DALAM tempoh lima tahun, wanita jelita bernama Natasha Liana Mohd. Redzuan Hudson mungkin melakukan rekod apabila berkahwin dan bercerai sebanyak dua kali dengan dua lelaki berbeza.
Perkahwinan pertamanya bersama Mohd. Faiz Mohd. Raih hanya mampu bertahan selama empat bulan. Tidak sampai setahun, dia kembali bergelar isteri apabila disunting lelaki kaya, Datuk Shahrin Zahari.
Persada seni tempatan kenal siapa Natasha Hudson. Dia punyai pakej lengkap iaitu bakat dan rupa untuk melangkah jauh menggapai bintang sebagai aktres.
Namun, gara-gara inginkan privasi, Natasha atau lebih mesra dengan panggilan Tasha itu salah percaturan. Perkahwinannya cuba dirahsiakan bahkan wartawan tidak dibenarkan menjejakkan kaki ke dewan persandingannya di Carcosa Seri Negara, pada Julai 2007.
Gara-gara kes itu, Tasha diboikot media buat seketika waktu. Sepanjang tempoh itu, nama dan reputasinya sedikit tercalar. Ada media yang langsung tidak mahu mengambil tahu perkembangan karier dan hidupnya.
Mengejutkan satu Malaya, nama Tasha kembali menggelegak baru-baru ini, bukan atas pencapaian karier tetapi dengan berita penceraiannya yang datang tiba-tiba. Sebenarnya, apabila aktres filem Chermin kembali sibuk dengan aktiviti seninya, ramai yang sudah tertanya-tanya. Adakah Tasha kembali bergelar pelakon kerana sebab peribadi atau kerana Tasha sedang bersiap sedia untuk menempuh satu fasa baru dalam hidupnya.
Kembali aktif dengan lakonan
Sedangkan dia merupakan isteri kepada Pengerusi Eksekutif Verti Global yang mampu memberikan dia 'tiket' untuk menjalani hidup senang, ternyata kesibukan wanita itu di gelanggang seni terus menjadi isu. Terlibat dalam teater Gamat, Tasha juga sibuk dengan penggambaran lapan episod drama Lembing dan Layang, telefilemSuperwoman serta Biar Putih Tulang.
Malah, ada juga orang berkata Tasha sanggup pergi sehingga ke Muar, Johor hanya untuk menjalankan penggambaran. Adakah Tasha terdesak sehingga perlu mencari pendapatan tambahan untuk menanggung kehidupannya sendiri?
"Sebenarnya saya sudah biasa berdikari. Anda tidak boleh cakap saya hanya berlakon selepas bercerai. Sebelum bercerai lagi saya sudah berlakon kerana lakonan adalah minat saya. Lagipun saya mahu mencari nafkah hidup sendiri," jelas Tasha yang sudah bercerai sebulan lalu.
Kelihatan kurus, Tasha tidak mahu orang ramai terus berkata-kata dan membuat tekaan terhadap penceraiannya.
"Saya tahu orang ramai sedang berkata-kata. Disebabkan saya tidak mahu orang membuat fitnah yang lebih teruk pada masa akan datang saya membuat keputusan untuk mengumumkan penceraian saya. Kami berdua akan menjalani kehidupan masing-masing.
"Jadi saya tidak mahu nanti apabila orang umum terserempak dengan kami bersama orang lain akan mula membuat pelbagai andaian. Tapi saya tidak akan hidup dengan memikirkan apa yang dikatakan oleh orang. Memang saya tidak dapat menahan mulut mereka. Asalkan kami berdua tahu kebenarannya," jelasnya lagi.
Tidak selesa gelaran datin
Sentiasa dikaitkan dengan jejaka kaya, ada juga suara-suara sumbang yang menyatakan pelakon berusia 27 tahun ini sering menyasarkan lelaki kaya untuk menjadi pasangan hidupnya. Malah, dia juga tidak mahu memberitahu jumlah harta yang diterimanya daripada penceraian kali ini.
"Saya berkahwin dengan dia bukan kerana kekayaannya. Masa itu, saya juga tidak tahu dia memegang status datuk. Saya sendiri berasal daripada keluarga sederhana dan tidak selesa dengan gelaran datin.
"Saya berasa diri saya terlalu muda untuk gelaran itu. Jika anda perasan, saya tidak menggunakan gelaran itu semasa berlakon. Jadi saya tidak kisah hidup sederhana. Kalau tanya apa yang saya peroleh daripada perpisahan ini, biarkan sahaja ia satu rahsia," tambahnya.
Bagi Tasha, dia tidak berdepan penceraiaan ini dengan perasaan sedih kerana dia dan bekas suaminya masih mengekalkan hubungan yang rapat. Lagipun keputusan penceraian itu dibuat atas kerelaan mereka berdua dengan cara baik.
"Setelah mencuba untuk satu jangka masa, perpisahan adalah jalan penyelesaian terbaik. Kami tidak bergaduh tetapi membuat keputusan selepas berbincang banyak kali. Kami bercerai talak satu dan perpisahan kali ini bukannya disebabkan kewujudan pihak ketiga," ujar Tasha yang sentiasa berfikiran positif.
Ditanya sama ada dia akan kembali bersama bekas suaminya, Tasha tidak menafikan bahawa dia masih mempunyai perasaan cinta terhadap Shahrin tetapi mahu memberikan ruang untuk masa peribadi masing-masing.
"Ramai orang terkejut bagaimana hubungan kami masih begitu baik. Kalau ada jodoh, kami akan kembali. Lagipun, saya memang mahukan anak lagi. Dia seorang ayah yang baik dan pernah menjadi suami yang baik. Perkahwinan itu sesuatu yang manis tetapi ia bukan senang untuk mengekalkannya," sambung Tasha.
Berharap tahun 2010 akan lebih berpihak kepadanya, Tasha kini mahu memberikan fokus kepada anaknya, Nessa Helena yang berusia setahun lima bulan, karier serta dirinya sendiri.
"Kerja dan anak saya akan membantu saya untuk tidak berfikir mengenai penceraian. Sampai bila saya kena menangis? Lagipun saya rasa saya sudah cukup tabah untuk melalui perpisahan ini.
"Setiap perkahwinan ada ombak tersendiri. Ketidaksefahaman itu datang sendiri dan kami tidak rancang. Itu semua ketentuan tuhan. Namun, rasanya kami berdua tidak mahu berkahwin semula dalam masa terdekat," ujar Tasha.
Tidak mahu memikirkan soal cinta bukannya bermaksud Tasha mahu kekal dengan status janda selama-lamanya. Namun, dia tidak menyesal dengan keputusan yang dibuat. Bagi Tasha, setiap kesilapan adalah cara untuk dia belajar dan memperbaiki diri.
"Saya gembira sebenarnya kerana saya mempunyai anak daripada perkahwinan itu. Saya belajar cinta itu buta. Cinta itu adalah mengenai dua insan yang saling memerlukan tetapi tidak boleh terburu-buru dalam membuat keputusan.
"Anda perlu mengenali hati budi masing-masing sebelum berkahwin. Pendek kata, cinta itu satu perasaan yang kompleks dan kini saya tidak mahu lagi jatuh cinta dengan senang. Tapi saya menikmati setiap saat bersamanya," kata Tasha yang akan terlibat dalam satu teater tahun depan.
Walaupun bercerai, Tasha bersyukur kerana dia tidak perlu berebut anaknya dengan bekas suaminya itu. Mereka berkongsi hak penjagaan tetapi Nessa akan kerap tinggal bersama Tasha.
Sumber: Kosmo! untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, dan Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, manggis.info
Tiada ulasan:
Catat Ulasan