10/12/09

Cinta monyet ke jenjang pelamin

Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

Apapun, situasi ini nyata tidak berlaku dalam hubungan cinta pasangan pengantin baru, Mohd Razlan Mohamed Yusof, 24 atau Razlan (Kristal) dengan gadis pilihannya, Nur Sheila Hassim, 24. Siapa sangka, hubungan cinta zaman sekolah mereka bertahan 10 tahun.

Sedekad menyulam cinta, adakala ceria dan juga dirundung sedih. Lebih-lebih lagi, apabila karier Razlan sebagai vokalis utama kumpulan rock Kristal. Pastinya, gosip liar mudah saja mendekati pemuda itu.

Apapun, cinta sejati Razlan dan Nur Sheila tidak tergugat. Sekalipun pernah dikaitkan menjalin cinta dengan 'seseorang', namun Nur Sheila tetap yakin yang jodohnya. Justeru, Sabtu lalu dengan sekali lafaz mereka sah menjadi suami isteri.

Dengan status baru sebagai 'suami orang', Razlan kelihatan cukup kacak dengan imej baru, berambut pendek. Demi kasih terhadap Nur Sheila, jiwa 'rock' Razlan luntur apabila sanggup memotong rambutnya. Apakah rambut pendek akan menjadi imej Razlan?

Razlan yang ditemui selepas majlis persandingan di kediaman pengantin perempuan di Kampung Sri Aman, Puchong, kelmarin berkata, sebagai artis dia perlu ada imej tersendiri dan mungkin buat masa ini, rambut pendek adalah imej barunya.

"Tidak semestinya saya perlu berambut panjang sampai bila-bila. Apa yang pasti, saya berambut pendek ini kerana bernazar. Sebelum mengahwini Nur Sheila, saya pernah berniat memotong rambut jika dijodohkan dengannya. Justeru, apabila impian ini terlaksana, saya akur dengan 'janji' yang pernah dilafazkan.

"Buat masa ini, saya berambut pendek tetapi tidak tahu sampai bila. Namun, saya gembira kerana 'cinta monyet' kami tidak perlu disangkal lagi. Bahkan, kami juga bersyukur pada Tuhan kerana membuktikan cinta yang lahir ini berakhir di jinjang pelamin.

"Harapan saya kini supaya mahligai dibina ini terus kukuh sehingga ke akhir hayat kami," katanya.

Popular dengan lagu Memburu Impian, Razlan berkata dia dan isteri juga tidak pernah merancang mengenai cahaya mata. Jika ditakdirkan mereka dikurniakan cahaya mata pada masa terdekat, mereka akan menerimanya dengan hati terbuka. Lambat pun tidak mengapa.

Sementara itu, Nur Shelia yang manis bersongket kuning di sisi Razlan, menyifatkan suaminya itu lelaki setia pada cinta. Katanya dalam tempoh yang lama menyulam kasih, mereka tidak pernah sekalipun putus hubungan.

"Selama bercinta dengan Razlan, dia amat setia. Apabila ada masalah kami sering berbincang dan kerana itulah cinta kami tidak goyah. Begitu juga dengan gosip cinta Razlan, saya tahu perkara itu tidak benar dan hanya khabar angin.

"Saya tidak percaya kerana ketika gosip itu hangat diperkatakan saya tahu di mana Razlan dan bersama siapa. Jadi mengapa saya masih hendak percaya gosip itu. Kini, saya syukur semuanya selamat.

"Selain itu saya juga tidak kisah Razlan berambut pendek atau panjang. Pada saya, apa yang lebih penting adalah hatinya. Saya berdoa supaya rumah tangga kami sentiasa harmoni dan berkekalan selamanya," katanya.

Selaku pengurus kumpulan Kristal, Nur Sheila berkata hubungan terjalin dengan Razlan sebelum bergelar artis, cukup membuat Nur Sheila memahami karier suaminya itu. Katanya mereka akan menguruskan rumah tangga itu seperti hubungan 10 tahun lalu.

Pada majlis persandingan kelmarin, Razlan turut menghiburkan tetamu dengan menyanyikan lagu Memburu Impian. Terdahulu, kumpulan Butterfly mendendangkan dua lagu. Bagi melengkapkan atur cara majlis, pengantin memotong kek perkahwinan.

Sehubungan itu, pada majlis pernikahan mereka, Nur Sheila menerima mas kahwin sebanyak RM222.22 dan wang hantaran RM22,222.22. Pasangan pengantin baru itu juga turut berbalas 11 dulang hantaran antara satu sama lain sebagai simbolik perkahwinan.
Ini adalah keratan akhbar dari Harian Metro untuk tujuan dokumentasi. Pautan Perkahwinan: Majalah.Dompas.net, Dompas Network, Guided-Info.com, Artikel Sentral,Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, Manggis.info.