13/12/09

Faizal AF4 nikah Nur Ashikin 12 Februari lalu


RAMLY Yaacob (kanan) dan Zalidah Awang ketika ditemui di kediaman mereka di Kampung Alor Pak Bang, Marang, semalam.

MARANG 12 Dis. - Ibu bapa FaizalAF4 hari ini mengesahkan anak mereka adalah suami kepada pelakon, Nur Ashikin Mior atau lebih dikenali dengan panggilan Ikin dan mereka telah bernikah pada 12 Februari lalu.

Ikin yang sudah dua tahun dikenali Faizal merupakan pelakon tambahan dalam filem Momok The Movie yang turut dilakonkan oleh Faizal.

Bapa Faizal, Ramly Yaacob, 60, mengakui beliau lewat mengetahui tentang perkahwinan tersebut, namun pasrah dengan apa yang berlaku dan bersedia menerima Ikin sebagai menantu sekiranya itu pilihan Faizal.

"Dia (Faizal) yang nak kahwin dan itu pilihan dia. Biarlah, kami terima saja (dengan siapa Faizal kahwin)," katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Sungai Kerak di sini hari ini. Turut hadir, isterinya, Zalidah Awang.

Ramli, seorang kontraktor memberitahu, beliau dan keluarga hanya mengetahui pernikahan Faizal dengan Ikin yang berlangsung di rumah pengantin perempuan, kira-kira dua bulan selepas majlis tersebut.

Beliau turut menolak dakwaan kononnya mereka sekeluarga menghadapi krisis dengan Faizal disebabkan tidak menghadiri majlis perkahwinan di Temerloh pada Februari lalu.

"Kami tak ada masalah dan tak ada krisis, cuma dia (Faizal) tak nak beritahu (pernikahan) kerana dia rasa perlu berahsia dulu sebelum memutuskan untuk buat pengumuman mengenainya.

"Sebenarnya kami pun tak tahu siapa pilihan hatinya sebab dia ada ramai kenalan wanita. Biasalah sebagai artis, dia ada ramai peminat, jadi biarlah dia pilih sendiri siapa bakal isterinya. Dia ada alasan sendiri dan tak nak susahkan orang.

"Lagipun, orang lelaki kalau nak kahwin tak macam perempuan, lelaki mudah (kahwin) kerana tak perlu cari wali, orang perempuan pula kena cari wali dulu baru boleh kahwin," jelasnya.

Menurutnya, beliau sekeluarga bercadang untuk mengadakan kenduri di sebelah pengantin lelaki di rumahnya di Kampung Sungai Kerak di sini dalam waktu terdekat ini.

Ibu Faizal, Zalidah, 48, pula sewaktu ditemui turut bersetuju dengan suaminya bahawa mereka sekeluarga merestui perkahwinan Faizal dan terserah kepada anak sulungnya itu untuk memilih siapa isterinya.

Katanya, Faizal sebelum ini ada pulang ke rumahnya bersama isteri pada Hari Raya Aidiladha dan bermalam di rumah datuknya yang terletak berdekatan.

Akhbar hari ini melaporkan pengakuan juara AF4 itu bahawa beliau sudah berkahwin dengan wanita pilihannya dan majlis pernikahan berlangsung di rumah keluarga perempuan di Temerloh pada 12 Februari lalu.

Sumber: Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, dan Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, manggis.info,