4/12/09

Kahwin campur


Oleh Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my

PERASAAN ingin berpasang-pasangan adalah fitrah manusia.

Malah, naluri itu juga Allah s.w.t salurkan buat makhluk lain seperti haiwan.

Namun, martabat manusia adalah paling mulia kerana dikurniakan akal untuk memiliki pasangan.

Allah s.w.t turut memberi petunjuk bagaimana tuntutan syahwat boleh disalurkan melalui cara yang halal.

Perkahwinan adalah amanah bagi setiap individu bagi melahirkan zuriat dan menambah bilangan umat di muka bumi ini.

Perkahwinan adalah sunnah nabi yang penuh keberkatan dan ketenteraman berbanding hidup membujang.

Firman Allah s.w.t di dalam Surah al-Rum ayat 21 bermaksud: "Dan antara tanda-tanda kebesaran Allah ialah, Dia menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenismu sendiri agar kamu cenderung dan berasa tenang dan tenteram kepadanya dan dijadikan-Nya antara kamu perasaan kasih sayang."

Jodoh manusia adalah ketentuan Ilahi. Jodoh tidak datang kepada kita dengan sendirinya, tetapi perlu seiring usaha dan doa bagi menyunting pilihan hati.

Perkahwinan mempunyai rahsia tersendiri. Jika diamati kehebatan perkahwinan, ia bukan saja dapat menyuburkan perasaan kasih sayang antara pasangan, malah mengembangkan zuriat umat nabi Muhammad s.a.w di muka bumi.

Perkahwinan tidak hanya terhad kepada pasangan daripada satu bangsa, agama atau negara. Kini, perkahwinan campur semakin diterima walaupun belum secara meluas.

Peluang menimba ilmu dan merantau di negara luar menyebabkan ada orang Melayu berkahwin dengan pasangan berkulit putih atau hitam.

Di negara sendiri, ada perkahwinan campur membabitkan pasangan Melayu dengan etnik Cina atau India. Ia adalah perkembangan sihat kerana memberi peluang setiap pasangan mendalami budaya dan cara hidup masing-masing.

Pengarah Institut Kajian Hadis Selangor, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), Ustaz Mohd Farid Ravi Abdullah, berkata perkahwinan campur di negara ini tidak menjadi masalah kerana mereka cukup memahami latar belakang agama Islam serta adat budaya masyarakat di sini.

"Masalah barangkali timbul jika perkahwinan campur ini membabitkan warga asing yang mungkin kurang memahami adat, budaya serta fahaman masyarakat di Malaysia," katanya.

Mohd Farid berkata, perkahwinan campur memang baik, malah dituntut agama, tetapi memerlukan kefahaman yang mendalam kerana ia membabitkan soal berkaitan agama dan adat.

"Namun, terbukti perkahwinan campur melahirkan zuriat yang mempunyai kecerdasan, kepintaran dan kecantikan hasil daripada percantuman gen yang berbeza.

"Perhubungan silaturahim dengan keluarga berbangsa asing terjalin, kaum keluarga dan kerabat semakin besar selain menguasai bahasanya dan budayanya.

"Malah, kita berpeluang berdakwah kepada keluarganya agar dapat menerima Islam sebagai cara hidup yang paling baik di muka bumi," katanya.

Islam tidak melarang umatnya berkahwin dengan orang berlainan latar belakang agama, tetapi perlu menjadi Muslim dahulu.

Dari kaca mata Islam, perkahwinan campur dapat menarik minat orang bukan Islam memeluk Islam. Logiknya, perkahwinan itu satu ibadah, justeru perkahwinan campur membawa kebaikan beribadah.

Perkahwinan campur dapat melahirkan umat Islam yang lebih berkualiti. Mereka memeluk Islam dengan kerelaan sendiri, justeru kekuatan diri mereka lebih utuh dan tidak mudah dirungkai.

Walaupun tiada kajian saintifik, banyak kes yang melaporkan bayi hasil perkahwinan campur mempunyai kecerdasan akal lebih tinggi.

Bagi pasangan yang mahu berkahwin campur, beliau berharap mereka memiliki ilmu termasuk menyesuaikan diri dengan pertembungan agama dan budaya yang berbeza.

"Jika berkunjung ke rumah keluarga yang bukan beragama Islam, si anak perlu memberitahu mengenai jenis makanan yang boleh diambil bagi mengelak salah faham.

"Hubungan kekeluargaan antara anak dan ibu bapa tidak putus walaupun mereka mengambil keputusan berkahwin campur.

"Saya berpendapat, perkahwinan campur sesuatu yang cukup manis kerana dapat mencantumkan dua budaya dan agama yang berbeza dalam satu acuan Muslim," katanya.
Ini adalah keratan akhbar dari Harian Metro untuk tujuan dokumentasi. Pautan Perkahwinan: Majalah.Dompas.net, Dompas Network, Guided-Info.com, Artikel Sentral,Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, Manggis.info.

Tiada ulasan: