibuk dengan aktiviti seninya, ramai yang sudah tertanya-tanya. Adakah Tasha kembali bergelar pelakon kerana sebab peribadi atau kerana Tasha sedang bersiap sedia untuk menempuh satu fasa baru dalam hidupnya.

Kembali aktif dengan lakonan

Sedangkan dia merupakan isteri kepada Pengerusi Eksekutif Verti Global yang mampu memberikan dia 'tiket' untuk menjalani hidup senang, ternyata kesibukan wanita itu di gelanggang seni terus menjadi isu. Terlibat dalam teater Gamat, Tasha juga sibuk dengan penggambaran lapan episod drama Lembing dan Layang, telefilemSuperwoman serta Biar Putih Tulang.

Malah, ada juga orang berkata Tasha sanggup pergi sehingga ke Muar, Johor hanya untuk menjalankan penggambaran. Adakah Tasha terdesak sehingga perlu mencari pendapatan tambahan untuk menanggung kehidupannya sendiri?

"Sebenarnya saya sudah biasa berdikari. Anda tidak boleh cakap saya hanya berlakon selepas bercerai. Sebelum bercerai lagi saya sudah berlakon kerana lakonan adalah minat saya. Lagipun saya mahu mencari nafkah hidup sendiri," jelas Tasha yang sudah bercerai sebulan lalu.


MENAFIKAN dia seorang yang gemar mencari lelaki kaya, Natasha memberitahu dia sendiri sebenarnya kurang selesa dengan gelaran datin.

Kelihatan kurus, Tasha tidak mahu orang ramai terus berkata-kata dan membuat tekaan terhadap penceraiannya.

"Saya tahu orang ramai sedang berkata-kata. Disebabkan saya tidak mahu orang membuat fitnah yang lebih teruk pada masa akan datang saya membuat keputusan untuk mengumumkan penceraian saya. Kami berdua akan menjalani kehidupan masing-masing.

"Jadi saya tidak mahu nanti apabila orang umum terserempak dengan kami bersama orang lain akan mula membuat pelbagai andaian. Tapi saya tidak akan hidup dengan memikirkan apa yang dikatakan oleh orang. Memang saya tidak dapat menahan mulut mereka. Asalkan kami berdua tahu kebenarannya," jelasnya lagi.

Tidak selesa gelaran datin

Sentiasa dikaitkan dengan jejaka kaya, ada juga suara-suara sumbang yang menyatakan pelakon berusia 27 tahun ini sering menyasarkan lelaki kaya untuk menjadi pasangan hidupnya. Malah, dia juga tidak mahu memberitahu jumlah harta yang diterimanya daripada penceraian kali ini.

"Saya berkahwin dengan dia bukan kerana kekayaannya. Masa itu, saya juga tidak tahu dia memegang status datuk. Saya sendiri berasal daripada keluarga sederhana dan tidak selesa dengan gelaran datin.

"Saya berasa diri saya terlalu muda untuk gelaran itu. Jika anda perasan, saya tidak menggunakan gelaran itu semasa berlakon. Jadi saya tidak kisah hidup sederhana. Kalau tanya apa yang saya peroleh daripada perpisahan ini, biarkan sahaja ia satu rahsia," tambahnya.


PASANGAN Natasha dan Shahrin berpisah sejak sebulan lalu.

Bagi Tasha, dia tidak berdepan penceraiaan ini dengan perasaan sedih kerana dia dan bekas suaminya masih mengekalkan hubungan yang rapat. Lagipun keputusan penceraian itu dibuat atas kerelaan mereka berdua dengan cara baik.

"Setelah mencuba untuk satu jangka masa, perpisahan adalah jalan penyelesaian terbaik. Kami tidak bergaduh tetapi membuat keputusan selepas berbincang banyak kali. Kami bercerai talak satu dan perpisahan kali ini bukannya disebabkan kewujudan pihak ketiga," ujar Tasha yang sentiasa berfikiran positif.

Ditanya sama ada dia akan kembali bersama bekas suaminya, Tasha tidak menafikan bahawa dia masih mempunyai perasaan cinta terhadap Shahrin tetapi mahu memberikan ruang untuk masa peribadi masing-masing.

"Ramai orang terkejut bagaimana hubungan kami masih begitu baik. Kalau ada jodoh, kami akan kembali. Lagipun, saya memang mahukan anak lagi. Dia seorang ayah yang baik dan pernah menjadi suami yang baik. Perkahwinan itu sesuatu yang manis tetapi ia bukan senang untuk mengekalkannya," sambung Tasha.

Berharap tahun 2010 akan lebih berpihak kepadanya, Tasha kini mahu memberikan fokus kepada anaknya, Nessa Helena yang berusia setahun lima bulan, karier serta dirinya sendiri.

"Kerja dan anak saya akan membantu saya untuk tidak berfikir mengenai penceraian. Sampai bila saya kena menangis? Lagipun saya rasa saya sudah cukup tabah untuk melalui perpisahan ini.

"Setiap perkahwinan ada ombak tersendiri. Ketidaksefahaman itu datang sendiri dan kami tidak rancang. Itu semua ketentuan tuhan. Namun, rasanya kami berdua tidak mahu berkahwin semula dalam masa terdekat," ujar Tasha.


NATASHA berjanji untuk tidak mudah lagi jatuh cinta pada masa akan datang.

Tidak mahu memikirkan soal cinta bukannya bermaksud Tasha mahu kekal dengan status janda selama-lamanya. Namun, dia tidak menyesal dengan keputusan yang dibuat. Bagi Tasha, setiap kesilapan adalah cara untuk dia belajar dan memperbaiki diri.

"Saya gembira sebenarnya kerana saya mempunyai anak daripada perkahwinan itu. Saya belajar cinta itu buta. Cinta itu adalah mengenai dua insan yang saling memerlukan tetapi tidak boleh terburu-buru dalam membuat keputusan.

"Anda perlu mengenali hati budi masing-masing sebelum berkahwin. Pendek kata, cinta itu satu perasaan yang kompleks dan kini saya tidak mahu lagi jatuh cinta dengan senang. Tapi saya menikmati setiap saat bersamanya," kata Tasha yang akan terlibat dalam satu teater tahun depan.

Walaupun bercerai, Tasha bersyukur kerana dia tidak perlu berebut anaknya dengan bekas suaminya itu. Mereka berkongsi hak penjagaan tetapi Nessa akan kerap tinggal bersama Tasha.

Sumber: Kosmo! untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, dan Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, manggis.info

Isteri Woods mahu bercerai

GAMBAR menunjukkan Woods bersama Elin pada satu pertandingan golf di San Francisco, California pada 7 Oktober lalu.

MIAMI – Bekas model, Elin Nordegren membuat keputusan untuk menamatkan perkahwinannya dengan pemain golf No.1 dunia, Tiger Woods dan kembali ke Sweden, lapor sebuah akhbar semalam.

Elin dilaporkan kini sedang berbincang dengan beberapa peguam perceraian tetapi akan membuat prosiding undang-undang selepas sambutan Krismas demi kebaikan dua anak mereka.

Menurut laporan media, isteri Woods itu telah membeli Ladang Faglaro di Sweden yang merupakan tanah kelahirannya.

Perkembangan terbaru tersebut muncul selepas salah seorang wanita simpanan bintang golf itu Jamie Jungers (gambar) mengaku bahawa dia membuat hubungan seks dengan suami Elin pada hari bapa Woods meninggal dunia.

Jamie mendakwa mereka masih berada di atas katil semasa Woods menerima panggilan telefon bagi memberitahu bapanya sudah meninggal dunia pada bulan Mei 2006.

Terdapat satu lagi berita malang lagi buat Woods apabila penaja utamanya, Gillette menyatakan syarikat itu akan menghadkan peranan bintang golf itu dalam iklannya.

Pada Jumaat lalu, Woods mengaku berlaku curang terhadap isterinya dan berdepan dengan skandal bahawa dia meniduri 11 wanita semasa rumah tangga mereka berusia lima tahun.



Elin yang berumur 29 tahun berang dengan pendedahan itu dan dilaporkan memberitahu suaminya supaya jangan bercakap dengannya.

Wanita itu dilaporkan akan meraikan Krismas di Sweden bersama Woods yang berumur 33 tahun dan dua anak mereka, Sam berusia dua tahun serta Charlie berumur 10 bulan.

Menurut laporan sebuah akhbar di Britain, pasangan itu akan menjalani perbicaraan berhubung perbicaraan mereka pada tahun baru.

Walaupun pasangan itu merancang untuk meraikan Krismas bersama, Elin dilaporkan akan keluar dari rumah mereka ke sebuah kediaman baru yang terletak di Windermere, Florida.

Beberapa gambar menunjukkan sebuah trak dipenuhi dengan barang meninggalkan rumah Woods.

Sebuah akhbar di Britain turut melaporkan bahawa Woods sebenarnya masih membuat hubungan dengan seorang wanita simpanannya, Rachel Uchitel.

Rachel merupakan wanita yang menyebabkan Woods dengan Elin bergaduh pada bulan lalu sehingga menyebabkan bintang golf itu terlibat dalam kemalangan jalan raya.


LADANG Faglaro yang telah dibeli oleh Elin di Sweden baru-baru ini.

Hubungan Woods dengan Rachel bermula pada musim panas di New York.

Woods kemudiannya tertarik pada Rachel dan mereka kemudian menjalin hubungan seks. Mereka turut bertemu secara rahsia di Las Vegas dan New York.

Hubungan asmara pasangan itu menjadi lebih menarik apabila mereka meminta beberapa wanita lain menyertai sama aksi mereka.

Satu rakan rapat Rachel memberitahu wartawan sebuah akhbar di Britain: “Woods menghantarnya satu mesej ‘panas’ mengenai seks berkumpulan. Rachel memang seorang wanita yang berfikiran terbuka.” – Agensi

Sumber: Kosma! untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, dan Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, manggis.info,