KUALA LUMPUR 7 Dis. - Dua pegawai istana Kelantan yang disaman oleh Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra (gambar) kerana didakwa membuat kenyataan akhbar berbau fitnah yang menyentuh konflik rumah tangganya dengan Manohara Odelia Pinot, telah mengemukakan permohonan untuk membatalkan saman tersebut.
Pegawai Tadbir (Pentadbiran) Pejabat Sultan Kelantan, Nik Mahmud Nik Jaafar dan Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad memfailkan permohonan itu melalui Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan di Mahkamah Tinggi di sini pada 18 November lalu.
Peguam Mohd. Haaziq Pillay yang mewakili Tengku Temenggong Kelantan itu ketika dihubungi hari ini memberitahu, tarikh untuk mendengar permohonan kedua-dua pegawai istana itu yang dinamakan sebagai defendan akan ditetapkan kemudian oleh mahkamah.
Beliau turut memaklumkan, Mahkamah Tinggi hari ini telah menangguhkan sehingga 26 Januari ini kes saman fitnah yang dikemukakan oleh Tengku Muhammad Fakhry itu.
Tarikh itu ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar, Norazlin Othman ketika kes disebut di kamar beliau di sini.
Menurut Mohd. Haaziq, defendan hari ini sepatutnya memasukkan afidavit jawapan terhadap permohonan mereka untuk membatalkan saman tersebut tetapi telah gagal berbuat demikian.
Defendan disaman oleh plaintif pada 10 Ogos lalu ekoran satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh mereka pada 15 Jun lalu berhubung kemelut perkahwinan baginda dengan Manohara yang juga seorang model dari Indonesia.
Tengku Muhammad Fakhry mendakwa kenyataan yang ditandatangani oleh Abdul Halim itu menyatakan, Sultan Kelantan dan istana tidak seharusnya diheret ke dalam krisis perkahwinan yang membabitkan pasangan terbabit.
Dakwanya lagi, Abdul Halim dalam kenyataan itu berkata, Sultan dan pihak istana tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kenyataan yang dibuat oleh Tengku Muhammad Fakhry mengenai masalah perkahwinan yang sedang dihadapinya.
Tengku Muhammad Fakhry juga mendakwa kenyataan itu menggambarkan seolah-olah ayahandanya dan pejabat istana meminggirkan beliau.
Plaintif juga mendakwa ia juga menggambarkan yang beliau seolah-seolah memiliki kelakuan yang tidak baik yang membawa malu kepada istana sehingga menyebabkan ayahandanya meminggirkan beliau dan perkara yang berkaitan dengan perkahwinannya.
Defendan dalam pernyataan pembelaan bertarikh 11 September lalu mendakwa, kenyataan akhbar berhubung pertelingkahan antara Tengku Temenggong Kelantan dan isterinya yang dikeluarkan itu adalah suatu 'keistimewaan yang melayakkan'.
Defendan mendakwa, mereka sekadar bertindak mengikut tanggungjawab masing-masing dalam hal ehwal istana atas arahan Pemangku Raja Kelantan.
Kedua-dua pegawai itu mendakwa, perkataan-perkataan dalam kenyataan itu bukan bermaksud untuk memperkecilkan Tengku Muhammad Fakhry dalam kedudukan beliau sebagai anggota keluarga Diraja Kelantan.
Menurut defendan, pergolakan rumah tangga plaintif dan isterinya adalah perkara peribadi dan tiada kaitan dengan hal ehwal pejabat Sultan Kelantan.
Defendan juga mendakwa, mereka tidak pernah mengutarakan kata-kata yang bersifat palsu, berniat jahat atau fitnah terhadap Tengku Temenggong Kelantan atau ditemubual oleh mana-mana anggota media.
Sumber: Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, dan Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, Manggis.info