12/16/09

Lydiawati mohon bekas suami diberi notis tunjuk sebab

SHAH ALAM 15 Dis. - Pelakon Lydiawati hari ini memfailkan permohonan agar notis tunjuk sebab dikeluarkan terhadap bekas suaminya, Azhar Mohd. Zar yang didakwa gagal memulangkan barangan perkahwinan serta membayar nafkah idah dan mutaah berjumlah RM103,000.

Permohonan secara ex-parte (sebelah pihak) itu difailkan melalui firma guaman, Tetuan Zulkifli Che Yong Azmi & Co. di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah di sini kira-kira pukul 11 pagi.

Dalam permohonan tersebut, Lydiawati atau nama sebenarnya Zalina Zaimon, 44, mendakwa Azhar, 34, telah gagal menjelaskan nafkah idah serta mutaah berjumlah RM30,000 dan tunggakan nafkah sebanyak RM6,000.

Ahli perniagaan itu juga dikatakan gagal memulangkan barangan perkahwinan atau nilainya sebanyak RM67,000 sebagaimana diperintahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Langat pada 5 Mei lalu.

Dakwa pelakon utama filem Suami, Isteri dan... itu lagi, kegagalan Azhar untuk mematuhi perintah tersebut menunjukkan responden telah secara berterusan menganiayanya daripada mendapatkan hak di sisi hukum syarak dan undang-undang.

Sehubungan itu, tindakan bekas suaminya itu didakwa telah menghina mahkamah mengikut Seksyen 229 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri Selangor 2003 dan perlu diberi notis tunjuk sebab mengapa dia tidak patut disabitkan.

Jika Azhar gagal menjawab notis tunjuk sebab serta disabitkan oleh mahkamah, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda tidak melebihi RM2,000.

Lydiawati yang popular sekitar 90-an hadir berbaju kurung dan bertudung biru dengan ditemani anak keduanya yang berusia lapan tahun, Siti Nuranisah Abdullah.

Lydiawati dan Azhar bernikah pada 6 Jun 2008. Pasangan tersebut yang tidak dikurniakan cahaya mata bercerai dengan kebenaran Mahkamah Rendah Syariah Kuala Langat pada 5 Mei lalu.

Pada tarikh yang sama, Hakim Syarie Mohamad Fauzi Ismail turut merekod dan memutuskan penyelesaian melalui persetujuan bersama antara kedua-duanya yang melibatkan pemulangan barangan perkahwinan dan pembayaran nafkah idah serta mutaah berjumlah RM103,000.

Ia kemudian ditandatangan dan dimeterai di mahkamah yang sama pada 10 Jun lalu.

Sumber: Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, dan Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, Manggis.info

No comments: